dapatkan ebook menarik lainnya di http://salga.heck.in jika sahabat ingin membantu untuk memperbanyak koleksi ebook hp kami silahkan donasikan pulsa ke nomor 085255251680 EBOOK INI BUKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIL, MAKA BELILAH BUKU ASLINYA ENOVEL - JANGAN ADA DENDAM SATU NOVEL, TIGA PENULIS, RIBUAN PEMBACA OLEH SRIDIAH, MBA, DAN RUDY PENULIS UNDANGAN: EYES, PUTERI & IBNU ARIFF HTTP://NOVEL2U.BLOGSPOT.COM FORMAT E-BOOK OLEH IBNU ARIFF PENGENALAN Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt... Sebuah novel biasanya ditulis oleh seorang pengarang sahaja. Semua watak yang terdapat dalam sesebuah novel adalah hasil kreativiti pengarang tersebut. Pengarang boleh menggunakan orang ketiga sebagai pencerita watak ataupun bertindak sebagai pemegang watak sendiri. Namun dalam JAD ia adalah suatu kelainan. Setiap watak dikarang oleh penulis yang berlainan dan menceritakan mengenai watak sendiri dalam certia atau situasi tersebut. Pada asalnya MBA secara suka-suka mengacah Sri Diah untuk berduet dalam menghasilkan sebuah novel. Pelawaan ini boleh menjadi jika MBA bersungguh-sungguh ataupun memang ada satu plot cerita yang menarik. Namun tanpa dirancang, Sri Diah telah menulis petikan satu babak dari novel terbarunya "Jangan Ada Dusta" dalam blognya. Ia menceritakan bagi pihak wanita. Lantas MBA pula menulis dalam blognya "Jangan Ada Dusta Versi Lelaki" yang menceritakan dari perspektif lelaki pula. Semenjak dari itu kami saling balas-membalas versi. Akhirnya satu blog khusus untuk JAD diwujudkan. Secara tidak sengaja MBA memberitahu JAD bermakna Jangan Ada Dendam kepada teman komuniti Haiku dan dari situ bermulalah nama JAD menjadi Jangan Ada Dendam. Rudy pula datang untuk menulis sebagai Along, aida sebagai eyes dan Souraya dan Ibnu Ariff sebagai Angah. Bagaimana penyelarasan dibuat?. Biasanya setiap penulis menulis apa sahaja watak mereka atau menjawab persoalan terdahulu yang dikemukakan oleh penulis sebelumnya. Cuma kadang-kadang seorang berdua dari kami ada juga berunding melalui Internet bagi mencari kata sepakat ataupun ingin mengagah penulis lain. Sekian adanya. SIRI 1 PERANG dingin ini bilakah akan berakhir? Suami pergi kerja macam orang hilang akal. Dia balik ke rumah pun macam orang hilang akal! "Saya penat. Saya letih...!" "Bang, mari saya picitkan" "Ah, tak payahlah. Awak picit kuat sangat, sakit-sakit badan saya...!" "Habis tu, abang nak kopi" "Ah, tak mahu, kopi awak pahit!" Kalau kopi pahit... mintalah milo atau teh... Tapi kenapa tak mahu minta apa-apa? "Abang nak makan? Saya siapkan..." "Makan? tak payahlah. Saya belum nak makan." "Saya goreng ikan masin, nak?" "Ikan masin? Ikan masin awak masin!" "Abang nak mandi? Saya siapkan air suam" "Dah. Saya dah mandi!" Oh Tuhan... ke manakan kemanisan yang selama ini menjadi milikku? Penulis: Sri SIRI 2 Jika diteruskan perang, rasanya yang kalah jadi abu yang menang jadi arang. Lebih baik diadakan gencatan senjata saja. Sebenarnya aku cukup juak untuk pulang ke rumah. Sikapnya sejak akhir-akhir ini membuatkan seolah-olah aku bukanlah CEO di rumah. Kepulangan aku ke rumah sepatutnya disambut dan dihormati sebagai seorang suami, seorang sahabat, seorang teman. Namun dia yang sudah lama bertindak sebagai CFO di rumah nampaknya lebih mengutamakan pejabat dan orangorang pejabat berbanding dengan rumah dan orang-orang dalam rumah ini. Sebagai isteri yang bekerja, suami tidaklah mengharapkan makanan terhidang-saji. Suami boleh mengaut sendiri dari periuk di dapur jika ianya sudah bermasak. Jika sesibuk ini di rumah hinggakan tidak mahulagi memasak, apalah gunanya dibeli beras dan dapur yang mahal jika sekadar untuk makan nasi bungkus. Sesekali pulang dengan keletihan dan migren yang menyerang, perlukan belas ihsan. Jika kita minta dipicit dan diurut, bukanlah alasan sibuk, tidak pandai memicit, takut tangan kasar atau telan saja panadol yang mahu didengar suami. Ini menambahkan lagi sengsara yang ada. Dah tahu kita berpenyakit darah tinggi, hendak dihidangkan pula dengan ikan masin?. Agaknya dia memang ingin sangat menyuruh aku pergi cepat. Sudah ada bakal bapa kepada anakanakku kah?. Suami sekarang tidak perlu dimanjakan hinggakan perlu dimadikan oleh isteri. Usahlah terpengaruh dengan filem Jepun atau Korea yang menjadi teman setiamu setiap petang hingga melupkan tugas sebenar di alam nyata. Suamimu ini bukanlah robot bernyawa yang bisa kau programkan dengan menekan papan kekunci yang sering kau lakukan hingga menjelang subuh dengan alasan terlalu sibuk. Dan suami ini tidurlah sendirian saban malam bertemankan alasan isteri yang keletihan, sibuk, sakit perut, tiada mood dan tidak mahu membasahkan rambut. Jadi wajarlah rasanya gencatan senjata kita ini dikuatkuasakan segera. Penulis: MBA AKU RELA TIDUR SENDIRI... - SIRI 3 Sudah banyak kali kami berkompromi. Aku bukanlah seorang isteri tipikal seperti zaman neneknya Aku bukan seperti kakak dia atau makcik dia. Aku juga bukan seperti emak saudaranya Pah Bedah, yang saban hari asyik mengulit huma. Dan waktu petangnya pula ajak ipar duai duduk di beranda. Berderet di tangga mencari kutu. Aku wanita kerjaya. Aku ada tanggungjawab atas segala amanah yang dipertanggungajwabkan ke pundakku. Aku dibayar gaji tinggi untuk berkhidmat dengan cemerlang. Aku dituntut mengawasi kepentingan syarikat. Aku wajib mengenalpasti potensi diri staf bawahan. Setiap masa. Setiap ketika. Siang sama ada di pejabat atau bertugas di luar pejabat ataupun bertugas di luar daerah, hatta ke luar negara, panggilan telefon untuknya tidak pernah kuabai. Sebelum itu kupastikan akan keluar dari rumah dengan segala keperluan dirinya dan anak-anak tidak terabai. Atas dasar inilah dia mengahwiniku dulu. Sejak hari pertama berdating dan setahun kemudian kami mula tidur sekatil, dia sudah tahu aku bukan dikahwini untuk duduk di rumah sahaja, melayan suami, menjaga rumah dan membesarkan anak-anak. Dia akur. Dia terima ketetapan itu. Noktah! Jika dulu dia akur, kenapa sekarang mula rasa tak senang? Jika dulu dia boleh berdikari, kenapa sekarang tidak boleh berdikari lagi? Aku masih tidak berubah, aku tetap aku yang dulu. Dia yang berubah, dia yang mula mengira semuanya sehalus-halusnya. Kita kian berusia, sepatutnya kita makin memahami satu sama lain. Tapi rupanya dia semakin kurang memahami hati isterinya ini. Jika dia ingin dimanja, aku pun ingin dimanja. Tetapi pernahkah dia memanjakan aku? Dia tak pernah tanya pening letihku. Dia tak pernah tanya pasal perkara-perkara asas keperluan rumah. Semua itu kuurus sendiri. Hinggakan kepala paip longgar pun aku yang betulkan. Jika lampu rosakpun, aku yang panjat tangga, tukarkan. Hinggakan menukar bola dalam tangki air pun aku yang kerjakan. Memang dia sengaja mengambil kesempatan! Ya, akulah superwomen. Dia harus rasa bertuah kerana memilih aku menjadi isterinya. Biarlah! biarlah seminggu dua ini kami make dono. Biar dia muhasabah dirinya! Biar dia melayan migrainenya dan aku rela tidur sendirian! Masuk malam ini sudah tiga hari aku tidur ditemani bantal peluk! Penulis: Sri JANGANLAH TIDUR SENDIRIAN - SIRI 4 Sayangku, Abang tahu yang sayang ialah anak seorang ustaz sedangkan abang ini dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang pincang dan serba kekurangan. Namun latarbelakang masa silam tidak usah kita ungkitkan. Jadi usahlah diungkitkan pasal arwah nenekku yang hobinya mencabut uban di tangga itu. Dia juga wanita berkerjaya sebenarfnya, seorang petani yang gigih menggunakan tulang empat keratnya untuk membesarkan orangtuaku. Abang mahu biarlah kita sehidup semati dan sama-sama ke syurga nanti. Memang sayang adalah superwoman, memang abang sangat bertuah memiliki sayang. Namun dalam banyak hal, abang merasakan yang sayang lebih mementingkan kerjaya berbanding dari rumah tangga. Abang tidak perlu bersyarah panjang kerana migren abang ini sudah sampai ke puncaknya agaknya. Sebelum apa-apa terjadi kepada abang, abang hanya ingin mengingatkan sayang hanya dua buah hadis sahaja yang abang ingat-ingat lupa. Pertama, tidak akan diampunkan dosa seseorang isteri yang membiarkan suaminya tidur dalam kemurkaannya sepanjang malam dan yang kedua adalah haram bagi seseorang Muslim memutuskan tali persaudaraan dengan saudaranya yang Muslim lebih daripada tiga hari. Cukuplah sekadar itu sayang. Semoga rasa amarah sayang tidak akan menakluki intelektual sayang yang tinggi itu. Oh ya, sebelum abang terlena lagi, abang teringatkan satu lagi hadis. Jika si suami berhajatkan isterinya hatta ketika berada di belakang kuda sekalipun, maka adalah wajar bagi si isteri untuk memenuhinya. Abang bukan memerlukan sayang di kandang kuda!, Di sini sayang, ditepian tilam empuk ini. Abang Cuma mahukan sayang memicit kepala abang yang sakit dan hati abang yang bengkak ini. Selamat malam sayang. Abang tidur dulu dan semoga dapat berjumpa bidadari dalam mimpi yang boleh melegakan penyakit abang ini. Assalamualaikum. Penulis: MBA JANGAN NYANYIKAN LAGU ITU ... - SIRI 5 ENTAHLAH apa silapnya malam tadi. Aku yang terlelap atau dia yang memang tak mengharap apa-apa daripadaku. Dia kata migraine. Tapi hairannya dia masih boleh duduk berjam-jam mengadap komputer. Sampai aku masuk bilik tidur, aku lihat bilik kerja kami masih terang benderang. Alat hawa dingin masih terpasang. Entah ke hujung dunia mana dia rayau. Aku berani bertaruh. Dia mesti ke site negara matahari terbit itu. Dia mesti sedang berseronok-seronok dengan kawan-kawannya. Kala itu apakah aku masih berada dalam sanubarinya? GENTING Highlands. Awal pagi tadi, aku menggesek mata. Kutoleh ke kanan. Dia sudah tiada. Malam tadi dia tidur agak lewat tapi pagi ini awal-awal lagi sudah hilang. Bukan dia tak tahu aku akan mendaki jalan berliku lebih 200km pagi ini. Dia sudah kuberitahu sejak tiga hari lepas. Sudahkah dia meninggalkan ciuman sayangnya ke pipiku? Tatkala ingin mengenakan tudung, sekeping kertas A4 jatuh dari meja solek. Oh... kubaca talian hayatnya itu. Nampaknya dia masih lagi sarat dengan perasaan. Dia masih lagi membisikkan kata-kata pesimis. Ah, dia benar-benar sedang mengemis. Mengemis secebis hatiku. Tetapi sedarkan dia malam tadi akulah si pengemis yang kedinginan. Akulah si pengemis yang mengharapkan kunjungannya. Kalau betullah dia cemburu pada kerjayaku. Atau dia jaki dengan kesibukanku... esok akan kuhantar borang cuti. Akan kumohon cuti seminggu. Aku akan mengadap dia seorang. Aku akan hantar dia ke pejabat dan mengambil dia pulang. Aku akan suapkan makanan ke mulutnya. Aku akan mandikan dia. Aku akan picit dan urut kepalanya. Aku akan berkepit sahaja dengannya, terutama menemaninya menekan-nekan papan kekunci komputer, menerjah ke negara mana dia pergi berjumpa kawan-kawannya. Meluat. Biar dia meluat. Dan semoga dia tahu, aku juga meluat hendak melakukan semua itu. Tetapi lagu itulah yang selalu dia dendangkan di telingaku.... Penulis: Sri LAGU ITU LAGU SENDU... - SIRI 6 Esok adalah hari yang paling bermakna bagiku. Tepat jam 12 malam ini, genaplah usiaku setengah abad. Syukur kepada Tuhan kerana memanjangkan usiaku dengan penuh kesejahteraan dan sihat walalafiat. Sesungguhnya aku terlalu jarang diserang sakit, selain daripada migren yang sekali-sekala menyerang. Rindu juga aku untuk bertemu doktor Daud yang menjadi doktor famili kami semenjak sekian lama. Bukan untuk mengambil ubat, tapi peluang bagiku berbual dan bertukar fikiran dengannya menganai PDA kami. Aku terpacak di depan notebook ini menanti detik 12 malam bagaikan anak kecil menunggu kepulangan ibunya. Kejab-kejab menoleh ke sana, kejab lagi ke sini. Mungkin dia akan menyapa dan mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-50" buatku. Bagiku biarlah dia orang yang pertama mengucapkannya. Namun penantian aku pada tahun ini adalah sama sahaja dengan tahun-tahun yang sebelumnya. Mungkin aku ini tidak ikhlas. Setiap kali aku memberikan hadiah pada ulangtahun kelahirannya, aku berharap dalam hati agar mendapat balasan sewajarnya pada hari kelahiranku pula. Namun hari yang bersejarah bagi hidupku ini tidak pernah diingati oleh keluarga sendiri. Oh! inilah balasannya sumbangan aku yang tidak ikhlas itu. Sejam telah berlalu aku menyambut usia ke-50 dengan meriah sekali dengan segenap rakanrakanku dari seluruh dunia. Ya, pada saat ini semua rakan-rakanku turut hadir secara maya untuk menyambut ulangtahun kelahiranku. Ingatan mengimbau ke Okinawa 10 tahun lalu, di mana sambutan secara besar-besaran diadakan untukku sempena ulangtahun kelahiranku yang pertama. Ya pertama! Kerana kata orang hidup lelaki bermula di usia empat puluh. Sebagai class leader, aku diraikan semahunya oleh semua ahli dan juga sensei. Namun aku bataskan supaya parti itu hanya dalam kelas sahaja dan tidak terbawa-bawa ke bilik hostel, shukudo atau club di sebelah malam nanti. Lebih baik berhati-hati sebelum terlanjur. Maklumlah di negara metahari terbit ini tiada pantang larangnya. Di depan notebook ini, ucapan selamat ulangtahun kelahiran dan salam rindu bertalu-talu datangnya dari Lidia dari Chile, Adrian dari Argentina dan Jose dari Peru. Mereka sedang rehat makan tengahari di pejabat masing-masing rupa-rupanya. Si Yamamoto dari Tokyo, Julio dari Manila, Fang dari Beijing dan Opan dari Jakarta juga tidak ketinggalan. Seperti biasa aku jangka esok atau lusa sampailah kad ucapan dari Iqbal dari Pakistan dan Masele dari Tunisia yang masih tidak mempunyai hubungan Internet. Rakan-rakan dari Malaysia pula bertalu-talu mengucapkan selamat melalui SMS. Meriah juga begini dan masih ramai juga insan yang mengingati tarikh keramat ini, kecuali dari keluarga sendiri. Mungkin mereka sengaja ingin mendera aku begini. Alhamdulillah. Namun di tahun hadapan sekiranya masih ada umur, akan kuhadiahkan lagi sesuatu pada hari kelahirannya. Mungkin kali ini, apa yang kuharapkan hanyalah dia tidak lupa untuk menghadiahkan aku al-Fatihah setelah aku tiada lagi di dunia ini. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini aku selalu mengingati mati. Besok pagi-pagi selepas subuh, akau akan terus memecut ke Melaka untuk proses temuduga pengambilan jawatan pegawai sistem maklumat. Kerja ini walaupun tidak dibayar sebarang imbuhan, namun ia membawa banyak faedahnya untuk perkembangan kerjaya skim ini. Walau bagaimanapun kata putus pengambilan adalah tertakluk kepada pengerusi yang merupakan ahli SPA. Untung juga tidak ke pejabat pada hari keramat ini, jika tidak sudah tentu pelbagai usikan yang menikam kalbu datang bertalu-talu dari anak buah di pejabat. Entah berapa kali lagi aku berpeluang mendengar dan mendendangkan lagu sendu ini... Penulis: MBA SAYANG SAYANG BUAH KEPAYANG - SIRI 7 "Eh, apa awak ni? Dah buang tebiat ya?" Aku terperanjat. Tergamak dia kata aku dah buang tebiat! Apa maknaya bila dia kata sudah buang tebiat? Bukankah maknanya aku dah hendak mati? Dah nak mampuskah aku? Hendaknya bila kusuapkan dia bingka ubi, alangkah gembiranya kalau dia kata begini sahaja... "eh, apa mimpi sayang ni? Teringat masa bulan madu dulu ke? Sayang mimpi apa malam tadi? Berjumpa putera raja dari kayangan ya? Sayang... sayang..." Ah, suara kemanisan dan godaan asmara itu sudah tiada lagi. Itu belum lagi kupicit-picit kepalanya yang selalu migraine atau kuurut belikatnya yang selalu lenguh-lenguh. Kalau kulakukan itu, mesti dia yakin memang sah aku dah buat tebiat! Sebenarnya telah kukotakan janjiku. Aku ambil cuti seminggu. Handphone kumatikan. Aku juga tidak memview blogku. Kumatikan talian faks di rumah. Kututup mataku daripada menyelak novel-novel kegemaranku. Ya, telah kulupakan Arenawati dan Samad Said. Kubuang ingatanku pada haiku, tanka, senyru dan rensaku. Kututup terus ingatanku pada damahum, pada tomohiko, cikgu hasimah, prof irwan, pak latip, madzaked, gravesdigger, nakhoda, effa dan semua rakanrakan di komuniti esastera. Sebenarnya itulah hadiah harijadi paling mahal untuknya. Tetapi pengorbanan itu tidak bernilai di matanya. Tiba-tiba ingatanku singgah pada Rudy... sihatkah si cahaya biru itu? Ya. Aku terkenangkan Rudy. Paling akhir kami bertemu di Hotel Istana dalam majlis anjuran JICA. Dia yang suka ketawa. Ada satu e-mailnya yang belum kubalas. Penulis: Sri SIRI 8 Seharian di Melaka cukup menyeronokkan. Kadang-kadang jika dapat Dato' Pengerusi yang sepadan begini, berbulan keluar jadi panel temudugapun tak mengapa. Berbagai perkara lucu dan banyak pengajaran yang ditimba dari Dato' Razak ni. Kami berdua jadi serbasalah untuk tidak memilih calon-calon ke jawatan PSM ini oleh kerana semua yang datang temuduga adalah yang terbaik. Dari 70 senarai yang perlu ditemuduga, kuota kami ialah 4 orang sahaja yang boleh dipilih dan 4 lagi calon simpanan. Memang sengit persaingannya. Kami juga kurang mengerti apabila PSM dari sektor swasta yang bergaji US$5K dan DBA bank asing juga datang memohon jawatan ini dan sanggup menerima gaji yang ditawarkan. Mereka ini juga ini telah melepasi tahap kecemerlangan sesi temuduga. Namun keputusan Dato' pengerusi ada logiknya dan ia suatu pelajaran baru buatku. Sampai ke rumah ingatkan nak bersantai dengan membaca dan menjawab e-mel, mengintai blog dan ke eSastera. Namun kulihat Mercedes mata belalang milik syarikat tersadai di garaj. Setahu aku dia ke Genting, bersukaria dalam tugas di sana. Oh mungkin dia menaiki kereta ofis agaknya. Tetapi terkejut beruk aku apabila dapati dia berada di rumah dan tanpa bertanya apaapa lantas menyuakan sesuatu ke mulutku. Apa lagi bertempiklah aku. Entah-entah dia ni dah buang tebiat, entah-entah ini sebenarnya bukan dia, tetapi sesuatu yang menyamar. Pelbagai perasangka buruk terlintas sepantas pemproses pentium xion dalam kotak fikiranku. Entahentah dia nak bomohkan aku supaya.. ah entah apa-apalah aku ni. Aku bungkam apabila dia berada di rumah bukan pada waktunya. Waktu-waktu begini aku perlukan sedikit privacy. Aku perlu membaca dan membalas mel yang barangkali banyak diterima hari ini. Juga komen dan catatan di blog perlu diteliti dan dijawab jika perlu. Ya aku sememangnya memerlukan sedikit privacy. Sebenarnya terlalu jarang suami seperti aku ini. Aku tetap pulang dan bermalam di rumah walau apapun terjadi. Di samping menjimatkan duit kerajaan yang tidak perlu membayar sewa hotel untukku di Melaka, aku juga menjimatkan rasa curiga isteriku, begitulah harapanku. Jika diikutkan hati, ingin saja aku beli beju berjenama atau sepatu baru ataupun PDA Treo 600 yang lengkap dengan kamera, telefon dan Palm untuk dihadiahkan kepada diriku sendiri sempena ulangtahun kelahiran bertuah ini. Akan kukatakan ada secret admire yang menghadiahkannya padaku. Tetapi aku masih lagi waras dan tidak perlu menyakitkan hati sesiapa walaupun Treo tu sangat-sangat kuidamkan. Oleh kerana privacy agak terganggu, aku memilih untuk tidur sahaja untuk mententeramkan jiwa. Penulis: MBA APA ERTI KEMURUNGANNYA ITU? - SIRI 9 Dia banyak tidur akhir-akhir ini. Ya, sejak dua tahun kebelakangan. Malah migrainenya makin menjadi-jadi. Tidak dinafikan dia seperti lebih tua daripada usia sebenarnya. Banyak artikel telah kubaca mengenai lelaki. Hari ini fikiranku mula menerawang satu persatu mengingat kembali apa yang telah kubaca.... Faktor usia dan masalah banyak mendorong pada berlakunya kemurungan dikalangan lelaki. Ramai lelaki yang memasuki fasa usia sebegini akan menghadapi sindrom kemurungan. Itu yang kuperolehi daripada Doktor Ismail Thambi. Beliau ialah Specialist Reproductive Human Research Center at the National Population and Family Development Board in Malaysia Apakah suamiku sedang bermasalah? Apakah ini menunjukkan tahap androgen dan testosteronnya mulai menurun? Seperti suatu perkhabaran duka, kukaitkan segala yang terjadi ini dengan simptom di depan mata; dia mudah tersinggung, suka menyendiri, selalu gelisah dan sukar untuk tidur. Ah... aku masih muda. Dia juga harus ikut sama muda seperti aku. Tetapi dia selalu mengelak bila diajak berjogging bersama. Dia tak suka aktiviti luar. Terutama waktu panas. Dia tak suka badminton, tennis apalagi golf. Sebaliknya pc itulah yang dihadapnya. Sampai tengah malam atau kalau hujung minggu hingga subuh. Kemudian bila keletihan dia akan tidur... itu sahaja rutinnya. Siang berganti malam, dan malam berganti siang... masa berlalu dengan pantas. Dan aku tak mahu menanti atau menoleh ke belakang. Ternyata, hadiah harijadiku untuknya tak bermakna langsung. Aku kembali sibuk dengan urusan kerja. Dan dia juga makin sibuk dengan intipanintipannya terhadap segala aktiviti seharianku. Aku tahu itu, sengaja kubuat tak tahu... Penulis: Sri SIRI 10 Bila mata terbuka kulihat hitam delita disekeliling. Diri termanggu-manggu kebingungan. Entah apa yang telah berlaku, entah di mana diri berada. Hampir seminit aku begitu. Mencapai PDA di tepi meja dan oh jam 3:00 pagi rupanya. Masyaallah dari siang aku tertidur!. Aku telah terlepas satu temujanji dan kewajipan paling besar. Ya Allah aku telah tidak menemuiMu maghrib tadi. Kepala mula berdenyut-denyut. Adakah aku stress atau tension?. Masakan!… ini jam 3 pagi, baru bangkit dari tidurpun. Rasa-rasanya aku tidak bergaduh, bertengkar atau dikejar harimaupun dalam tidur tadi. Tetapi begitulah jasadku ini, kepala aku akan berdenyut pagaikan ditikam-tikam andainya jiwa tersiksa. Ya, jiwaku sedang tersiksa amat sekarang kerana telah terlepas dari mengerjakan suruhanNya. Mengapalah dia langsung tidak mengindahkan aku, malahan tidak bersamaku di sini. Mungkin dia sedang dibuai mimpi di bilik anak kami. Mungkin juga inilah balasannya kerana menolak suapan bingka ubinya siang tadi. Jika hanya kerana itu, akan ku campakkan ego ini jauh-jauh dan akan memujuknya semahunya seperti biasa nanti. Ah apa-apapun terpaksalah Isya dahulu dan qadha maghrib yang telah tertinggal… Untuk menyedapkan hati dan meringankan jiwa dari rasa berdosa, aku pujuk hati dengan hadis yang lebih kurang bermaksud "Sembahyang itu diwajibkan kepada yang sedar". Jika tertidur, telah masuk dalam bab lupa dan wajiblah sembahyang setelah jaga. Mudah-mudahan Allah menerima taubat hambaNya. Penulis: MBA TATKALA TANGANNYA KUSENTUH... - SIRI 11 BUKAN sengaja! Aku tak bermaksud membuat dia berdosa apabila dia gagal menunaikan Maghrib. Tapi melihat dia keletihan di katil, mendorong aku jatuh kasihan. Dia kepenatan. Agaknya dia terlalu sibuk di pejabat siang tadi. Jadi kubiarkan dia terlena seketika.... Pagi ini kulontarkan egoku jauh-jauh. Perlahan-lahan aku berdiri di belakangnya, mengikutnya bersembahyang subuh. Aku harap dia mengerti makna dehemku di belakangnya. Di pagi nan bening, kucampak rasa kecewa ke luar dari dada. Harapnya dia begitu juga. Sempena Ramadan al mubarak yang bakal tiba aku harap kami sama-sama dapat menunaikan puasa di siang hari dan malamnya berjemaah terawikh di masjid. Semoga bulan berkat ini akan menyambung kembali tali kasih kami yang hampir reput. Subuh itu, selepas mengaminkan doanya dan tatkala kami bersalaman, kutatap mata beningnya dan melihat bibirnya berkata perlahan, "abang mintak maaf..." dan tanpa sedar bibirku juga melafazkan, "saya juga bang..." Dan pagi itu kami ke pasar bersama, seolah tiada duka yang singgah dalam hidup kami sebelum ini. Namun yang tak sedapnya, dia menyuruh aku memandu sementara dia di sebelah, asyik membaca akhbar! Penulis: Sri PASANGAN BAHAGIA TOKKI DAN TOKWAN - SIRI 12 Malam tadi rupanya aku pulang ke kampung mengimbau semula zaman kanak-kanakku bersama Tokki dan Tokwan. Kedua-dua mereka mempunyai kejaya sendiri, namun tanggungjawab utama tidak pernah diabaikan. Tokwan sibuk dengan sekandang lembu pawahnya serta huma di hujung kampung. Tokki pula dengan sawah dan tiga buah kolam ikan ternaknya. Pagi-pagi lagi Tokwan akan keluar untuk melepaskan lembu-lembu dari kandang, kemudian terus ke huma untuk melihat-lihat apa yang patut. Kadang-kadang hanya tapak-tapak 'lembu pendek' sahaja yang kelihatan. Hampir tengahari baru dia pulang ke rumah untuk bertanak nasi. Walau bagaimanapun Tokwan tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan nenek. Jam berapapun aku terjaga dari tidur, pergi saja ke dapur akan terhidanglah air rawa, ubi rebus dengan ikan masin ataupun lempeng bercicah nyior untuk mengalas perut. Tokki cukup bahagia mempunyai Tokwan sebagai teman hidupnya. Dia selalu berpesan, bila kamu dewasa nanti, jika nak berkahwin dengan orang yang bekerja, tidak ada apa-apa masalah, asalkan makan pakai kamu sekeluarga dapat diuruskan sepenuhnya. Jangan serahkan kepada orang gaji. Oh! Itu semuanya nostalgia dan telah menjadi sejarah. Sedang khusyuk bersembahyang Subuh, aku terdengar dehemnya yang memberi isyarat untuk menjadi makmun. Alhamdulillah, syukurlah kepadaNya. Akan mudahlah segala urusanku selepas ini. Selepas berdoa panjang, kuhulurkan tangan untuk bersalaman dan sebagai suami tiada salahnya memohon ampun maaf dari isteri. Untuk mendengar ucapan maaf darinya terlebih dahulu, tunggulah sehingga kucing bertanduk. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar tanpa bersusah payah. Tiada siapa yang perlu mengemis dalam kesejukan subuh ini, kami sememangnya saling memerlukan dan terlerailah rindu dendam selama beberapa hari ini. Selesai mandi, tugas pertama di pagi minggu ini ialah ke pasar. Membeli apa-apa yang patut sebagai persediaan untuk bersahur. Ya, hanya untuk bersahur sahaja, kerana sudah menjadi kelaziman bertahun-tahun, juadah berbuka semuanya dengan resepi telunjuk di warung sahaja. Namun, ada kelainannya kali ini apabila dia ingin ikut ke pasar. Dalam hati berkata, cemburu ke dia bila aku ke pasar atau ah lupakan saja, ini ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. 'Sayang bawa kereta, biar abang di sebelah. Nak dengar kalau-kalau kereta ni ada bunyi di mana-mana?'. Yalah kereta ni, jika orang perempuan yang bawa, selagi boleh jalan, dihenyaknya saja. Apa dia tahu pasal absorber, bearing, alignment dan sebagainya. Malahan angin tayarpun tidak tahu berapa sukatannya. Penulis: MBA DIAKAH PELAKON HARAPAN TERBAIK? - SIRI 13 KINI tiada lagi orang gaji di rumah kami. Sudah lima tahun kami 'bersarakan' dia. Di suatu malam, dia kami hantar ke Pelabuhan Melaka dan dia berangkat menaiki feri malam itu juga balik ke kampung halamannya di Pekan Baru. Alasannya mahu menikah. Ialah sejak lima tahun dia kami ambil, waktu itu usianya 25 tahun dan wajarlah alasannya mahu menikah apabila menginjak 30. Kini akulah orang gaji di rumah ini. Siang malam aku 'dikerjain'. Siang dikerjakan di pejabat dengan bermacam tanggungjawab. Balik ke rumah dikerjakan dengan pelbagai rutin. Memasak, membasuh, melipat, menyapu, ah... bermacam lagi hingga pada tugas hakiki yang wajib kupenuhi pada waktu-waktu tertentu. Akulah orang gaji yang ada degree, kelulusan bidang profesional dan pernah mendapat anugerah pelajar terbaik semasa di universiti. Anehnya bukanlah degree house keeping! Sedangkah itulah tugas terbesar aku sekarang. Bagaimanapun dengan anak-anak yang sudah menginjak remaja rasanya tugas tidaklah terlalu teruk. Masing-masing sudah boleh berdikari. Berdikari? Ah, itu kata-kata klise bagi dia! Jika tidak diambilkan air dia akan kehausan di sofa. Jika tidak dihidangkan makan, dia akan mati kelaparan mengadap pc. Jika tidak diangkat pakaian kotornya yang bersepah di lantai, dia akan dibelit dek tuala yang bertukar jadi ular... meminjam kata-kata emakku. Namun pagi semalam sesuatu yang aneh telah terjadi. Aku dikejutkan untuk bangun bersahur bukan dengan dering jam loceng tapi dengan riuh bunyi sudip, sudu dan pinggan mangkuk (maaf tomohiko!). "Eh sayang... sorry kalau I ganggu tidur you." Katanya, tersengih bila aku ke dapur. "It's okay bang, apa mimpi ni?" Soalku, menggesek mata yang kelat. "Sekarang semua dah siap. Mari duduk." Tangannya sudahpun menyenduk nasi dan menghidangkan dalam pingganku. Gulai ikan dicubitnya dan diletakkan dalam pingganku. "Kita makan berdua dulu, sekejap lagi baru kejutkan anak-anak..." Katanya lagi. Oh Tuhan... aku terus menadah tangan, membaca doa makan! Semoga Ramadan tahun ini memberiku lebih kekuatan. Penulis: Sri PENGARAH YANG KECUNDANG - SIRI 14 Sebenarnya aku ingin menjadi seorang pengarah. Setelah kecundang menjadi pengarah di pejabat, aku berhasrat untuk menjadi pengarah di rumah sahaja. Mengarah sebuah drama swasta keluarga bahagia. Untung-untung jika ada anugerah bapa mithali atau suami mithali, maka aku adalah salah seorang daripada calon-calonnya. Namun oleh kerana pelakonpelakonku semuanya demand dan berlakon mengikut skrip sendiri sahaja saban hari, jadi mengapa tidak aku pula berlakon sendiri dalam skrip yang aku tulis dalam drama yang aku arahkan sendiri. Sebenar Saerah, orang gaji kami dibersarakan lima tahun lalu secara kebetulan dia ingin berkahwin dan kami sekeluarga pula ingin ke UK selama setahun kerana dia dianugerahkan biasiswa oleh British Council untuk membuat sarjana dalam bidang penulisan di University of Leeds. Sementara anak-anak dapat merasa bersekolah di sana, aku pula mengambil cuti tanpa gaji untuk menjadi 'sura' rumah tangga sepenuh masa. Jadi boleh dikatakan asas-asas lakonan ini telah aku pelajari selama setahun menetap di bumi orang putih itu. Aku sebenarnya amat terkilan dengan JPA yang tidak mahu meluluskan pinjaman pelajaranku walaupun aku juga telah mendapat tempat untuk belajar di sana. Aku bukannya memohon biasiswa, cuma pinjaman yang akan dibayar balik kemudiannya. Alasan kukuh JPA ialah umurku telah melebihi dari syarat kelayakan. Walhal untuk dikirakan logik akal, aku masih mampu untuk melunaskan segala pinjaman tersebut sebelum usia bersara. Kembali kepada dunia lakonan, setakat berlakon sebagai suami yang penyayang, suami yang romantik, bapa yang alim dan yang sewaktu dengannya sememangnya tidak menjadi persoalan kerana ia sememangnya lumrah dan naluri aku sendiri. Anak yang dibesarkan oleh datuk dan nenek di zaman kecilnya sememangnya begini. Jadi sempena dengan hari pertama Ramadhan ini, awal-awal lagi aku ke dapur menyiapkan juadah bersahur untuk kami sekeluarga. Cuma nasi goreng resepi Mak Siti beserta sup perencah adabi. Itulah makanan kegemaran anak-anak kami sewaktu bersahur. Yalah pada jam 4-5 pagi, makanpun sambil memejam mata. Jika masakan lain tentu mereka akan meminum air sahaja untuk bersahur. Setelah selesai semuanya, menggerakkan dia untuk bersahur dahulu berdua dan dalam agak terpinga-pinga dan mamai, dia nonong saja ke dapur dan kami bersahur bersama dalam keadaan yang begitu romantik. Romantik kerana kami hanya makan tanpa banyak berkata-kata, cuma sesekali jeling-jeling dan tersipu sendiri.n Oh nampaknya lakonan pertama ini hampir berjaya dan bolehlah aku memasukkan jarum selanjutnya. Mudah-mudahan berjaya! Penulis: MBA LUPA SKRIP, LUPA LOKASI... - SIRI 15 HARI ini hari ke tiga Ramadan. Dua hari Ramadan berlalu dengan jayanya. Kami bangun pagi dengan ceria untuk bersahur. Sekurangnya tanggungjawabku ringan sedikit. Dia membantu setakat yang boleh. Tidaklah kupaksa dia memasak. Menolong mengemas meja pun dah memadai. Namun hari ketiga Ramadan ini sebaliknya berlaku. Rupanya lakonannya hanya tiga hari. Wataknya sudah kembali ke asal. Dia sudah lupa skrip. Dia dah tak ingat akan kontinuiti. Malah lokasi pengambaran pun dia dah lupa… Apa yang membuatkan dia letih sangat? Jika terawihnya 10 rakaat di masjid, aku pun buat setakat itu juga. Kami pergi dan pulang bersama dari masjid. Lepas itu dia terus sahaja di rumah. Tidak keluar lagi. Ya… pc itu telah meletihkan dia hingga enggan bangun sahur! Dia tidur lewat. Dia mengadap dan mengulit pc itu bagaikan itu isterinya. Kataku jika tak mahu makan, jamah milo dan kurma sebiji pun dah cukup. Tetapi jenuhlah aku mengejutnya, dia sayang nak tinggalkan bantal dan tilam. Puas mengejutnya kusuruh anak kami pula mengejut. Tetapi budak itu ditengkingnya. Itu pantang bagiku...! Anak adalah hartaku. Kami sudah kompromi, kalau kesilapan bukan kerana anak-anak, jangan ditengking herdik mereka. Tapi nampaknya dia dah langgar janji. Kebosanan mula meraja dalam hatiku. Pagi ini aku ke pejabat dengan dada yang sakit. Penulis: Sri TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG INIKAN PULA TEMPAT...- SIRI 16 Sudah seminggu puasa rupa-rupanya. Masa sungguh cepat berlalu. Perjalanan puasa kami sekeluarga adalah seperti biasa, sama macam tahun-tahun sebelum ini. Masuk hari ketiga puasa, dah rasa malas nak jadi suami yang rajin, makanlah apa yang ada, buatlah apa yang terdaya. Biasanya dalam masyarakat kita, jika suami yang ke dapur maka lain macam sangatlah bunyinya melainkan jika ada sebab-sebab yang terlalu khusus. Walau bagaimanapun jika sekali sekala tu bolehlah dikira sebagai bonus kepada isteri ataupun ingin meletakkan lebih udang dalam mee. Sememangnya aku tidak pandai memasak dan tidak ada cita-citapun nak jadi macam Chef Wan. Masak ala kadar janji tidak sakit perut anak beranak cukuplah tu. Memasak bukan untuk dapatkan pujian, namun jika anak beranak asyik senyum-senyum sinis je dengan hidangan yang kita buat lepas tu isteri langsung tak sentuh masakan tu, sudah tentulah ia amat memedihkan. Tanyalah mana-mana isteri, dia bukan meminta masakannya dipuji, tetapi cukup seronok jika suami dan anak-anak memakannya dengan sungguh-sungguh. Suami?. Sudah tentu begitu juga. Jikapun tidak sesedap mana, jamahlah sedikit dan buat-buat hipokrit kata sedap, apa salahnya?. Oleh kerana konspirasi dia anak beranak maka itu adalah kali terakhir aku masak untuk mereka. Entah mengapa aku terlalu teringatkan Ramadan pertama ku di Leeds beberapa tahun lalu. Ramadan di negara bekas penjajah ini tidak kurang meriahnya berbanding dengan di sini. Sememangnya tiada bazar Ramadan seperti di sini, maka tidak bertemulah dengan akok, nekbat, puteri mandi atau lompat tikam. Namun pelbagai juadah manisan dari Pakistan dan Bangladesh banyak terjual di supermarket Al-Halal. Bertarawih di sana cukup menyeronokkan dengan jerik pekik kanak-kanak berlarian di masjid dan surau. Biasanya kami sembahyang terawih di ke Grand Mosque di Woodsley Road yang berimamkan Arab. Kadang-kadang singgah juga di Shah Jalal Mosque dekat Ellers Road. Morey di sini ialah pelbagai jenis roti dengan the panas dan buah epal, suatu yang lain dari di tanah air. Satu lagi yang amat berlainan ialah di masjid-masjid ini anak-anak berkeliaran bermain dan agak bising. Ini katanya adalah psikologi Mat Salleh supaya kanak-kanak biasa dengan masjid dan tidak takut atau fobia dengannya. Semasa ditahyat akhir, sorang budak ni ayik dok tonyoh-tonyoh perut aku, digoncang-goncang kepala aku. Habis saja salam, terus aku tengking dia! Bila kubuka mata didapati anak sulung aku di sebelah. Masyaallah bermimpi aku rupanya! Dan jam sudah menunjukkan hampir sangat dengan imsak. Kadang-kadang bila tidur dalam keletihan, beginilah jadinya anakku kata "abah tidur macam keretapi ekspress Leeds-London saja bunyinya" ..... (Nanti nak tanya dia, abah ada ke sebut nama sesiapa dalam tidur tadi?) Penulis: MBA BAGAIKAN KAPAL GARAM TERBALIK...! - SIRI 17 DENDAM? Sahlah dia masih dendam pada rasa kasih anak-anak yang agak berlebih padaku berbanding pada dia. Dengan wajah serius dan peribadinya yang agak tidak banyak bercakap, suka menyendiri mengadap pc atau palm, anak-anak jadi jaki padanya. "Mak, malam ni mak bangkitlah masak sahur. Lauk abah tak sedap..." Kata anak sulung. "Saya makan sikit saja. Esoknya mesti perut lapar berkeroncong!" Tokok anak kedua. "Syhhh, nanti abah kamu dengar. Mesti dia kecik hati," kataku perlahan, meletakkan jari telunjuk ke bibir. "Mak, ini realiti. Perut ni tak boleh terima, masin! Sayur kangkung lembik..." sambung anak ketiga, wajahnya masam. "Dia lupa agaknya, dia ada darah tinggi..." "Mak, abah sabotaj kita tak?" Sahut anak keempat pula. Aku tersenyum. Bukan anak-anak, aku juga banyak berlakon di meja makan. Walaupun lauknya masin seolah-olah kapal garam terbalik ke dalam periuk aku buat-buat makan dengan penuh selera. Sedangkan dia sendiri kulihat terkulat-kulat nak menghabiskan kari ikan temenung yang dimasaknya itu. Budak-budak memang tak pandai menipu. Apa yang ingin dikata, akan dilafazkan tanpa memikirkan perasaan orang lain. Demi anak-anak aku rela ke dapur semula masa sahur malam nanti. Tak sampai hati rasanya melihat dia terpisat-pisat memasak. Lebih tak sampai hati... melihat anak-anak terkelip-kelip memandang hidangan di meja makan. Tiba-tiba terkenang pada mentuaku, apakah dia sihat sekarang? Selama berpuasa ini sekalipun kami belum menjenguknya sedangkan dia sudah dua kali menelefon, mengajak berterawih di surau. Jika di kampung, tradisi bertukar-tukar juadah masih diamalkan. Kita buat cekodok pisang sahaja... tapi bila menjelang azan kuih bertambah... ada lepat ubi, ada karipap, ada talam ubi kayu! Gulai ayam masak lemak cili padi kita pun dah ada kawan... ada gulai rebung, ada rendang tok... Tapi suamiku selalu tak betah di kampung. Paling lama sehari. Lepas itu dia sibuk nak balik KL semula! Penulis: Sri KAPAL GARAM TERBALIK MENUMPAHKAN GULA... - SIRI 18 Hari minggu di bulan puasa begini, pulang dari pasar tidak ada banyak aktiviti bermenafaat yang dapat dilakukan. Habis dua buah akhbar mingguan, aku mencapai notebook untuk melilau ke alam maya. Namun streamyx ni sememangnya banyak songel, bayar saja RM80 sebulan, tapi perkhidmatannya rasa-rasanya talian dial-up adalah lebih baik. Oleh itu aku ambil keputusan berbaring sahaja di ruang tamu seperti biasa. Walaupun mata telah pejam, namun telinga masih dapat mendengar sayup-sayup drama minggu ini oleh pelakon popular anak-beranak:- "Mak, malam ni mak bangkitlah masak sahur. Lauk abah tak sedap..." Kata anak sulung. "Saya makan sikit saja. Esoknya mesti perut lapar berkeroncong!" Tokok anak kedua. "Syhhh, nanti abah kamu dengar. Mesti dia kecik hati," kataku perlahan, meletakkan jari telunjuk ke bibir. "Mak, ini realiti. Perut ni tak boleh terima, masin! Sayur kangkung lembik..." sambung anak ketiga, wajahnya masam. "Dia lupa agaknya, dia ada darah tinggi..." "Mak, abah sabotaj kita tak?" Sahut anak keempat pula. Alahai bengkaknya hati mendengar drama ini. Sampainya hati seorang ibu tidak mahu memasak untuk sahur sehinggalah anak-anak terpaksa memujuk. Si anak pula, yang bujangtu takkanlah berharapkan bersuap sahaja. Si dara tu hanya tahu rebus telur saja. Masyaallah anak-anak sekarang, sudah mengangap dapur tu kerja orang gaji semata-mata. Sebagai suami, aku terlalu kecil hati apabila isteri merujuk aku sebagai ?oedia?? di depan anak-anak. Agaknya di depan kawan-kawannya tentu aku dirujuk sebagai ?oeorang tua?? sahaja. Oh malang sungguh nasibku. Aku pasti semua aksi ini adalah semata-mata untuk menunjukkan betapa tidak sedapnya masakan aku. Sebenarnya sayur kangkung itu, Kak Piah sebelah rumah yang sedekahkan. Kesian Kak Piah, telah menjadi ibu tunggal semenjak muda setelah suaminya pekerja kedutaan di Belgium menghilangkan diri tanpa sebarang berita sejak lama dulu. Aku memanggilnya Kak Piah kerana dia membahasakan dirinya makcik kepada anak-anakku. Usia sebenarnya tidak pernah kuketahui. Masakan Kak Piah ini memang menjadi kesukaan anakanakku, terutamanya bila isteriku bekerja di luar stesen. Dia siap memberikan wang kepada Kak Piah supaya menyedia dan menghantar makan malam untuk kami anak beranak sepanjang beliau berada di luar. Tapi kini masakan Kak Piah yang enak itupun dikatakan lembik kerana percaya bahawa aku yang memasaknya. Inilah sifat manusia, memandang jenama bukan barangnya Jika diikutkan hati, ingin saja aku mengembalikan semua mereka ini ke UK secara maya semasa kami sekeluarga berada di puncak kebahagiaan. Bangun seawal 4 pagi, menyediakan sarapan dan diner pak* untuk anak-anak yang akan ke sekolah. Jam 4:30am sudah meredah kesejukan pagi ke Tesco menghayun mop dan penyapu selama dua jam. Kemudian bergegas pula ke kampus Beckett Park untuk menyambung lagi tugas sebagai 'floor manager'. Sebelum jam 9am mesti sampai semula ke rumah di Harehills untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Tidak banyak aktiviti luar yang boleh dibuat sementara anak-anak di sekolah, kerana atas faktor keselamatan, pihak sekolah tidak akan membenarkan orang lain yang tidak berdaftar menjemput anak-anak dari sekolah. Jadi di siang hari begini biasanya aku akan berada di kedai al-halal Mahboob untuk menolongnya membersih dan menjual ayam . Upahnya Cuma kepak ayam cukup buat sekali makan. Kemudian jika ada pelajar yang meminta untuk membaiki atau memasang PC, cerahlah sikit rezeki. Jika tidak dok melangut sajalah dalam kesejukan di rumah (sebab tidak larat untuk bayar bil yang terlalu mahal jika menggunakan heater) sambil cuba memasak untuk anak-anak. Setelah mengambil anak pulang dari sekolah jam 3:30. Aku akan bergegas ke Burton untuk bertugas hinggalah jam 9 malam. Begitu ketatnya kehidupan menyara keluarga diperantauan dengan bercuti tanpa gaji. Namun kehidupan kami sekeluarga begitu bahagia. Mengapa begitu?. Mungkin kerana tiada orang lain di sisi, tiada saudara, tiada iparduai yang mengganggu kehidupan kami. Oh bahagianya! Namun rasanya adalah mustahil untuk mengembalikan semula keluarga ini ke sana. Harap-harap makan minum sekeluarga untuk menyempurnakan ibadah puasa ini tidaklah diabaikan oleh isteriku yang hanya dia yang mengetahui sebabnya. * bekalan makanan tengahari dipanggil diner pak oleh cikgu kat sana. Ia disediakan percuma, tapi tidak terjamin halal. Jadi perlulah dibawa sendiri. Walau bagaimanapun meleleh air mataku apabila mengetahui anak-anakku terpaksa makan bersembunyi, hingga di bawah meja kerana malu dengan rakan-rakan mat saleh yang selalu perli akan rupa dan rasa diner pak mereka. Penulis: MBA MISTERI SURAYA - SIRI 19 DEMI suami dan anak-anak aku lupakan segala bengkak di hati. Kebiasannya beginilah. Bengkak-bengkak yang sudah membengkak sekian lama ini kudiamkan, akhirnya akan surut sendiri. Begitulah yang terjadi sejak bertahun-tahun lalu. Tetapi terfikir juga apakah balasan atas segala kebaikanku selama ini... aku yang kerap memaafkan orang, aku yang dengan mudah boleh melupakan silap orang lain, aku yang sesenangnya memekakkan telinga pada sindiran suami dan aku yang boleh membutakan mata pada segala perlakuan yang menyakitkan hati... Mungkin balasannya tak dapat dari segi lahirah agaknya. Alhamdulillah jika ada juga pahala untukku akhirnya. Semasa Sutiah masih bersama kami, (bukan Saerah - nama orang gaji sendiri pun dia lupa!) dia pernah hulurkan sepucuk surat untuk suamiku kiriman dari luar negara. Kuperhatikan cop setemnya. Leeds! Aku tak akan membukanya. Itu pantang suamiku. Sebegitu juga pantang padaku jika surat-suratku dibuka terlebih dahulu oleh orang lain. Bermula sejak suamiku balik kerja dan diperhatinya ada surat untuknya di atas meja di ruang tamu, mataku tak beralih arah. Kuperhatikan sahaja ke mana dia meletakkan surat itu setelah membacanya. Dan akhirnya apa yang ingin kuketahui, semuanya berada di hadapan mata apabila dia masuk ke bilik air. Dadaku berdebar. Surat kiriman dari Leed itu begitu peribadi isinya. Kukutip segala nostalgia. Kuulang semula segala memori tentang Leeds, tentang bumi UK seluruhnya. Waktu itu kami berdikari. Awal pagi kami sudah keluar rumah. Suami pula meredah kesejukan pagi ke Tesco menghayun mop dan penyapu selama dua jam. Kemudian dia bergegas pula ke kampus Beckett Park untuk menyambung lagi tugas sebagai `floor manager'. Sebelum jam 9am dia mesti sampai semula ke rumah di Harehills untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Sementara menanti petang dia menghabiskan masa di kedai al-halal Mahboob untuk menolongn membersih dan menjual ayam Atau jika ada pelajar yang meminta untuk membaiki pc dia mengambil upah. Petang tiada apa yang dia lakukan dan malamnya pula dia bergegas ke Burton untuk bertugas hinggalah jam 9 malam. Waktu itu aku terfikir apakah antara masa senggang itu dia berbuat sesuatu hingga datangnya surat dari Leeds itu sekembalinya kami ke Kuala Lumpur semula? Okey, itu dulu. Sudahpun kulupakan meski tiada jawapan yang kuperolehi. Tetapi kini episod itu berulang lagi. Sepucuk lagi surat dia terima tiga bulan lalu. Dan kuulangi tektik serupa. Membaca surat itu tatkala dia dibilik mandi. Dari orang yang sama dan dari isi kandungannya seolah mereka saling berbalas surat. Rindu. Sepi. Dua kata-kata ini mengisi hampir lima puluh peratus isi kandungannya. Kenapa surat? Kenapa tidak e-mail? Itu juga menjadi persoalanku. Sejak itu hingga hari ini seluruh tumpuanku pada dia mula goyah. Suraya - nama itu berkali-kali kuulang. Siapa Suraya? Penulis: Sri IRWAN, GENTING DAN ISTERIKU - SIRI 20 ANAK-anak adalah permata ibu bapa. Walau apapun pandangan orang lain, namun ia tetap cantik di mata ibu-bapanya. Namun anak-anak hari ini terlalu tinggi demandnya. Semasa tiada PC, kerap ke rumah kawan kerana bermain games. Bila telah dibeli PC, bukan 1, tetapi 5! Hinggakan rumah ini telah boleh menjadi kafe siber, mereka ke cc pula, iaitu kod yang mereka gunakan kepada kafe siber. Kononnya sebab talian Internet di rumah adalah perlahan kerana menggunakan dial-up sahaja. Tidak mengapalah, korbankanlan RM111 sebulan untuk memasang talian streamyx, dengan harapan mereka tidak lagi hilang dari rumah semata-mata untuk ke cc. Sebenarnya bukan wang ringgit yang dikira, tetapi banyak faktor lain yang amat membimbangkan ibu-bapa bila anak-anak mereka ke cc. Manalah tahu tetiba cc itu dirompak atrau diserbu pihak berkuasa kerana ada games yang tidak dibenarkan atau perjudian. Kita juga yang susah jadinya. Namun hanya seminggu sahaja mereka lekat di rumah setelah adanya streamyx, kini menghilang ke cc lagi katanya kerana games di rumah tidak interaktif dan tidak ada kesan streo. Hai macam-macam karenah budak-budak sekarang. Kini demand terbaru ialah mahukan telefon bimbit pula. Bagi su abang dan kakak yang sudah remaja, penggunaan telefon bimbit ini sesudah semestinya. Jadi kepada mereka berdua diberikanlah kad prabayar dan pandai-pandailah mereka menggunakannya dalam suatu tempoh tertentu. Dengan harapan bila telefon bimbit telah ada, tidaklah lagi bergayut pada telefon rumah. Tetapi tidak juga rupanya, telefon bimbit ii hajnya untuk SMS sahaja. Untuk membuat panggilan masih menggunakan telefon di rumah. Padanlah beratus ringgit bilnya setiap bulan. Aduhai anak-anak remajaku. Melihatkan Along dan Angah mempunyai telefin, ini si Acik pula yang merengek mahukan telefon. Yang merungsingkan, si Acik ni masih lagi di sekolah rendah, tetapi alasan dan justifikasi keperluan telefon bimbitnya boleh mengalahkan orang dewasa yang ingin keluar memburu. Agaknya budak ini bila besar nanti boleh diharap untuk membuat apa-apa kertas kerja. Serba salah jadinya samada ingin diberi ataupun tidak. Bagi si ibu 'beri sajalah bang, bukannya mahal sangat. Ini untuk kemudahan kita juga untuk contact mereka'. Kata-kata ini rasanya macam ada sesuatu yang tak kena saja bunyinya. Sebenarnya aku baru menyemak bil terperinci telefon bimbitnya di Internet, di mana aku adalah pemegang induknya. Banyak kelainan dalam bil pada bulan ini. Bukan sahaja bilnya lebih tinggi dari biasa, namun terdapat satu nombor yang terlalu kerap dipanggil. Siapakah tuanpunya nombor itu?. Apakah hubungan isteriku ?. Mengapa dia membuat panggilan yang terlalu kerap?. Dan kebanyakan daripada panggilan itu adalah di sebelah malam, pada setiap hari dan aku pasti pada tarikh itu isteriku bekerja luar, ya di Genting Highlang. Akhirnya aku nekad untuk menjadi PI tidak bertauliah. Nombor itu kupanggil ala-ala PI adanya. +Hello, boleh saya cakap dengan Encik Hamid? -Hamid?. Tak ada nama tu, silap nombor agaknya +Oh sorry, saya Cuma mengembalikan pesanan dari kotak mel saya ni, nombor inilah yang tinggalkan pesanan dan kalau tak silap, namanya Hamid. Boleh saya tahu siapa di sana? -Saya Irwan emm dan +Oh OK En. Irwan, maaf kerana mengganggu, mungkin silap nombor. Terima kasih+ Aduhai siapa pulak Irwan ni?. Apa hubungannya dengan isteriku?. OK! Satu lagi kaedah PI ialah dengan melihat pada buku alamat pada telefon bimbit isteri ku. Ya Allah, apa sudah jadi ni, terpampang Sayang Zzz pada nombor tersebut!. Masyaallah apa yang aku buat sekarang?. Ayat apa yang harus aku bancuh untuk memulakan pertanyaan?. Haruskah aku diamkan saja?. Irwan siapa dikau?. Penulis: MBA IGAU MARAH ABAH - SIRI 21 Mak kejut aku bangun sahur sekitar jam 5 pagi. Aku mamai kantuk mungkin kerana keletihan diulit beban kerja pejabat seharian dan solat terawih 24 rakaat lepas Isyak tadi. Basuh muka dan lihat bihun sup jadi hidangan kami bersahur Ramadhan ketiga. Inilah kelebihan Mak. Sahur kami sekeluarga jarang nasi sejuk. Macam-macam menu. Dari nasi goreng smapailah ke lempeng dadar putih bercicah kuah kari. Aku lihat adik-adik tak bangun lagi. Mengengsot menggerakkan mereka sebelum Ummi minta kejutkan Papa di ranjang tidur. Katanya Abah tidur mati. Dengkurnya bagai enjin keretapi. Mak kata Abah berjaga sampai dinihari depan komputer. Entah apa yang digodeknya Mak sendiri pun tidak tahu. Aku tahu, Abah leka dengan komuniti internetnya. Sejak berkenalan dengan dunia esastera, pulangnya selalu awal dari pejabat. Berjam-jam depan komputer mengetuk papan kekunci seperti mengarang sesuatu. Pernah juga aku mencuri lihat. Papa seperti menulis pantun-pantun tetapi dengan tiga rangkap. Apalah agaknya yang dia tulis. Nantilah bila berkemsepatan aku cuba cari di history Windows, laman web apa yang Papa jengah. Kadang-kadang syak juga. Takut Abah layari laman web yang tak sepatutnya. Tapi aku tahu, Abah bukan manusia jenis itu. Aku percaya Abah. Mungkin Abah mahu kembali ke dunia mudanya dulu. Dunia dimana dia pernah bergelumang dengan pena, kertas-kertas putih dan mesin taip buruknya. Menaip bait-bait puisi atau kadangkala cerpen untuk dihantar ke media cetak. Pernah Abah tunjukkan keratan puisinya yang tersiar di akhbar tempatan suatu waktu dulu. Tapi itu sudah lama. Masa aku di alam sekolah rendah. Sudah lebih sepuluh tahun berlalu. Selepas itu Abah seperti mogok dengan dunia sastera. Malas alasannya. Tapi aku tahu aku pernah terdengar Abah berbicara dengan Mak. Dunia Sastera Nasional bagaikan tidak adil untuk orang sepertinya. Abah kata puisinya banyak dicedok ciplak, lalu jadi puisi baru orang yang mahu cepat menempa nama. Aku gerakkan Abah. Ajak dia ke meja makan. Mak dan adik-adik sudah tunggu. Selalunya Abah yang mulakan bacaan doa sebelum kami sekeluarga menjamah hidangan. Abah hanya berdehem. Aku pegang lengannya. Menggoncang beberapa kali. Tiba-tiba terdengar suara tempikan! Aku diherdiknya. Mengacau orang tidur katanya. Aku terpetir dengan kata-katanya. Seingat aku, Abah tak pernah mahu segarang itu dengan kami anak-anaknya. Aku sedikit terluka. Tapi aku tahu, itu mungkin di luar kesedarannya. Mungkin Abah dalam mamai. Aku berlalu ke meja makan dengan perasaan seribu duka. Seboleh mungkin aku cuba sembunyikan luka itu. Aku buat muka macam biasa. Aku cuma kata, Abah tak mahu sahur. Aku tak mahu mengadu perkara sebenar kepada Mak. Aku takut Mak dan Abah bergaduh kerana anakanaknya. Lagi-lagi kes terpencil seperti itu. Aku duduk kembali menghadap meja makan. Bihun Sup Mak aku jamah bagai hendak tak hendak. Selera aku mati. Tetapi mengenangkan aku perlu tenaga untuk ke pejabat esok pagi, aku telan semua kepahitan yang ada dengan keenakan Bihun Sup buatan tangan sakti Mak! Sayang Mak! Penulis: Rudy PAPA KERUT DAHI, BIL TELEFON TINGGI? - SIRI 22 Pulang dari kerja petang itu, aku lihat Abah kerut kepala menatap Kertas putih berkepala biru. Aku tahu sudah tentu kertas itu surat minta bayar hutang dari telekom. Dalam keluarga akulah satu-satunya anak Abah dan Mak yang sudah bekerja. Angah dan Acik masih sekolah. Kalau nak dikira, aku anak paling manja dalam keluarga. Kalah Achik yang di sekolah rendah itu. Apa tidaknya jarak umur aku dan Angah adalah 8 tahun! 8 tahun aku bermanja dengan Ummi sebelum Angah merebut tempat aku. Walaupun umur aku sudah mencecah dua puluhan, Mak tetap anggap aku bagai anak remajanya. Sampai kad prepaid telefon akupun masih Mak belikan. Tapi bukan kerana aku tak mampu. Aku mampu sebenarnya pakai telefon bimbit yang bayarnya akhir bulan. Tetapi, Mak ini tau sahajalah bebelnya. Mahu aku berjimat sementalah aku masih baru memulakan alam kerjaya. Malah kami sekeluarga memang pakai telefon bimbit pra-bayar. Mak bijak bila mendaftarkan diri dalam satu skim kad pra-bayar dimana Mak akan beli secara borong kad prepaid tersebut dengan harga yang jauh lebih murah. Aku kagum dengan Mak. Dia bukan sahaja pandai mengurus rumah tetapi juga pandai mengurus bajet keluarga kami. Pernah sekali aku suarakan untuk berpindah ke rumah sewa selepas aku bekerja. Mak bantah awal-awal. Katanya buat apa membazir, sedangkan ada 5 buah bilik di rumah ini. Mak suruh aku berdikari dengan cara lain. Tak semestinya aku tidak boleh berdikari jika tinggal di sekeluarga dengan Abah dan Mak. Akupun tak tahu apa yang terlindung di sebalik hati Mak. Mungkin sejak anak-anak Mak meningkat besar ini, dia berasa semakin sunyi. Lihat sahaja semasa aku dapat tawaran sekolah berasrama penuh di tingkatan satu. Mak tak izinkan aku pergi sampai menangis dan merayu. Aku akur dengan nasihatnya dan nekad ke asrama penuh selepas peperiksaan PMR nanti. Sejak masuk tingkatan 4 hinggalah aku tamat ijazah pertama di Rykukyus Universiti, Okinawa Jepun, aku berjauhan dengan Mak. Mungkin sebelum berkahwin ini, Ummi mahu suburkan kembali keakraban kami. Jadi aku senang menerima pelawaannya. Walaupun begitu, aku tak mahu makan duit tanggungan Abah dan Mak lagi. Setiap bulan aku peruntukkan sejumlah wang untuk duit dapur Ummi. Memang Ummi menolak asalnya, tetapi aku minta Mak terima kerana aku sudah bekerja. Itupun duit itu dia tak guna katanya. Terpulanglah dia nak gunakan duit itu untuk apa. Aku menghenyakkan punggung ke sofa sambil melonggarkan tali leher. Abah disebelah pula sedang mengerutkan dahi. Aku tanya bil telefon melambung lagi ke? Papa berdehem kecil. Ini mesti gara-gara Angah yang mula kenal makna cinta monyetnya. Takpun talian Streamyx yang kami sekeluarga guna. Nak kata aku bergayut tidak juga. Malah aku sendiri jarang online di rumah. Kemudahan internet di pejabat jauh lebih baik. Papa bingkas bangun menuju meja telefon. Entah siapa yang didailnya. Aku segera berlalu ke bilik. Mahu rehat kerana letih dihambat kerja seharian. Penulis: Rudy PADA IRWAN KUGANTUNG HARAPAN - SIRI 23 SURAYA... siapakah dirimu yang akhir-akhir ini bermain dalam benakku? Suraya... nama itu melambangkan kelembutan. Sama seperti hatiku, lembut dan ranum. Dan lembut ranum inilah yang kupelihara, bertahun-tahun kebelakangan ini. Kutoleh wajah suami yang sedang terbaring di sisi. Ada misteri pada wajah itu. Kutatap sekujur tubuhnya, ya ada rahsia yang tersimpan. Kejap dan kukuh. Dengus nafasnya naik turun satu persatu, teratur dan damai. Namun ia amat kontras dengan apa yang sedang bergelumang dalam dadaku. Ombak hatiku makin ganas! "Tolonglah saya, saya mesti selesaikan hal ini segera," kataku, mengharap belas. "Tapi, saya tak ada sumber... saya tak tahu," jawabnya, jujur. Kuperhatikan raut lelaki di hadapan mataku. Siang tadi kupanggil dia ke pejabat. Takut-takut berani dia datang mengetuk pintu bilikku. "Masuklah, jangan takut. Ini pejabat, bukan bilik hotel." "Tapi... tapi... apa hal ni?" "Tolong ekori dia lagi. Tolong laporkan pada saya ke mana dia pergi, dengan siapa dia pergi. Jangan lalai. Jangan cuai... tolonglah!" "Saya takut, saya tak berani. Ini kerja gila ni. Cukuplah sekali dulu saya ekori dia, rasanya dia tahu dia diperhati," katanya jujur. Aku serba salah. "Perasaan awak saja kot..." "Tapi saya tahu dia menyiasat siapa saya. Nombor telefon dia pernah tertera pada telefon saya." "Awak lelaki, hal main kayu tiga ni, lelaki saja yang tahu. Saya bukanlah nak kata awak ada pengalaman, tapi saya rasa awak lebih mahir..." "Eh, tak baik prejudis. Saya tak macam orang lain. Okey, saya tolong, tapi kali ni saja." "Alhamdulillah..." kataku perlahan sambil mengurut dada. "Jika ada maklumat telefon saya. Atau kalau payah biar saya yang telefon awak." Aku memberi jaminan. Kata-katanya itu benar-benar memberiku nafas baru. Aku yakin dia akan memberiku maklumat yang detail, maklumat yang amat kuperlukan. Maklumat yang akan menentukan jatuh bangun kebahagiaan rumahtanggaku. Irwan hanyalah drebarku. Tetapi pada dialah kusandarkan harapan. Aku harap dia dapat melaksanakan amanat ini. Dia baru sahaja diarah bertugas untukku. Sebelum ini aku memang tak mempunyai pemandu khas. Alhamdulillah, setelah mencapai skim baru ini aku berhak mendapat seorang pemandu. "Eh, bila nak kahwin?" Soalku tiba-tiba bila dia mahu meninggalkan bilik. "Kahwin? Rasanya biarlah saya puas menduda dulu!" Katanya pantas. Kemudian kami sama-sama tergelak. Sri MISTERI SURAYA II - SIRI 24 PELAYARAN sebuah bahtera bernama rumahtangga selalunya naik turun dan beralun mengikut pusingan ombak. Ada kalanya setenang air di tasi ada ketikanya pula berkocak bagaikan dilambung badai dan gelora. Yang pasti bahtera perlu terus berlayar, jangan terhenti di tengah samudera dan setiap penghuninya perlu tahu tugas masing-masing dan di mana batasannya. Sama seperti rumahtangga lain juga, kami tidak terlepas dari itu semua. Ada kalanya terlalu damai dan romantis dan ada kalanya suasana menjadi tegang dan bergelora. Apa yang perlu dikhuatirkan sangat, memang ada dalam berumah tangga. Bagaikan bermain layang-layang, kita ikut sahajalah alunan angin dan tali tidak perlu disentap jika mahukan layang-layang terus terbang. Semenjak petang semalam dia asyik muncung saja, ini sudah tentu ada perkara yang tidak betul ni. Sewaktu begini usahlah ditegur atau diajak bergurau, nanti angin sepoi-sepoi bahasa tu akan bertukar menjadi taufan dan tentu layang-layang akan putus talinya. Biasanya ia perlu dibiarkan dengan dunianya untuk sehari dua jika demikian halnya. Dalam masa senggang semasa di kampus dan anak-anak ke sekolah, aku duduklah melepak buat-buat sibuk di kedai alhalal atau jalan-jalan menyusur pekan kecil Harehill. Suatu hari aku bertemu dengan seseorang yang saling tak tumpah seperti sasterawan negara, A.Samad Said dari segi putih dan panjangnya rambut serta janggutnya. Dalam hati terdetik, adakah ini Pak Samad atau kembarnya?. Dari Malaysia?. Apa Khabar? ucapnya. Oh, pandai cakap Melayu rupa-rupanya dia!. Ya dari Malaysia, khabar baik balas ku. Uncle dari Malaysia juga?? Sejak hari itu hampir setiap hari aku berjumpa dan bersembang dengannya. Uncle Sim nama yang diberikan pernah tinggal di Malaya suatu masa dulu dan kini telah berhijrah ke UK beberapa bulan sebelum Malaya mencapai kemerdekaan. Ada yang mengatakan Uncle Sim ini tidak betul orangnya. Ada yang mengatakan dia adalah bekas anggota PKM yang melarikan diri ke UK dan macam-macam lagi mengenainya. Kehidupan Uncle Sim sekeluarga terlalu privacy. Dia tidak akan memberitahu di mana rumahnya dan cukup pantang jika fotonya dirakam. Namun dari cakap-cakapnya menampakkan yang dia adalah seorang yang berpengetahuan dan banyak membaca. Seperti biasa aku menjadi pendengar setia kepada setiap hujah dan pidato berfalsafahnya dalam pelbagai topik dunia. Hayalanku terhenti sejenak apabila teringatkan sekeping surat dari Leeds yang belum habis kubaca. Pengirimnya ialah Suraya, yang katanya ialah anak kepada Uncle Sim. Oh ruparupanya Uncle Sim ini mempunyai anak yang bernama Suraya. Beliau menulis surat untuk memberitahu sesuatu mengenai ayahnya dan beliau memperolehi alamatku daripada buku nota bapanya. Hanya itu yang beliau ada dan bukan telefon, faks ataupun alamat e-mel ku. Suraya Cantik nama itu, Suraya Sim barangkali. Penulis: MBA LOMPAT TIKAM l - SIRI 25 Dua tiga hari ini aku lihat Mak dan Abah tidak banyak bercakap. Aku rasa sunyi. Selalunya bila pulang ke rumah, tidak sah kalau tidak mendengar tawa mereka berdua. Aku jenis suka mengusik. Pasti salah seorang akan cuba mengaitkan satu sama lain bila aku mula mencucuk jarum usikan. Petang tadi bila aku cuba buat lawak seperti biasa, Mak diam seribu bahasa. Abah pula seperti tiada reaksi. Senyum pun tidak. Masam pun tidak. Apa lelucon aku tidak laku lagikah? Aku sedikit musyhkil. Sebelum melalut baik aku padamkan semua perasaan itu. Bersangka baik adalah yang terbaik. Mungkin Abah penat dengan beban kerja di pejabat. Begitu juga dengan Mak.Masing-masing ada masalah sendiri di pejabat. Tapi hati kecil aku seperti berbisik. Bagai ada yang tidak kena dengan pasangan bahagia ini. Tidak seronok kalau Abah dan Mak seperti itu. Nak kata bergaduh tidak juga. Masing-masing seperti menyimpan berbuku-buku perasaan. Bahaya memendam perasaan. Takut ia memuntahkan lahar dendam. Mahu bergegar keharmonian rumahtangga. Adakah wujud orang ketiga di antara mereka? Oh! Minta dijauhkan! Ureka! Aku ada idea. Petang itu aku bawa Angah dan Achik membeli kuih di Bazar Ramadhan. Aku ada idea untuk menyemarakkan semula keheningan rumah kami. Aku mahu beli kuih lompat tikam. Aku tersenyum sendiri. "Apasal Along senyum-senyum ni? Gila ke?", Achik petah mencelah. "Aduh! Kan dah kena smash Achik!" jawab aku menutup malu. Aku harap idea membeli kuih lompat tikam ini menjadi. Ada rahsia disebalik kuih Lompat Tikam ini. Satu insiden dimana Mak bertemu cinta sejatinya. Aku gelak sakit perut bila Abah buka rahsia itu sewaktu aku tanya bagaimana cinta mereka bermula! Penulis: Rudy KEHADIRAN PIHAK KETIGA - SIRI 26 Dalam bulan puasa ini sudah lima atau enam jemputan untuk berbuka puasa telah ku tolak. Tidak betah rasanya untuk berbuka di hotel-hotel ternama yang kemudiannya melalut dengan sembang-sembang ala-ala memancing hinggakan trelepas sembahyang terawih. Aku lebih selesa untuk berbuka di rumah bersama keluarga, walaupun hanya dengan juadah dari pasar Ramadan yang biasanya dibeli oleh anak-anakku. Pulang ke rumah hari ini masih tidak mempunyai mood yang baik. Hinggakan apabila along membuat lawakpun terasa malas untuk gelak, memang tidak lawakpun. Kesiankan budak tu yang baru nak berdikari dalam kehidupan. Mulai hari ini aku telah mula menggunakan perisian memahami pasangan anda dalam Palm untuk lebih memahami pasangan sendiri. Perisian ini terbahagi kepada dua, iaitu untuk lelaki sahaja dan perempuan sahaja. Ini adalah salah satu perisian Palm yang paling laris. Sememangnya si suami merasakan sudah cukup mengenali isterinya, begitu juga sebaliknya. Namun kerapkali perbalahan dan pertengkaran berlaku semata-mata kerana perkara-perkara kecil yang remeh temeh ataupun salah tanggapan, salah sangka (sedikit cemburu) dan miss communication. Semoga dengan adanya perisian ini aku dan dia lebih saling faham memahami di antara satu sama lain. Aku telah hotsync perisian ini dan aku juga ingin memasangnya dalam Palm 505 nya supaya dia juga boleh memahamiku jika dia mahu. Moga-moga dengan adanya pihak ketiga ini, kami suami isteri akan lebih bersefahaman. "Yang, minta palm kejap" sapaku. "Nak buat apa, dah beri nak minta balik?. Ambil ajelah dalam bag tu," sahutnya yang bagiku macam mencabar. "Ni nak install software yang baru dibeli tadi." Palm dicapai dan proses hotsync dilakukan. Alangkah terperanjatnya aku apabila Palm yang aku hadiahkan ini telah diberi nama IRONE untuk hotsync. CPU otakku terus kepada irwan, apa dan siapa lagi irone atau ir-1 jika bukan irwan?. Jika beginilah jadinya tak tahulah aku apa yang akan terjadi seterusnya. Irwan telah menjadi satu fobia bagiku. Penulis: MBA SIASATAN TIADA KESUDAHAN - SIRI 27 16 RAMADAN - Semalam aku terpaksa melanggar janji pada diri sendiri. Dalam banyak-banyak jemputan, aku tak boleh mengabaikan jemputan berbuka puasa yang ini. Apa istimewanya? Banyak. Segalanya istimewa. Aku tak boleh tidak mesti menghadiri majlis berbuka puasa di Restoran Natrabu, Brickfields. Kepada suami awal-awal lagi sudah kuberitahu akan hal ini. Sebenarnya aku minta izin dan dia tak bertangguh terus angguk kepala. Eh, bagus pula dia hari itu tak banyak soal jawab. Jika tidak berpeluh juga aku mencari 3 alasan logik dan 5 alasan yang tak logik kenapa aku mesti berbuka puasa di luar. Dalam banyak hal sebelum ini, kebiasaannya 3 alasan logik itu mestilah alasan yang kukuh yang dia tak boleh nak cabar semula. Manakala 5 alasan yang tak logik itu biasanya alasan yang remeh-remeh. (Contoh-contohnya sila ke blog sridiah2u.blogspot.com). Okeylah, berbalik pada kisah berbuka puasa di Restoran Natrabu. Irwan sudah sampai lebih awal. Bersama dia adalah Ramlee, kawan di pejabat lamanya. Aku pula bersama Zarinah, keraniku. Kami berempat. Jadi kalau suami nak syak pun tak ada apa-apa bukti jelas. Banyak yang aku dapat tahu pasal suamiku. Semuanya baik-baik belaka. "Awak jangan risau, tak ada apa-apa yang berlainan daripada dulu. Dia tetap sayangkan you." Kata Irwan. Aku menelan pengat pisang yang semakin manis dan lemak. "Di tempat kerja dia ok, tak ada girlfriend. Malam pun dia tak ke mana, ke masjid berterawih, lepas tu terus balik rumah," kata Irwan lagi. Ramlee dan Zarinah tersengih. Kali ini aku menelan pula manis dan lemaknya sirap bandung... "Dia aneh akhir-akhir ini. Dia makin manja, makin caring. Kata Dr. Fadzilah Kamsah kalau lelaki macam ni, mesti ada sebab. Tu yang sayu suruh awak siasat. Ingat tak pasal Suraya?" "Ah, jangan percaya teori." "Wan... saya curiga saja. Saya tak tuduh." "Yes. You berhak tapi jangan curiga yang melampau. Lelaki rimas kalau pergerakannya disekat, diperhati, dipersoalkan," kata Irwan bagai menjelaskan itulah konflik yang dialaminya hingga rumahtangganya runtuh. "Habis Suraya tu siapa?" "Nantilah saya tak habis siasat lagi. Asalkan Suraya tu di Leeds you jangan risau. Jauh, mereka tak berjumpa setiap hujung minggu." Aku pulang awal hari itu dengan harapan dapat bertemu dia sebelum dia ke masjid untuk berterawih. Along, Angan dah Acik pun sudah tak ada. Tadi dalam perjalanan balik Along menelefon mereka dalam perjalanan ke masjid dan kunci rumah ada `kat tempat biasa'. Tinggal sendirian, aku dibungkam sunyi. Cepat-cepat aku bersiap untuk sama-sama ke masjid. Dari celah-celah tabir kuintai mencari dia. Ada. Along, Angah dan Acik pun ada. Aku mengurut dada. Sampai di rumah dia meminta palm yang diberinya dulu. Palm tu ada dalam beg tangan dan dia mengambilnya sendiri. Katanya dia nak masukkan perisian baru. Aku tak kisah, lantaklah apa dia nak buat. Lama selepas itu kulihat mukanya berubah. "Sayang, kenapa tukar kepada IRONE?" "Nothing special bang, saja nak ubah selera." Kataku. "Sayang dah tak berselera dengan dengan yang lama?" Soalnya. Aku terkeliru dan tersedar, mujurlah fikiran rasionalku segera bertindak. "Abang..." Kataku sambil menarik nafas. Aku ingin menerangkan lebih lanjut tetapi dia sudah angkat punggung. "Eh, dahlah, abang nak mengadap pc. Nak jumpa girlfriend." Katanya berkias. Aku melihat perisian yang baru diprogramkan. Aku tersenyum. Aku pun berharap seni memahami hati pasangan itu akan lebih mengeratkan kami. Ternyata dia makin cemburu akhirakhir ini. Ya ini juga pernah kuketahui melalui pembacaan... umur bertambah, moodpun saling bertukar-tukar. Perlahan-lahan aku menghampiri dia. Bahunya kupicit perlahan-lahan penuh kasih seorang isteri kepada suaminya. Picitan itu sampai ke tengkuk. Dia cuba mengelak tapi akhirnya dia tak dapat menahan simbahan kasih yang sekian lama menjadi darah daging kami. BUKAN NIATKU MELUKAIMU... - SIRI 28 SELEPAS sembahyang terawih kami ambil keputusan untuk singgah ke Restoran Dhurbar sebentar. Sebenarnya dah lama teringin hendak meneguk teh tariknya dan sambil itu dapat pula mengunyah tosei di situ. Restoran yang dibuka 24 jam itu sentiasa sibuk. Pelanggan keluar masuk tak mengira masa. Selepas makan, dalam perjalanan balik kami singgah lagi di 7 Eleven untuk meberi barangbarang keperluan rumah yang kebetulan sudah kehabisan. Sesuatu yang tidak disangka telah berlaku di pintu kedai yang juga dibuka 24 jam itu. Aku tak mampu melangkah kaki rasa bagai dirantai. "Eh, Wan... dari mana ni?" Aku yang menegur dulu. Suamiku diam, terpaku. Dia mengerutkan dahi. "Tak sangka pulak kita jumpa kat sini. Nak beli barang sikit ni," kata Irwan. "Oh ya... saya pun." "Macamana sekarang?" Tiba-tiba Irwan menyoal. Aku tak tahu nak jawab macamana. Sementara itu suami sudahpun mencuit-cuit pinggangku berkali-kali, mungkin menyuruh aku cepat keluar dari kedai itu. Ada dua tiga orang di belakang kami yang sama-sama ingin keluar dari 7 Eleven itu. "Oklah Wan, nanti jumpa lagi," kataku pantas. "Baiklah, bye..." Kata Irwan. Aku segera melangkah masuk ke kereta. Setelah pintu kereta ditutup baru kusedar yang aku luoa hendak mengenalkan suamiku dengan Irwan. Alamak... dia sudah memuncungkan bibir! Aku terkunci kata-kata. Dadaku berdebar pantas. Dia menekan gear reverse dan mengundurkan kereta dengan kasar. "Sayang, sorrylah tak sempat nak kenalkan sayang dengan kawan tadi tu." Kataku memberanikan diri. "Siapa dia tu?" "Namanya Irwan..." "Selama ni tak pernah cakap pun ada kawan nama Irwan?" "Dia baru ditukarkan ke KL ni." Kataku perlahan, menyorok rasa bersalah. "Dia dah kahwin?" "Dah tapi dah berpisah," kataku. "Duda?" "Ya sayang, jodohnya tak panjang..." Jawabku lagi. "Jodoh... siapa boleh sangka kan?" Uhhh... aku terkejut dengan kata-kata itu. Seperti simbahan cuka, ia tersimbah ke wajahku. Terasa hangat. Tanpa sedar ada rasa kecewa merembes ke mata... Penulis: Sri BERKAWAN BIAR SERIBU ... SIRI 29 WANITA kini sudah terlalu maju dan dalam serba serbi inginkan persamaan dengan lelaki. Ia adalah sesuatu yang baik jika mengejar persamaan hak ke arah kebaikan. Jika dulu adalah terlalu janggal kita dapat melihat wanita muda merokok, kecuali orang-orang tua di kampung. Itupun sekadar rokok daun nipah yang digulung bersama tembakau kononnya untuk menghalau nyamuk. Suasana di luar kedai seven eleven ini benar-benar memeningkan kepalaku. Sekelompok remaja perempuan belasan tahun dengan berlegar-legar di beberapa gerai penjual bunga api sambil merokok tanpa segan silu. Remaja perempuan merokok di khalayak ramai kini sudah menjadi perkara yang lumrah. Tidak lagi janggal di mata masyarakat. Sementara di sebelah hujung sana pula beberapa remaja yang lebih sopan dengan bertelekung meninjauninjau gerai-gerai menjual kain baju dan permainan. Barangkali mereka baru pulang dari bertadarus dari surau Altaqwa berdekatan. Suasana Ramadan ini meriah dengan gerai-gerai tanpa lesen yang menumpang cahaya 7-eleven yang tidak pernah padam. Wanita yang bernama isteri juga telah telah maju setapak lagi agaknya. Berkawan dengan siapa sahaja tanpa pengetahuan suami. Sungguhpun suami tidaklah begitu berkira sangat, namun jika terlalu banyak masa dihabiskan dengan berkawan, sudah tentu timbul rasa kuarng senang juga jadinya. Kemudahan telefon bimbit, SMS dan chat seolah-olah telah disalahgunakan untuk memudahkan persahabatan begini. "Eh Wan,dari mana ni?" ujar isteriku semasa dia sedang berkira-kira untuk membayar dari 7-eleven telah menyedarkan aku semula dari syarahan maya ini. Ah ramainya kawan dia!, hatiku berkata. Kakiku terus sahaja menapak langkah menuju ke kereta tanpa rasa bersalah meninggalkan isteri terus bersembang dengan lelaki yang disapa sebagai Wan tadi. Sampai ke kereta terus menghidupkan enjin dan barulah minda tersedar. Wan ya! nama dia Wan. Siapa Wan?. Jangan-jangan Irwan tak?. Kalau setakat berkawan tidaklah teruk sangat, tapi jika sudah menjadi pujaan, hinggakan Palm pun dinamakan dengan dia, tentulah sudah lebih. Bila dia masuk ke kereta, aku terus sahaja memasukkan gear dan memecut untuk pulang tanpa berkata apa-apa dan dalam kepala ku berputar-putar lagi dengan Irwan. Penjelasan isteriku aku jawab spontan dengan penuh rasa curiga. Irwan masih menghantui benak ini. Penulis: MBA LOMPAT TIKAM ll - Siri 30 oleh Bluehikari Kuih lompat tikam terbiar di atas meja. Sudah 10 minit berbuka puasa. Kelibat Mak langsung tak nampak. Sah! Mak berbuka puasa di luar lagi. Mungkin dengan client pejabatnya. Tidakpun dengan sahabat-sahabatnya. Adik-adik aku bukan suka makan kuih yang terkenal dengan manisnya itu. Abah pula selesa berbuka dengan murtabak sekeping. Terus dia bersiap ke masjid menunaikan solat maghrib. Sedih juga. Idea yang dirangka tidak menjadi. Aku malas mahu fikir tentang hubungan Mak dan Abah lagi. Biarlah masalah mereka itu selesai dengan cara mereka sendiri. Masalah sendiri pun tak selesai, lagi mahu fikir masalah orang lain. ********** Empat setengah petang. Ada satu jam lagi waktu bekerja tamat. Kerja sudah selesai. Apa yang aku nak buat agaknya? Mahu surfing sudah semua laman web yang wajib aku masuk sudah aku baca. Baru aku teringat. Aku sudah lama tak buka email Bahasa Jepun aku di yahoo.co.jp. Mungkin ada email-email daripada sahabat aku dari negara matahari terbit itu. Sengaja aku khaskan email di yahoo.co.jp itu untuk memudahkan mereka menghantar email menggunakan huruf-huruf hiragana, katakana dan kanji. Kalau dihantar ke email pejabat aku, jawabnya aku akan cuma boleh melihat tulisan-tulisan yang tidak boleh dibaca kerana email pejabat tidak disertakan kemudahan membaca karektor-karektor tulisan Jepun tersebut. Seperti yang aku jangka ada 2 email berderet untuk dibaca. Satu daripada ibu angkat aku Puan Takahashi yang mengucapkan selamat berpuasa. Masih ingat lagi rupanya dia tentang Ramadhan, meski sudah lebih setahun aku meninggalkan Okinawa. Dia pernah ikut serta aku menjalani ibadah puasa. Katanya mahu kuruskan badan. Memang benar. Hajatnya sampai apabila berjaya menurunkan 3 kilogram selama 15 hari berpuasa bersama-sama dengan aku. Aku pernah berbuka puasa di rumahnya. Hari itu aku sendiri menjadi cheffnya. Aku masak hidangan nasi beriani yang menjadi kesukaannya. Itupun atas permintaan dia setelah diperkenalkan dengan nasi beriani semasa melawat Malaysia sebelum aku mengenalinya lagi. Rindunya aku kepada mereka sekeluarga! Ayah dan Ibu angkat yang menjaga aku selama aku berkelana ilmu 4 tahun di Jepun! Satu email lagi benar-benar menyentak hati aku. Email daripada Nahoko. Sahabat akrab yang pernah sama-sama belajar Undang-undang di universiti. Dia anak petani dari Wilayah Akita, Utara Jepun. Aku pernah sekali mengikut dia pulang ke kampung, berkenalan dengan ibu dan ayahnya yang ramah. Kehidupan di Akita sangat tenteram dan aman. Kampungnya masih tebal diselimuti kehijauan. Malah sumber air dari gunung benar-benar menyegarkan. Rumahnya sendiri terletak ditengah-tengah sawah milik keluarganya. Jadi tidak hairanlah dengan serbaserbi kehidupan yang dekat dengan alam Ratu Cantik Jepun datang dari Wilayah Akita. Ini sudah terbukti dan diakui oleh sebahagian besar rakyat Jepun yang Wanita Akita adalah "BIJIN" yakni "Wanita Tercantik" di Jepun. Aku pernah juga bawa Nahoko pulang ke Malaysia ketika cuti Musim Panas dua tahun yang lalu. Dia mahu tahu tentang Islam dan aku mahu buka mindanya tentang Kehidupan Masyarakat Islam di Malaysia. Aku mahu dia buang segala prasangka tentang Islam yang dilabel pengganas oleh media negaranya. Selebihnya aku serahkan urusan itu kepada Tuhan. Aku selalu berdoa suatu hari nanti dia tergerak menerima Islam sebagai pegangan. Ketika aku perkenalkan dia dengan Mak, Mak terus tarik aku ke dapur. Mak kata dia tak suka kalau aku berniat untuk menjadikan Wanita Asing itu sebagai menantunya! Aku terpempam. Benar-benar terkejut dengan kata-kata Mak. Sedikitpun aku tak berniat ke arah itu. Penulis: Rudy WARKAH RINDU SOURAYA - SIRI 31 PULANG dari 7-Eleven malam itu, tetiba hati teringat kepada Souraya di Leeds. Lantas mengulangi membaca warkahnya yang telah diterima beberapa hari lalu buat kesekian kalinya. Satu tindakan nekad dan berkesan harus dilakukan untuk memenuhi harapannya: 45 Eastern Avenue Leeds 8D5E Yokshire, UK Kehadapan Abang yang dirindui; Dengan ringkasnya Su mengutus warkah ini sebagai pelengkap kepada beberapa siri chatting kita sebelum ini. Bersama-sama ini juga Su sertakan dokumen-dokumen yang abang perlukan bagi tujuan tersebut. Sesungguhnya Su amat mengharapkan jawapan positif dari pihak Abang. Jangan biarkan diri Su tertunggu-tunggu begini, kerana penantian itu adalah suatu penyiksaan. Abangpun memang tahu bahawa harapan Su hanyalah pada Hanya pada Abang seorang, tiada dua tiada tiga. Jangan kecewakan harapan Su Abang. Abah juga amat mempercayai Abang dan ia menyerahkan segala-galanya kepada Abang untuk membuat keputusan. Budi baik Abang selama berada di Leeds yang tidak jemu-jemu melayan abah bersembang benar-benar mengembirakannya. Dia kesunyian sebenarnya apabila masyarakat sekeliling menyisihnya. Kehadiran Abang walaupun hanya seketika seolah-olah memberi nafas dan semangat baru kepadanya. Sebelum mengundur diri, Su sekali lagi merayu kepada Abang supaya menimbangkan permintaan ini dan Su tidak rela untuk dikecewakan oleh Abang. Salam sayang Souraya. Aku berkira-kira untuk melakukan beberapa langkah berani yang belum pernah dibuat sebelum ini untuk memenuhi harapan dan permintaan Su. Hati berbelah bagi samada ingin memberitahu isteriku atau tidak buat masa ini. Ada baik dan ada buruknya. Mungkin ia adalah terlalu awal untuk berterus terang, lagipun di bulan Ramadan ini bukankah juga dikenali sebagai bulan haram?. Tersedar dari tidur apabila dia mengejutkan aku untuk bersahur. Masyaallah surat Su berada di tangan menemani tidurku. Penulis: MBA POLIGAMI?... SOURAYA??...EYES??? - SIRI 32 SEMENJAK akhir bulan Ramadan ini asyik mengantuk sahaja di pejabat. Barangkali staf menyangka aku banyak beribadat untuk mencari Lailatul Qadar agaknya. Biarlah mereka bersangka baik begitu terhadapku. Tengahari tadi, untuk menghilangkan rasa kantuk yang amat sangat, aku bersembang dengan pemandu kami Wak Don. + kabare Wak - Oh waras. Tuan apa khabar? + Biasa-biasa aja Wak. Keluarga Wak macamana? - Heh.. hehe! keluarga yang mana maksud tuan, yang nombor 1 atau nombor 2?. Yang nombor 3 belum ada lagi, belum ketemui jodohnya... Yang tua Kak Markonah tu sihat, dia isteri yang paling baik. Susah mau cari isteri yang begitu. Pandai masak, menjahit, menguruskan rumah tangga dan anak-anak segalanya. Wak serahkan padanya, insyaallah semuanya beres. Satu lagi kelebihan istimewa dia ialah pandai mengurut. Tiap-tiap malam bersamanya, segala lenguhlenguh di badan Wak ini akan pulih diurutnya. Segar badan jadinya. Awet muda gitu. Si Mastura yang nombor 2 itu pun bagus juga sihat-sihat juga adanya. + Jika Kak Markonah tu baik dan sempurna segalanya, mengapa Wak kahwin lagi?. Dengardengarnya Wak mahu pasang satu lagi pulak? . - Itu salah tuan! kita berpoligami bukan untuk seronok-seronok saja. Maaf tuan saya mau bilang! Jika terasa rumahtangga kita tidak bahagian, isteri kita semacam tidak mengendahkan kita, sibuk sendiri-sendiri, itu bukan alasannya untuk kahwin lagi satu. Jika kita mau lari dari masalah begitu dengan kahwin lagi satu, masalah itu tidak akan lari, malahan lagi banyak masalah yang timbul nanti. Sebab masalah sebenarnya berada dalam diri kita, dalam kepala kita. Tetapi kita asyik menyalahkan orang lain saja. Jadi ke mana saja kita pergi, masalah itu akan terus mengikuti kita. Terlopong dan mengangguk-angguk aku mendengar penjelasan Wak Don. - Tetapi tuan, saya perhatikan tuan memang layak untuk berkahwin lagi satu. Usah dipersiakan hidup ini tuan. Poligami itu sunnah Nabi. Tuan sudah lengkap segalanya, harta banyak, pangkat tinggi dan orangnyapun alhamdulillah alim saya nampak. Segala harta dan pangkat tuan itu hanya untuk dunia saja tuan, ia tidak bisa dibawa ke akhirat. Lantaran itu tuan perlu membina masjid lagi untuk membantu kepada yang memerlukan, insyaallah dapat banyak pahala. + Maksud Wak? - Bukankah ramai wanita dan gadis di sini yang masih belum berjaya membina masjid?. Mereka itu bukan calang-calang orang, ada kedudukan ada rupa, Cuma barangkali jodoh mereka yang belum sampai. Jika tuan mau, saya bisa uruskan + Ttetapi macamana dengan syarat untuk mendapatkan kelulusan isteri pertama Wak?. Saya tak mahu melanggar peraturan dunia, nanti peluang saya untuk menduduki kerusi pengarah tu akan terjejas akibat salah laku begini - Tuan jangan bimbang, tahulah Wak menguruskannya. Itu Dato' TKP II kita tu, Waklah yang uruskan. Dengar cerita, saya rasa tuanpun lagi tahu, dia akan jadi KP nanti, kira dah melangkau TKP I tu.. Bukankah bertuah begitu?. Tuan Haji TKP I tu dahlah kemponan tak dapat kahwin lagi satu, nak jadi KP pun melepas jugak. Hah..hah..hah… mengumpat pulak Wak di bulan puasa ni. Bagaimana tuan, calonnya udah ada, tunggu tuan kaya ya saja + Eh..eh.. Wak, sabarlah dulu kalau ya pun. Cuma boleh saya tahu siapa calon yang wak katakan tadi tu? Saja-saja nak tahu - Syyyyy jangan ceritakan pada orang lain, ini antara kita berdua saja tuan. Itu Penolong Pengarah Cawangan Disiplin, Cik Siti Noor Eyes tu. Bagus orangnya, cantik dan baik budi bahasanya. Sepadan dengan tuan tu. Jika tuan setuju, kira jadi saja . Dialog hangat kami terhenti setelah Cik Siti Noor Eyes sendiri menyapa dan meminta Wak Don berjumpa tuan Pengarah untuk menghantar beliau ke lapangan terbang. Oh!. OK juga dengan Eyes ni. Tapi kan aku dah ada pilihan sendiri? Penulis: MBA LOMPAT DAN TIKAM - SIRI 33 Jarang aku lihat Mak pulang awal dari pejabat. Entah mengapa hari ini, ketika aku parking kereta masuk ke kawasan rumah, aku lihat kelibat emak di taman orkid. Emak tekun membelek Orkid Dendromium Tengku Anis, hadiah daripada Prof. Dr. Marziah sahabat baiknya di UPM. Mak kata orkid itu spesis baru dan boleh mengeluarkan bau harum hasil penyelidikan sahabatnya itu. "Awal mak balik hari ni?", aku memulakan perbualan. "Balik awal salah. Lambat balik salah. Tak balik terus baru tau! Sukalah nanti korang adik beradik dapat mak baru!", tiba-tiba Mak balas sapaan aku. Berdesing telinga aku. Aku lihat wajah Mak mencuka. Aduh! Pedih betul dengar kata-kata Mak. Aku garu kepala yang tidak gatal. Angin kus-kus manalah yang buat Mak melenting petang-petang yang damai begini. Mak tengah PMS ke? Entah. Mana aku tahu pusingan haid kaum hawa. Penulis: Rudy MASIH ADA RINDU TERCICIR - SIRI 34 BULAN November masuk ke Disember, cuaca basah merata. Hujan turun tidak menentu, kilat petir pun sabung menyabung tidak mengira ketika. Sekejap lebat, sekejap renyai. Bak kata pepatah eloklah disediakan payung sebelum hujan. Sudah dua hari tanah basah melekit. Sudah dua hari juga hatiku sakit. Along sudah ke tempat kerja, aku saja yang belum bertolak, masih berkira-kira mahu ke tempat kerja atau tidak. Suami? Ah, pagi-pagi lagi dia sudah mengira kilometer, berpusu-pusu dengan kereta lain, menerjah aspal. Permainan halusnya betul-betul menyakitkan hati. Dia sengaja. Dia memang mahu aku tahu yang dia dan Souraya masih ada hubungan yang intim. Masih ada rindu yang tercicir. Masih ada kasih yang kian hampir dan akrab. Jika ikutkan hati, mahu saja kubakar surat itu - ya, mahu kubakar hangus dengan tangan yang menggengam surat itu sekali! Aku terjaga untuk bersahur dan kelihatan di sisi, dia tidur mati malam itu. Dadaku berdebar tatkala mencapai surat dalam genggamannya. Kubaca dengan hati tercalar. Kemudian surat itu kulipat dan masukkan semula dalam genggamannya - itupun dia tak sedar lagi. Agaknya sedang mimpikan momen manis bersama Souraya ketika di Leeds dulu. Jika dia mahu halalkan hubungannya dengan Souraya, aku tak kisah. Begitu juga aku harap dia tak kisah untuk melepaskan aku. Adilkan? Jika dia mahu bahagia, aku juga tidak mahu hidup dalam sengsara. "Sayang, Along kata sayang tak keluar lagi ke pejabat? Cutikah?" Tatkala telefon di rumah berdering, suara dialah yang terpacul. Ah, aku malas hendak menjawabnya. Telefon kuletakkan semula. Apabila telefon berdering untuk kesekian kalinya, aku sudahpun meninggalkan ruang tamu, masuk ke bilik. Biarlah telefon berdering, sedangkan hatiku sendiri tak putus-putus menjerit-jerit pedih. Dia menduakan aku? Itu pantang besar bagiku. Jika alasannya hendak mengikut sunnah nabi, kenapa sunnah yang satu ini yang nak diikut sangat sedangkan sunnah yang lain tak dipandang langsung? Biarlah tiada payung emas untukku di sana nanti. Aku akan usahakan keberkatan itu dengan cara lain pula, tapi bukan dengan poligami. Ia adalah soal maruah. Ku renung PC di suduh bilik. PC itu bagai mengejekku. PC itulah yang selalu dihadapnya, penghubungnya untuk menjalin rindu pada Souraya. Terasa ingin kuterajang PC itu. Biar kugunting-gunting wayarnya! Biar kupecahkan monitornya! Biar kucungkil-cungkil mata keyboardnya! Tetapi fikiran rasionalku segera menguasai. PC itu tidak bersalah... suamiku yang cuai. Dia lalai membaja kasih sayang kami! PC - ya, Perempuan Cun itulah yang dihadapnya sampai migrainenya menjadi-jadi! penulis sri ANTARA ISTERIKU, EYES DAN NAHOKO - SIRI 35 HARI ini datang awal ke ofis kerana selepas ini akan mengiringi KP untuk memberi taklimat kepada YAB PM yang baru. Mengikut perancangannya Wak Don akan membawa kami ke Ibu Pejabat. Alahai kalau Cik Siti Noor Eyes ikut sama kan bagus, boleh juga sembang-sembang dengan dia. Si Eyes yang disuakan oleh Wak Din adalah terlalu muda buatku. Ia mengingatkan aku pada Nahoko, gadis Jepun yang pernah dibawa pulang oleh Along beberapa tahun dulu. Memang Eyes ada iras-iras Nahoko. Gadis Jepun itu adalah sudah lengkap serba serbinya bagi aku untuk dijadikan menantu, apatah lagi kedua-duanya memang saling cinta menyintai. Bukan senang bagi orang asing untuk memikat gadis Jepun, apatah lagi yang jelita macam Nahoko itu. Biasanya wanita Jepun ini, apabila menjadi isteri, ia akan menjadi isteri yang paling taat. Akan berhenti kerja dan menjadi suri rumah yang taat sepenuh masa dengan menjaga anak dan menguruskan rumah tangga. Mereka akan meninggalkan segala glamor dan keseronokan di pejabat semata-mata untuk berbakti kepada suami dan keluarga. Alangkah bahagianya semua keluarga yang begitu. Si suami bolehlah menumpukan sepenuh perhatian kepada soal kerjaya. Walau bagaimanapun aku tidaklah menentang jika wanita ingin bekerja, tetapi biarlah berpada. Sungguhpun di pejabat menjadi ketua, isteri perlulah menghormati suami yang menjadi peneraju dalam keluarga. Buatlah serba sedikit kerja rumah khususnya memasak untuk seisi keluarga. Sudahlah semenjak bayi anak-anak dibesarkan dengan susu lembu, sesudah besar dikenyangkan pula dengan pelbagai makan segera. Aku cukup khuatir anak-anak akan menjadi degil dan tidak mendengar kata. Syukur kepadaNya apabila along tidak begitu. Walaupun emaknya nekad tidak mahu menerima Nahoko sebagai menantu, Along tetap akur. Apa sifir dan fomula yang dipakai olehnya untuk tidak menerima Nahoko tidaklah aku ketahui. Seorang wanita moden, terpelajar dan berkedudukan sepertinya masih ada rupanya kekolotan dalam diri yang hanya inginkan menantu dari bangsa sendiri sahaja. Tersedar dari khayalan apabila menerima SMS dari along mengatakan emaknya masih di rumah, masih belum keluar bekerja. Ah apa halnya pulak dengan dia, sakit kah, demam kah atau ada temujanji berdekatan rumah?. Kucapai telefon dan terus dial ke rumah. "Sayang, Along kata sayang tak keluar lagi ke pejabat? Cutikah? Abang. " talian telefon terputus. Cuba lagi dial dua tiga kali, tetapi semuanya tidak berjawab. Talian handphone pula dimatikan dan hanya mesin yang menjawab. Angin apa pula yang melanda isteriku ini?. Ah pedulikanlah, ini tentu tak lebih dari taktik lama supaya aku memujuk dan akhirnya terpaksa pulang berhari raya di rumah keluarganya. Walau apapun jadi, tahun ini memang giliran beraya di kampungku, kesian kepada mak jika aku terpaksa mungkir kepada giliran ini semata-mata untuk memujuk isteri yang sengaja mencari helah begitu. penulis mba MANISNYA DONUT - Siri 36 sesekali bila rindu menyapa kalbu. . . . . . . . 2.00 pagi. Musim Panas yang begitu menghangatkan. Aku tak boleh tidur. Entah mengapa mata ini begitu berat untuk dikatupkan. Sebentar tadi, NAHOKO telefon aku. Dia minta aku temankan dia makan di tempat biasa. Aku bingkas bangun dari katil. Aku sarung celana dan t-shirt adidas buatan Republik Rakyat China. Menyarung kasut Nike buatan Thailand. Memakai cap tanpa jenama buatan Malaysia. Menguak pintu bilik 205 dan menuruni tangga ke luar kaikan (asrama universiti). Tiada udara. Bahang kehangatan terasa walaupun jam sudah lewat pagi. Aku benci musim panas Okinawa yang cukup menyeksakan. Tujuan aku satu. Aku nak nak sana. Daripada aku melangut sendirian dalam bilik berukuran 8 meter kali 4 meter persegi yang cukup sempit itu, baik aku ambil angin pukul 2 pagi. Jalan pelan-pelan menyusur Funaba-cho Doori menghala ke pusat Bandar Naha yang lengang. Di sana sini, aku lihat kumpulan-kumpulan warga pekerja Jepun yang terhoyong-hayang kemabukan baru keluar dari Bar atau Pusat Karaoke. Ah! Satu permandangan biasa di negara matahari terbit ini. Inilah sahaja yang boleh mereka lakukan untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi semasa bekerja. Tertekan dengan kerja, mereka berpakat ramai-ramai dan keluar nomikai (minum-minum) sampai mabuk hingga lewat pagi. Aku melewati Bangunan Toho Bank. Dari jauh aku melihat tempat tujuanku. Masih terang benderang, tetapi bilangan pengunjungnya sudah semakin berkurangan. Pukul 2 pagi, bukan waktu sesuai untuk ke situ. Aku sahaja yang tergila-gila nak ke situ pada waktu-waktu begini. Aku lihat jam Casio G-Shock buatan Indonesia di tangan kiri. Dua suku pagi. Dari jauh aku lihat Nahoko sudah menunggu aku dengan muka yang agak keletihan. Tetapi tetap murah dengan senyuman. Dia baru habis baito (kerja part time) katanya. Gakusei (pelajar) seperti dia yang hanya mengharap duit saku ayahnya mana cukup untuk membiayai kehidupan remajanya yang mahukan itu dan ini. Syukur, biasiswa penuh Dasar Pandang Ke Timur yang aku terima, lebih dari cukup. Terima Kasih kepada Kerajaan Malaysia yang membiayai aku, juga terima kasih kepada pembayar-pembayar cukai yang sudah tentunya duit rakyat Malaysia bukan? Aku menarik kerusi dengan malas. Merenung wajah ayu Nahoko membuatkan aku terpana. Argh! Sudah lama Nahoko memendam perasaan hatinya kepada aku. Tetapi janji aku denagn Mak melebihi segala-galanya! Aku hanya mampu memberikan Nahoko kasih-sayang seorang sahabat. Tidak boleh lebih dari itu. Aku tak mahu janji yang selama ini aku kotakan runtuh dek kerana wanita cantik di depan mata. Aku bukan seorang manusia yang suka memainkan perasaan wanita. Lagi-lagi kalau dia ibu kandungku. Itu bukan sifat aku. Siapa yang tidak mahu punya kekasih hati dari bangsa bermata sepet dan berkulit kuning langsat itu? Siapa yang tidak bangga bila ada seorang gadis negara matahari terbit ini mula menanam harapan kepada seorang lelaki dari bangsa berkulit sawo matang ini? Sudah ramai dikalangan sempaitachi (senior) yang berkahwin dengan gadis negara penuh adat Shinto ini. Argh! Biarlah aku setia! Demi janji yang aku meterai dengan Mak sebelum aku terbang mencari segedung ilmu di sini. Aku memasuki Mister Donuts dimana Nahoko sudah setia menanti sejak pukul 2 pagi tadi. Inilah tempat yang aku ingin tuju sejak tadi. RESTORAN MISTER DONUTS yang banyak mencerna kenangan selama 4 tahun bertahan mencari ilmu di negara yang pernah menjajah nenek moyang kita. "Ne, Nahoko, nanka taberu?" (Nahoko, nak makan apa?) "Un, kocha. Ato wa syuga- reisudo to hani- deep donatsu de iin da" ( Ok, saya nak teh. Sugar raised dan honey deep donuts sahaja) "jya, onaji ni shiyou" (Ok saya pun ambil yang serupa) Itulah sahaja makan malam bagi Nahoko yang mementing diet kecantikan. Secawan teh panas. Dua keping Mister Donuts Honeydeep dan sugar raised yang setiap keping hanya berharga 90 yen. Murah dan mengenyangkan. Beginilah saban minggu setiap malam Rabu dan Sabtu. Aku akan menemani Nahoko makan sebelum sama-sama pulang bersama kereta Skyline, Nissannya. Perbualan hanya berkisar tentang pelajaran dan sekali sekala dia bertanyakan tentang keluarga di Malaysia. Dia bersikap terbuka dalam hal ini. Aku senang sekali bersahabat dengannya. ******************* Segalanya tinggal kenangan. Sudah hampir setahun aku pulang ke tanahair. Khabar terakhir yang aku dengar Nahoko sudah bekerja di bahagian pentadbiran di sebuah hospital kepunyaan Wilayah Okinawa. Mungkin dalam waktu terdekat ini, dia akan melangsungkan perkahwinan dengan pemuda pilihannya. Khabarnya seorang rakyat Amerika berketurunan China. Semoga dia bahagia. Aku? Entahlah. Sejak aku berpisah dengan dia, aku jadi pasif dengan kaum hawa. Luka lama masih berdarah. Entah bila mahu sembuh agaknya. Aku tidak mahu salahkan Mak dalam hal ini. Mak berhak memilih wanita yang bakal menjadi suri hidupku. Email daripada Nahoko tempoh hari sering terbayang di wajahku. Kehadiranku dituntut dalam Majlis Perkahwinannya Disember Eve ini. Mampukah aku melalui detik getir itu? penulis bluehikari Bertemu Eyes DI Pagi Raya - Siri 37 AKHIRNYA dia beralah juga dan bersetuju untuk pulang ke kampungku untuk beraya. Syukur kepada Tuhan, walaupun kepulangannya kali ini, seperti juga tahun-tahun sebelumnya bukanlah secara sukarela, namum dapatlah kami melakonkan watak keluarga bahagia dari Kuala Lumpur kepada sanak saudara dan juga orang kampung. Lebih-lebih lagi kepada ibu, tentulah sayu hatinya jika anaknya pulang selang setahun beraya tanpa isteri di sisi. Tentang anak-anak, langsung tidak menjadi masalah kerana pelbagai tarikan terdapat di kampungku. Ayam, itik, kambing, lembu, kerbau, hutan, belukar, tali air, lata semuanya menjadi daya penarik bagi anakanakku untuk pulang ke kampung. Jika diadakan undi, setiap tahun tentu kami akan beraya di kampung keluargaku sahaja. Tetapi seperti yang sudah dipersetujui, kami tetap akan beraya mengikut giliran selang setahun, kecuali ada sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan perlu disegerakan serta untuk kepentingan umum (ewah… macam usul di sidang Dewan Rakyat pulak bunyinya). Anak-anakku cukup ceria bermain dan bermesra sesama sepupu mereka yang hanya setahun sekali dapat berjumpa. Selalunya mereka akan dibuli cukup-cukup oleh sepupu-sepupu mereka kerana bebalnya dengan suasana desa yang terpencil, namun mereka tetap ceria. Apa tidaknya, antara anak lembu dengan kambingpun tidak dapat dibezakan. Apatah lagi jika kambing dengan biri-biri atau kancil dengan pelanduk. Ibu ayam yang mengeram, menetaskan dan membesarkan anak itik langsung tidak dapat difahami oleh mereka ini sampai kini. Nasib baik juga mak hanya tempah lemang pada tahun ini, jika bakar sendiri macam tahun-tahun lepas, sudah tentulah si Along akan confuse lagi dengan jenis-jenis buluh lemang ini. Sememangnya tiada siapa yang kalah atau menang dalam giliran pulang beraya ini. Aku cukup kagum dan terharu terhadap isteri yang sanggup berkorban untuk setiap tahun beraya di rumah keluarga suami terlebih dahulu. Mudah-mudahan akan mendapat keredaanNya jua di hari kemudian. Aku tidaklah sampai hati rasanya untuk menggunakan kuasa veto atau undi majoriti yang sedemikian rupa. Namun pengorbanan kita masih juga tidak mendapat sebarang tempat. Bagi yang setiap tahun pulang ke rumah keluarga isteri juga begitu, janjni mereka sekeluarga bahagia sudahlah. Tiba di kampung tidak banyak perkara yang boleh dilakukan. Hujan musim tengkujuh sudah mula datang menyapa lembut. Tiada Internet, tiada handphone, yang ada hanyalah bunyi riang kicauan burung dan ayam itik yang bermesyuarat sesama sendiri. Menentukan giliran siapa yang harus dikorbankan untuk lauk kami agaknya. Sehari sebelum raya atau lebih dikenali sebagai hari bakar lemang atau hari buat ketupat, aku membawa emak, adikku Roslan dan PokYar Wan Deramang suami isteri ke hospital untuk menjamin adik bongsu ku si Usop yang sudah sepuluh hari direman polis akibat menjual mercun. Nasib baik dia direman di hospital kerana tercedera semasa membakar mercun, jika tidak terpaksalah tidur berlantaikan simen di lokap polis. Proses menjamin ini tidaklah mudah kerana mahkamah sudahpun ditutup kerana tuan majistret sudahpun bercuti raya. Pada masa ini kuasa kerani mahkamah telah hampir-hampir menyamai ketua hakim negara adanya. Pok Yar menemui tuan inspektor Sabri dan memperkenalkan aku sebagai abang Usop yang bekerja di Kuala Lumpur. Aku nampak inspektor ini acuh tak acuh sahaja bersalam dengan aku dan aku tahu sebenarnya dia sudah gabrah kerana tempoh penahanan telahpun berakhir dan hendak atau tidak dia mesti berusaha ke mahkamah samada untuk menyambung atau membebaskan adik ku. Akhirnya inspektor tersebut bersetuju membawa Roslan ke mahkamah lain di bandar untuk urusan jaminan. Kemudiannya Usop dibebaskan dengan diiikat jamin sebanyak RM3000 dengan seorang penjamin sementara menunggu hari perbicaraan dalam bentuk buku simpanan bank yang akan dipegang oleh pihak mahkamah. Nasib baiklah PokYar suami isteri ini tidak berkira orangnya. Namun duit raya aku jugalah yang melayang. Dari hospital ke balai polis, ke mahkamah majistret dan ka bank naik turun dan beratur panjang demi untuk membolehkan budak ni dapat beraya di rumah. Itu sahajalah kerjanya setiap kali Ramadan, tidak lain dari membeli dan menjual mercun. Moga-moga setelah kena 10 hari reman ni insaflah dia. Di kampung ni dah tidak lagi seaman dulu rupanya. Jika bukan mercun, ada pula perniagaan ubat batuk ataupun air ketung yang dijalankan secara sembunyi mahupun terang-terang. Dari pagi sampai ke petang turun naik pejabat kerajaan ini sungguh memenatkan, setelah pulang terus terlena hingga hampir berbuka. Dengar khabarnya sepanjang ketiadaan aku di rumah, isteri ku yang telah dilantik secara tidak rasmi sebagai presiden menantu-menantu telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan semua ipar-ipar aku. Ah biasalah itu orang perempuan punya kerja, mesti mengemaskini gosip terkini tu agaknya. ……….. PAGI raya kami sekeluarga ke masjid seperti biasa, yang tinggal hanyalah anak kecil kami bersama emaknya. Selepas selesai sembahyang, kami ke pusara ayah menghadiahkan al- Fatihah dan surah Yassin. Pulang ke rumah sudah agak lewat dan acara yang paling memenatpun tiba apabila sanak saudara tidak putus-putus datang berkunjung. Isteriku tidur sepanjang hari dan hanya bangkit setelah hampir maghrib dengan alasan demam dan sakit kepala. Permintaannya untuk mendapatkan Tokcik fatimah untuk mengurut badannya ditunaikan oleh orang tua itu yang datang di sebelah malamnya. Raya kedua, dalam renyai-renyai hujan, isteriku mengajak pulang ke kampungnya. Kali ini aku berjaya memujuknya dengan amalan urutan Tokcik yang memerlukan tiga kali berurut sebagai syarat, Fuh berjaya juga muslihat tersebut. Sebenarnya semasa di masjid tadi aku terlihat seorang gadis yang iras-iras Eyes, masakan pelanduk dua serupa? Kalau betullah dia, alahai tidak perlulah aku berebut-rebut nak balik raya lagi agaknya!. _____________ Ubat batuk: digunakan oleh penagih yang ketagih dadah Air ketung: Minuman dari daun ketung yang juga sejenis dadah, namun masih belum lagi diwartakan . penulis mba SATU SYAWAL YANG PENUH CERITA - Siri 38 Riuh suara sepupu-sepupu, buat aku terjaga sekitar enam setengah pagi. Dingin pagi di kampung buat aku malas bangun dari tilam gebu nenek. Tapi lantaran Subuh sudah hampir kehabisan waktu aku segera ke telaga membersihkan diri. Telaga inilah yang menjadi tumpuan aku setiap kali pulang ke kampung. Telaga rumah nenek cuma depan tangga dapur. Dulu, telaga ini tidak bersimen. Kemudian tahun lepas aku berpakat dengan Abah. Duitkan sedikit untuk dinaktaraf sebagai bilik mandi bersimen dan ada pam elektrik mengepam airnya ke rumah. Kawasan telaga itu diberi atap dan dinding. Ia menjadi 4 bilik mandi dan tandas serba lengkap. Anak cucu nenek bukan sedikit. Jadi tiadalah aksi berebut bilik mandi lagi setiap lebaran. Semua pakat mahu mandi air telaga, dengan adanya pam elektrik, air telaga disalur terus ke 4 bilik mandi dan ke dapur rumah. Bekalan air paip memang ada, tapi jarang digunakan kerana karat dan bau klorinnya saja sudah meloyakan! Dek kerana mengejar Subuh, aku lambatkan mandi. Usai solat dan wirid aku bergegas ke bilik mandi. Aku mahu mandi sunat aidilfitri dengan air telaga yang menyegarkan. 4 bilik mandi sedang penuh dengan sepupu-sepupu aku. Aku dapat idea nakal. Aku minta kain batik nenek. Sarung baik-baik dan aku timba air telaga. Malu? Bukan aku telanjang. Aku mandi tepi telaga bersimen. Jatuhkan timba bertali ke dalam telaga dan mengangkat airnya perlahan-lahan. Memang payah. Tapi begitulah agaknya aksi arwah atuk, nenek dan adik beradik abah dahulu. Pengalaman ini tidak ada di bandar. Rugi kalau tak buat kalau telaga sudah ada di depan mata! Nenek senyum-senyum lihat aku mandi bersahaja. Khutbah Hari Raya sangat mempersona. Tak rugi aku tidur awal malam tadi kerana aku berazam tidak mahu terlentok semasa Khutbah Raya. Aku ke Masjid Al-Hidayah semalam untuk melihat papan kenyataan masjid, siapa yang akan membacakan khutbah raya. Tekaan aku betul, Tuan Haji Abdul Latip yang akan menyampaikan. Sejak dulu aku suka cara dia menyampaikan khutbah. Bersahaja dan menarik perhatian jemaah. Oleh kerana itulah aku suka mengambil cuti pulang ke kampung pada hari jumaat supaya dapat bersolat jumaat di kampung. Khutbah raya tahun ini berkisar tentang masyarakat Islam yang semakin menipis ukhwah silaturrahimnya. Apa taknya, rancangan tv lebih hebat hingga membuatkan kaum kerabat berhari raya di depan monitor televisyen. Itu tak termasuk bagi mereka yang ada ASTRO di rumah! Macam-macam program hari raya terhidang untuk ditonton. Layanan tetamu entah kemana. Bertandang apatah lagi. Oleh sebab itulah, sudah terjadi anak saudara tak kenal pak cik sendiri. Alhamdulillah, kami adik beradik tidak jadi sampai begitu sekali. Abah dan Mak didik kami kenal saudara mara sendiri. Cuma tahun lepas aku bagai kera sumbang. 4 tahun di perantauan buat aku lupa satu persatu wajah sepupu-sepupu aku. Aku harap dengan Lebaran kedua sejak pulang ke tanah air ini, aku takkan lupa lagi setiap wajah darah daging aku sendiri. Apatahlagi waktu-waktu lebaran ini. Pulang dari menziarah kubur arwah datuk, aku lihat mak terbaring di bilik bujang abah dulu. Katanya tak sihat. Ini mesti gara-gara tak cukup rehat. Tambah pula cuaca tak mengizinkan. Rasanya aku nampak Mak mengangkat kain dalam renyai hujan semalam. Sentuh dahinya, memang terasa panas. "Pening kepala tak, mak?", tanya aku membelah simpati. "Aah, sakit sangat. Nak harap ayah kamu picitkan jangan haraplah!", balas mak acuh tak acuh. "Alahai takkan masih dingin mereka berdua ni", ujar aku dalam hati. "Meh, Along picitkan". Aku lumur Balm Hijau Cap INAIBA buatan Indonesia ke bahu mak. Aku mulakan urutan di bahu mak sebelum ke dahinya. Apasalahnya berbakti kepada Mak semasa hayatnya. Aku segera teringat Hadis Nabi Muhammada SAW yang diriwayatkan oleh H.R. Bukhari dan Muslim; Abu Hurairah r.a.. Dia mengatakan, "Ada seorang datang menemui Rasulullah saw., lalu bertanya, 'Siapakah orang yang paling berhak mendapat bakti saya?' Beliau menjawab, 'Ibumu.' Kemudian ia bertanya lagi, 'Setelah itu siapa?' Beliau menjawab, 'Ibumu.' Kemudian ia bertanya lagi, 'Setelah itu siapa?' Beliau menjawab, 'Ibumu.' Kemudian ia bertanya lagi, 'Setelah itu siapa?' Beliau menjawab, 'Setelah itu bapamu.' * Rupa-rupanya Mak tak makan apa-apa lagi sejak pagi. Aku ke dapur ambilkan ketupat, kuah lodeh dan kuah kacang. Masakan ini sengaja aku minta Makcik Zareda isteri Pakcik Roslan yang berasal dari Johor sediakan. Yalah, walaupun beraya di Pantai Timur, kenalah ada masakan lain untuk diperkenalkan kepada sanak-saudara di sebelah sini yang rata-rata berkahwin dengan orang tempatan. Entah mengapa, aku memang gemar masakan Johor meski mak dan abah bukan berasal dari situ. Mungkin bakal isteri aku orang Jawa Johor macam Pakcik Roslan? Mana tahu?. Mak tak mahu makan asalnya. Tiada selera katanya. Aku pujuk juga sebab mahu mak makan ubat yang sudah tersedia sejak tadi. Aku suap pelan-pelan. Amboi, abah pun tak suap mak macam ini! Mak nampak berselera. Yalah orang demam kalau makan masakan berkuah dan panas-panas begitu memanglah mudah masuk ke tekak! Kemudian selesai makan, aku bagi mak dua biji pil ponstan warna putih. Aku minta Mak baring dan berehat. Aku bisik pada Abah, minta panggilkan Tokcik Fatimah untuk buat urutan susulan. Aku cuma urut biasa sahaja. Mana ada ilmu mengurut sepandai Tokcik. Berhari raya di kampung mengingatkan aku pengalaman 4 tahun berhari raya di tanah orang. 4 kali itulah aku habiskan masa menyambut 1 Syawal dalam bilik kuliah. Mana ada cuti seperti di Malaysia. Syawal bagai tiada ertinya bagi Masyarakat Jepun yang tandus Nur Islamnya. Kadang-kadang cemburu juga, melihat sahabat handai pelajar Malaysia di Sebelah Barat, UK dan Amerika yang sempat berhari raya bersama masyarakat muslimnya. Ada sekali aku berhari raya dalam dewan peperiksaan. Menitis air mata masa menjawab peperiksaan! Nasib baik dapat jawab dengan baik. Begitulah penangan syawal di negara orang! Hujung minggu baru dapat berkumpul sesama pelajar Malaysia yang lain bergotong-royong menyediakan jamuan raya. Dapatlah merasa ketupat segera dan rendang yang tak cukup bahan. Bila diingatkan agak melucukan! Tapi itulah pengalaman kata orang. Kami jemput juga rakan-rakan karib bangsa Jepun datang memeriahkan suasana. Nahoko? Setiap kali raya dialah orang pertama yang datang bukan sahaja untuk makan, tapi ringan tulang bantu menyediakan juadah hari raya. Dia gemar memasak dan cepat belajar. Nasi Goreng Kampung pun dia sudah reti masak! Ah! Nahoko mengingatkan aku tentang emelnya yang meminta aku hadir ke majlis perkahwinanannya. Masih tak berbalas. Pasti dia tertunggu-tunggu. Aku gelisah sebenarnya. Tarikh sudah hampir, tetapi satu keputusan pun aku tak buat. Pergi atau tidak? Meski dia sudah diambang perkahwinan. Ya, aku akui cinta aku pada Nahoko masih tinggi. Setinggi Gunung Fuji yang dilitupi salji! penulis bluehikari SMS DIA MENGEJUTKAN AKU - SIRI 39 BERHARI-raya di kampung suami memanglah menjadi lumrah aku saban tahun. Tak payahlah nak gaduh-gaduh, tak perlulah bermasam muka. Tak payahlah nak o-som atau lat-tali-lat dengan anak-anak. Aku menurut sahaja dengan ikhlas. Malah telah kusiapkan dua pasang pakaian untuk emak mentua. Along, Angah dan anak-anak lain sungguh gembira di kampung. Maklumlah kalau beraya di rumah ibuku, suasananya macam di KL jugak. Rumah teres, ada elektrik depan belakang, bilik mandi selesa dalam rumah, ada aircond... kalau di kampung memang suasananya betul-betul berbeza - ayam itik berkeliaran, angsa, kambing, lembu, kerbau, semuanya ada. Nak lebih seronok, bolehlah ke lata... Itulah hiburan mereka. Agaknya kerana keletihan, hari raya pertama aku pening kepala, badan pula rasa lenguhlenguh. Mungkin juga faktor usia, atau jarak perjalanan yang jauh. Tak pun makanan akhir-akhir Ramadan yang melampau kalorinya membuatkan kolesterol meningkat. Aku hanya berbaring di bilik selepas tetamu terakhir hari itu beransur pulang. Along baik hati, nak tolong picitkan kepala. "Mana abah?" Soalku. "Tu, kat depan, layan Tok Ngah. Tak apalah, biar Along picitkan mak." Serba salah pulak rasa hati. Sepatutnya Along dah tak payahlah nak sentuh tubuhku, dia bukan budak-budak, dah bujang teruna... "Along, dahlah. Kejap lagi cakap dengan abah, katakan mak panggil..." Along menyelesaikan picitan di tengkuk dan keluar dari bilik. Balm Inaiba diletak di birai katil. Maghrib datang. Aku masih menanti dia masuk ke bilik. Hampa. Sepuluh minit lepas Isyak, barulah dia terpacul. Di sisinya Tokcik, bidan kampung yang memang bagus urutannya. "Sorry sayang, abang letih uruskan hal si Usop. Penangan ubat batuk dengan air ketung... " Bla.. bla... bla... kata-kata suamiku hilang pergi begitu sahaja sebaik sahaja tubuhku disentuh oleh Tokcik. Sedar-sedar rupanya sudah satu jam Tokcik mengurut. Sedap rasa badan. Kepala rasa ringan. Aku bangkit dari katil, membuatkan kopi pekat untuk Tokcik. Budak-budak ke mana? Rumah lengang. "Mereka pergi beraya, tak sedap pulak nak kejutkan sayang tadi," kata suamiku. Aku lihat dalam tangannya ada handphoneku. Eh, kenapa pula telefon itu ada dalam genggamannya? "Ni, ada messege... " katanya, menghulurkan handphone. Dadaku berdebar tiba-tiba. Aku segera mencapai handphone dan mengurut dada. Mesej itu belum sempat dibacanya. Dalam debar dada... aku membaca satu persatu mesej yang tertera; "Selamat malam dear. i akan bertolak balik KL esok. doakan kesejahteraaan perjalanan i. sebagaimana i doakan u selamat walau di mana u berada..." Alamak... aku urut dada! Ada satu wajah yang terbayang di mata... hanyalah wajah dia! penulis sri SUASANA RAYA BERSAMA SOURAYA - SIRI 40 HARI pertama bekerja di bulan Syawal disambut oleh hujan lebat yang menderu-deru. Dari tingkap ini kelihatan deretan kereta di jalan bagaikan terhenti dan pemandangan begini begitu cantik dengan barisan lampu kenderaan bagaikan pelita menyambut hari raya di kampung. Di pejabat hanya ada beberapa orang staf yang telah tiba, yang lainnya berkemungkinan besar masih bercuti atau akan tiba lewat akibat kesesakan jalan disebabkan oleh hujan lebat. Walaupun masih bercuti, aku mengambil keputusan untuk kembali bertugas kerana agak bosan berada di rumah. Mungkin isteriku ada rancangan untuk beraya sendiri di luar bersama kawan istimewanya. Nampaknya di rumah tidak ada sebarang persiapan atau juadah istimewa disediakan untuk menyambut sesiapa datang. Jika ada yang sudi berkunjung memadai agaknya hanya dengan menjamu kuih kuih tunjuk sahaja. Lagipula, di ofis mungkin Eyes sudah mula bekerja, ingin sekali aku berbual Syawal dengannya, jika semuanya berjalan teratur, ingin ku perkenalkan Eyes dengan Along suatu hari nanti. Walaupun hari masih pagi, namun perut terasa begitu lapar sekali. Ingatkan hendak berpuasa enam, namun kerana tidak menjamah sebarang makanan untuk mengambil berkat sahur, hasrat tidak bertukar menjadi niat. Masalah biasa di pagi yang hujan begini ialah untuk menyeberangi jalan menuju kafetaria kerana ketiadaan payung dan kantin di blok ini masih ditutup sehingga minggu hadapan. Hujan lebat di Kuala Lumpur tidak begitu mencabar sebagaimana hujan renyai di kampungku yang semenjak raya pertama menyambut kepulanganku dan masih berterusan hingga di hari akhir kami berada di sana. Samada hujan di kampung atau di bandar, manakan seromantik hujan di Leeds. Di bulan Syawal begini teringat keindahan Syawal di bumi penjajah, malahan Ramadan di sana adalah jauh meriah berbanding di negara sendiri. Apa tidaknya, sekembali sahaja ke KL semalam, mendapat berita bahawa jiran sebelah sudah kerugian lebih lapan ribu ringgit kerana rumahnya dicerobohi. Semuanya sia-sia belaka. Jika rumah kami di Eastery Avenue dulu, kalau PC 486 yang dicuri, keesokannya PC Pentium akan diganti, jika Nokia 9110 hilang, Nokia 9210i akan diganti dalam masa 24 jam. Oh hujan emas di negeri orang. Walau apapun situasi di sana dan di sini, hati teringatkan Souraya sebenarnya. Apa khabar dia di Syawal ini, bagaimana dia menyambut Syawal, bagaimana pula halnya dengan Uncle Sim?. Syawal beberapa tahun dulu merupakan Syawal yang paling indah dalam kehidupan kami sekeluarga. Semasa di Malaysia, kami tidak pernah mengadakan rumah terbuka, namun di sana kami terpaksa mengadakannya kerana ia adalah merupakan tradisi turun temurun masyarakat Melayu Leeds. Yang moleknya, Tok Penghulu Mus telah menetapkan rumah mana dan kawasan mana yang perlu mengadakan rumah terbuka mengikut jadualnya yang tersendiri. Cara ini membolehkan semua rumah dikunjungi dan tidak akan ada yang terlepas, cantik sungguh perangangan Tok Penghulu yang kini sudah menjawat jawatan tinggi di universiti terkemuka tanahair. Bayangkanlah bagaimana sibuknya kami anak beranak menyediakan pelbagai masakan untuk jamuan hari rtaya bagi kira-kira 300 orang penghuni Leeds, namun semuanya tanggung beres. Along yang masih bersekolah menengah waktu itu mengetuai adik-adiknya menguli pelbagai jenis tepung untuk dijadikan kuih raya pelbagai bentuk, tetapi mempunyai rasa yang sama. Rempah ratus diperolehi di kedai Cina di bandar Leeds dan selebihnya dibeli di Cheetham Hill, Manchester. Semenjak pagi di hari minggu, rumah kami telah diserbu oleh pelbagai lapisan masyarakat di sini. Kebanyakannya tidak pernah dikenali, namun nampaknya mereka tahu biodata kami sekeluarga. Inilah pelajar-pelajar bujang pra-siswazah di University of Leeds dan Leeds Metropolitan University, dua buah universiti di Leeds ini. Malahan khabarnya ada juga yang datangnya dari Bradford, York dan Stoke-on-Trent. Mereka beramai-ramai datang beraya dan yang paling digemari ialah lemang yang bagaikan yang dibakar di Malaysia. Ramai yang terintai-intai di laman mencari baki buluh lemang. Dalam keriuhan para tetamu, yang tiada rasanya hanyalah Uncle Sim sahaja. Souraya memang sibuk di dapur bagaikan tuan rumah juga. Uncle Sim sememangnya begitu, dia tidak akan datang dalam majlis keramaian begini, lantas majlis untuknya diadakan khas di sebelah malan, untuk kami sekeluarga sahaja. Entah bila raya begini akan muncul semula di keluarga kami …. penulis mba DURI ANTARA KITA - SIRI 41 SUASANA santai malam Minggu membuatkan kami berdua mempunyai banyak masa untuk bersama-sama. Sejak balik kerja aku lihat dia dalam mood yang baik. Lepas Isyak dia bermain monopoli dengan anak-anak sementara aku menyiapkan makan malam. Dia tidak moody... mahu tersenyum. Malah sewaktu dia mengambil air kosong di dapur tadi dia sempat mencuit pinggangku. Kemesraan begitulah yang kudambakan... sentuhan yang sedikit tetapi kesannya mendalam. Selepas makan dia kata dengan anak-anak; Mak kamu ni kalau buka restoran, sure laku! Mungkinkah kerana lauk yang kuhidangkan membuatkan dia happy? Agaknya sambal telur kegemarannya benar-benar membuka selera, dua kali dia menambah nasi. Ataupun janganjangan kerana ikan tenggiri goreng kicap yang dah lama tidak kumasak membuatkan mood dia kembali ceria? Ah tak kisahlah. Yang penting aku berbakti pada suami dan anak-anak. Itulah berkat yang kuharapkan. Along dan Angah, habis saja makan dan mengemas dapur, terus bawa adik-adik masuk bilik. Mereka hilang dalam bilik, menonton televisyen ataupun mungkin membaca komik. Sebenarnya aku ada niat lain. Along dah tahu. Dia setuju dengan plan aku sejak petang. Dialah yang mencadangkan supaya aku jangan konfrantasi dengan suami, tak baik. Kesianlah adikadik, katanya sambil memuncungkan bibir. Kulihat anak mata Along... ya, dia anak yang baik dan sudah boleh diajak berbincang hal orang dewasa. Contohnya sebelum puasa lalu dia juga membelikan dua tiket untuk aku dan suami menonton wayang. Adik-adik biar Along yang jaga, katanya. Alhamdulillah, sungguhpun aku pernah mengecewakan Along dalam memilih calon isteri, tapi dia tidak menganggap hal itu suatu hukuman daripadaku. "Abang, tak membelek perempuan cun itukah malam ni?" kataku perlahan, memegang bahunya dan meletakkan cawan kopi di meja. Suamiku tersengih. Kami duduk bersebelahan, menonton televisyen. "Sayang kan tak suka abang hadap PC tu, kenapa malam ni macam perli pulak?" "Mesti dia rindu, mesti dia ternanti-nanti sentuhan dan picitan lembut tangan abang..." Kataku perlahan, melontarkan misi yang sudah dirancang awal. Suamiku mengerutkan dahi. Apakah dia sudah menghidu sesuatu? "Abang, saya nak tanya ni, terpulanglah abang nak jawab atau tidak, saya tak paksa..." "Eh, kenapa pulak sayang ni? Ada apa-apakah?" Kulihat suamiku mula gelisah. Dia bangkit mencapai akhabar hari itu, tetapi akhbar itu diletakkan kembali. Dia duduk semula. "Abang, hidup ni macam judi. Menang kalah adalah adat. Tapi perkahwinan kita bukan satu perjudian kerana kita mahu sentiasa menang." "Eh sayang, janganlah berfalsafah. Apa sebenarnya maksud sayang?" "Abang... siapa Souraya? Saya terbaca suratnya pada abang!" Aku menyoal pantas. Matanya kurenung dalam. Tangannya kugenggam erat. Aku tak mahu dia bangkit dari sisiku. "Siapa dia? Abang janji nak kahwin dengan diakah?" Suamiku diam. "Sayang...." Katanya sepatah. "Abang, be practical okay... saya tak suka main sorok-sorok. Dah lama saya simpan duka, dah lama saya pujuk hati. Sampai bila abang nak koyak hati saya?" Suamiku masih diam. Aku tak suka dengan situasi itu. "Kenapa tak jawab soalan saya? Payah sangatkah hendak terangkan siapa wanita itu? Boleh arrange appointment saya dengan dia? Saya nak jumpa dia esok!" Kataku mendesak. Tangannya kulepaskan perlahan. Aku bangkit dari sofa. Kutinggalkan dia yang masih kelu seribu bahasa. penulis sri ABANG.... SU MERINDUIMU! - SIRI 42 * Tulisan ini nukilan Eyes yang dikirimkan menerusi Sri Diah. Pesan Daddy tidak mungkin aku engkari. Pesan itu umpama amanat yang harus aku utamakan. Daddy mungkin tidak kisah kalau bakal cucu-cucunya membesar di negara penjajah ini. Tapi Daddy tidak sesekali redha sekiranya bakal cucu-cucnya nanti hidup dengan budaya penjajah. Paling Daddy bimbang tentang akidah. Bimbang sekiranya nanti aku tidak bertemu dengan seorang yang mampu membimbing dan menegakkan ajaran agama suci ini dalam keluarga. Daddy mahu bakal suamiku seorang muslim sebenarnya. Mungkin lebih tepat lagi Daddy mahu seorang dari tanah Melayu sebagai menantu tunggalnya. Walaupun berbangsa Cina, tapi Melayu telah lama sebati dalam diri Daddy. Islam satu-satunya agama suci yang menjadi pegangan Daddy. Aku tahu, Daddy rindukan bumi Malaysia. Sekian lama dirantauan bukanlah penyebab untuk Daddy lupa pada tanah tumpah darahnya. Tanah yang diperjuangkannya satu masa dulu dari penjajah. Perjuangan itu jugalah yang akhirnya menyebabkan Daddy tersilap langkah dan terpaksa melarikan diri ke Leeds ini. Aku tahu rindu Daddy semakin sarat pada tanah Melayu yang telah jauh berkembang maju. Aku sendiri cuma mendengar cerita tentang bumi bertuah itu melalui pembacaan. Ingin sekali aku ke sana, mencari kembali asal usulku yang tercicir. Walaupun di bumi Leads ini ramai penghuni dari rumpun Melayu, tapi tiada seorang pun yang mampu membuka pintu hatiku. Bukan sahaja aku, malah juga Daddy. Sekembalinya Abang mba sekeluarga ke tanah air mereka, aku tidak lagi pernah melihat Daddy bertandang ke mana-mana kediaman lain sehingga dinihari. Mungkin liku-liku kehidupan Daddy juga sedikit sebanyak mempengaruhi aku dalam mencari destinasiku. Mummy meninggalkan Daddy terkontang kanting sendirian membesarkan aku di sini. Mummy tidak betah mendengar teguran demi teguran Daddy. Mummy tidak mahu berubah. Tidak mahu menerima budaya hidup orang timur dan masih berkiblatkan barat. Entahlah, aku tidak pernah kenal Mummy sebenar-benarnya. Aku cuma ada Daddy seorang. Mummy terus menghilang dari hidup kami berdua selepas Mummy dan Daddy berpisah. Mungkin itu antara sebab mengapa Daddy menyepikan diri dari khalayak umum. Warkah yang aku kirim kepada abang mba masih belum berbalas. Sunyi dan sepi kian mencengkam diri aku dan Daddy. Kalau dulu, ada keluarga itu tempat Daddy menumpang kasih dan bercerita, kini cuma tinggal aku. Dan sekarang kemahuan Daddy yang satu ini begitu menyesakkan aku. Terlalu sibukkah Abang Mba, atau terlalu melampaukah permintaan yang aku utarakan di dalam warkah itu? Saban hari aku menanti dia di layar internet, namun mungkin kesibukan AidilFitri yang pastinya lebih meriah dari sambutan di Leeds ini tidak memberikan dia kesempatan untuk menemani aku di medan maya. Makin hari kerinduan ini makin sarat dan makin sukar aku bendung! Sudah 2 jam aku duduk berteleku di hadapan pc bisu ini. Semuanya seperti tidak kena. Email yang masuk kedalam kotak Inbox tiada satupun yang menarik perhatianku. Email yang ditunggu tidak juga kunjung tiba. Akhirnya aku membuka lembaran baru dan menarikan jemari di atas keyboard. Aku tidak sanggup menanti lagi. Abang yang sentiasa Su rindui, Kenapa menyepi tanpa berita? Su tidak sanggup untuk terus dibelenggu dengan perasaan rindu yang sarat begini. Hari yang Su lalui tanpa khabar berita dari Abang dirasakan terlalu panjang. Hari ini sahaja sudah 2 jam Su menunggu Abang di layar internet. Selalunya, tika begini Abang ada sini menemani Su dan cuba melengkapkan gambaran kebahagian yang ingin Su lakarkan. Impian Su bukan lagi milik Su seorang, tapi telah kita kongsi dan bina bersama-sama. Sampai hatikah Abang melihat impian itu musnah begitu sahaja? Siang tadi sewaktu Su pulang dari menjamah hidangan di rumah terbuka salah seorang warga Malaysia di sini, Daddy sekali lagi bertanyakan tentang Abang. Agaknya, Daddy juga seperti Su, merindui kehadiran Abang dalam kehidupan kami yang sunyi dan sepi di sini. Apa yang harus Su jawab pada pertanyaan Daddy itu sedangkan Abang telah beberapa lama menyepikan diri. Su khabarkan kepadanya Abang sihat dan sedang menyambut kemeriahan AidilFitri bersama keluarga di sana. Abang, Jangan biarkan Su terus dirundung keresahan hari demi hari dalam menanti jawapan abang. Su bukan ingin mendesak, tapi abang snediri tahu betapa tinggi harapan yang su dambakan. Kami berdua di sini tidak mempunyai sesiapa lagi untuk bergantung harap melainkan kepada Abang. Budi baik dan jasa abang ini akan Su kenang dan abadikan sepanjang hayat Su. Salam rindu dan salam sayang, Souraya. Leeds 4 Dec 2003, 3.00am Aku larikan mouse ke butang send. Moga-moga sedikit masa lagi Abang mba akan membuka email ini dan memberikan aku satu kepastian tentang harapan itu. penulis sri DURI DALAM DAGING - SIRI 43 KEBIASAANNYA pada malam minggu begini, isteri ku jarang memasak, kehendaknya ialah supaya kami anak beranak makan di luar. Walau bagaimanapun dia sudah masak dengan perangai aku yang tidak suka berada di luar rumah, apatah lagi dalam keriuhan manusia dan kesesakan lalulintas. Bukan sahaja migren akan bertandang, malahan darah tinggi juga akan menjulang. Lantaran itu, aku kira kemalasan dia memasak dan kedegilan ku untuk keluar, maka jalan tengah ialah Along yang membeli makanan tapau dan kami sama-sama menjamu selera di rumah. Namun pada hari minggu yang lalu, suasana agak berlainan sekali. Bukan sahaja ia memasak, malahan masakannya begitu menyelerakan. Wah bahagia seketika rasanya. Namun kebahagian begini alangkah eloknya diwujudkan di rumah pada sepanjang masa?. Selesai makan, kami berdua santai di ruang tamu sementara anak-anak dengan hal masaingmasing di bilik sendiri. Dalam ketenangan dan kedinginan malam, aku terasa panas dan gelisah dengan soalan-soalan tidak terduga, bagaikan Pengarah Penyiasatan BPR menyoal siasat bilis. Pesoalan siapa Souraya cukup mencabar sekali untuk dihuraikan. "Abang ... siapa Souraya?" "Souraya?.... alah awak kenal dia, pernah datang ke rumah kita dulu. Dia tu anak Uncle Sim" "Itu saya tahulah, tapi apa kena mengenanya dengan Abang? Dia dah klahwin ke belum?" "Akan kahwin tidak lama lagi..." "Dengan siapa?" "Apalah Sayang ni, macam-macam soalan pula yang ditanya pasal budak tu. Sayang .... seorang isteri tidak elok berkawan, apatah lagi kalau berkasih dengan lelaki lain" "Apa maksud abang ni?. Macam menuduh saja dan cuba pula menukar topik..." "Bukan menuduh, cuma abang nak tahu siapa sebenarnya Irwan?. Apa hubungannya dengan Sayang?. Selagi jawapannya tidak dapat memuaskan hati abang, selagi itu pulalah soalan mengenai Souraya akan tinggal menjadi soalan". Kucapai akhbar dan membelek-belek malas . Kepala ku ligat sekali untuk menghubungi Haji Salim, Setiausaha Bahagian "I", KDN untuk menanyakan kedudukan Souraya. Esok pagi-pagi akan ku hubungi tuan haji ... penulis mba KITA CUBA DIKHIANATI, SU - SIRI 44 Moto "BERPAGI-PAGI ITU MEMURAHKAN REZEKI" yang tertampal berhampiran mesin biometrik pintu keselamatan dan pencatat waktu kedatangan di ofis masih lagi samar-samar kerana aku datang terlalu awal hari ini. Hajat di hati ingin terus menghubungi Haji Salim bertanyakan persoalan Souraya. Saban hari beliau menaiki komuter dari Seremban dan bertukar kepada ERL di stesen KL Sentral. Oleh kerana masih terlalu awal, maka elok kiranya disemak emel terlebih dahulu sebelum menghubungi Hj. Salim. Kandungan e-mel dari "Souraya" berstem jam 3:00am cukup meragukan. Katanya sudah dua jam dia menunggu aku di depan PC untuk bersembang denganku. Buat apa dia menunggu jam 1 pagi? Bukankah itu bermakna jam 9 pagi di Malaysia?. Jika dia adalah Souraya, dia mesti tahu yang aku tidak pernah menggunakan kemudahan chatting dalam waktu pejabat. Kecurigaan ini membuatkan aku cuba menjejaki asal usul e-mel ini dan oh... mengapalah ada insan yang cuba memperdayakan aku begini?. Alamat IP yang tertera di e-mel tersebut menunjukkan ianya datang dari Malaysia dan bukannya UK. Masyaallah siapalah yang ingin menyamar sebagai Souraya ni?. Adakah isteriku sendiri?. Adakah pakar komputer Cik Siti Noor Eyes? atau siapa?. Tidak sabar ingin kuhubungi Souraya, tetapi sekarang jam 3 pagi di UK, masakan dia masih di depan PC lagi. Oleh kerana server di ofis telah mengharamkan chatting, maka aku hanya dapat bayangkan sahaja bagaimana dialog aku besembang dengan Su lewat PC: Aku: Hi Su... Su: Hi Abang! apa mimpi ni? Aku: Betul ke ni Su? katalaluan please! Su: Mangapa... tak percaya! "Burung terbang dipipiskan lada" and over Aku: "Yang dikedong tak tercicir, yang dikejar pasti dapat" and over Su: :-) Aku: ;-) Aku: Su ada hantar mel mlm tadi jam 3am London time? Su: Tak ada, mengapa? Aku: Ada org menyamar sebagai Su. Dia cuba goda abang... :-( Su: Oh my God... siapa dia? BTW apa dia cakap? Aku: Nanti abang fwd mel dia. Su: Abang.... bgm dgn permohonan dan permintan Su?. Jgn lupakan Su tau! Aku: Masih dalam pertimbangan dan akan dimaklumkan segera, dont worry Su: Su mengharap, jgn hampakan Aku: wokay, wokay.... Aku: Hv 2 go now, got mtg. cheers Su: CUA. Cheers. penulis mba KENANGAN ITU PAHIT - SIRI 45 MALAM itu Along sakit. Dia muntah-muntah. Apa yang dimakan habis dikeluarkan semuanya. Mula-mula dia rasa pening kepala, kemudian terasa pula perutnya memulas. Macam-macam cara kulakukan supaya dia rasa lega sedikit, tetapi gagal. Akhirnya kupujuk dia supaya ke klinik. Susah juga hendak menyakinkan dia supaya ke klinik, tetapi aku minta sangat dia dengar cakapku kali ini. "Along mesti pergi klinik... mak bimbang, dahlah abah tak ada dalam negara." "Its ok mak... Along rasa kejap lagi baiklah ni." "Dah lebih setengah jam macam ni. Tengok, badan Along pun dah lembik... dah tak bermaya. Biar Angah jaga adik-adik. Kita pergi kejap saja." Melihat air mataku yang bergenang di kelopak mata, hendak tak hendak, Along mengikut cakapku. Sebelum itu kucuba menelefon suami untuk memberitahu tentang keadaan Along, tapi gagal. Ubat tidur yang diberi doktor benar-benar mententeramkan Along. Sepanjang malam itu kulihat Along tidur pulas. Sebaliknya mataku yang enggan lena. Tepat pukul dua pagi, perlahan-lahan katil Along kutinggalkan. Bersendirian mengembalikan semua nostalgia. Satu persatu kenangan kusibak. Wajah anak perempuan Cina itu terbayang di mata. Wajah lelaki tua yang sepet matanya itu pun silih berganti dengan wajah anak perempuannya itu. Souraya - dia rapat dengan keluarga kami ketika kami di Leeds. Malah aku juga tahu tentang keinginan mereka untuk balik ke Malaysia tanpa melalui cara `haram' - itulah yang sedang suamiku usahakan. Aku tahu hal itu. Tetapi dalam diam rupanya itu hanyalah alasan... tanpa pengetahuanku hubungan abang angkat dengan adik angkat itu telah menjadi satu hubungan yang lain. Ia satu hubungan yang menagih mesra dan rindu. Dan semestinya apabila Souraya selamat kembali ke Malaysia, hubungan itu akan menjadi ikatan yang lain pula...! Pagi itu ketika sedang bersiap menyediakan sarapan anak-anak, telefon berdering nyaring. Anak-anak masih lagi atas katil. Along pula tentunya masih lagi tak sihat. Aku berlari anak menyambut panggilan. "Sayang... dah bangun dah? Buat apa tu?" "Prepare breakfast budak-budak..." "Flight petang ni, sayang boleh ambik kat airport?" Aku terdiam, memikir-mikir... "Boleh tak?" Entahlah, hatiku tak tenteram... "Sayang...." Perlukah aku ke airport petang ni? "Err... abang naik ERL sahajalah." Suara Along yang terbatuk-batuk di bilik air mengejutkan aku. Telefon dalam genggaman terus sahaja kuletakkan. Aku segera memapah Along duduk di kerusi. penulis sri KENANGAN MANIS YANG TIADA INDAH -- SIRI 46 BANGKOK 12 Disember: Seminar terpaksa dihentikan jam enam petang walaupun tanpa resolusi yang khusus kerana jam tujuh malam jamuan perpisahan yang akanturut dihadiri oleh wakil-wakil kedutaan akan diadakan. Aku dan Ajib mewakili negara dalam seminar di peringkat ASEAN yang dihadiri oleh semua negara, kecuali Singapura dan Brunei. "Jib, aku nak pakai kot saja malam ni sebab baju batik habis berkedur dan tak sempat nak gosok ni" "Eh, tak bolehlah, pakai batiklah sebab setiap negara perlu buat persembahan kebudayaan, sempat lagi nak gosok ni. Wife aku siapkan beg aku dan baju batik tu dia gulung elok-elok, tak berkedut punya". "OK lah aku cuba". Walaupun isteri Ajib ini adalah orang besar di syarikat telekomunikasi, namun aku cukup kagum dengan khidmat baktinya terhadap suami. Segala kelengkapan untuk suaminya diatur kemas. Aku?... Oh akau adalah suami yang tabah, suami yang boleh berdikari sepenuhnya!. Baju apa nak pakai, seluar mana, apa warna tali leher, menggosok dan melipatnya tiadak ada siapa yang boleh diharapkan melainkan diri sendiri. Jadi manalah aku tahu mengenai teknik-teknik melipat baju sebegitu. Dulu semasa di Tokyo, aku juga begitu cemburu dengan Dr. Rahman kerana dia hanya tahu apa kandungan dalam begnya setelah sampai di Tokyo sahaja, kerana semuanya diuruskan oleh isterinya, yang juga bekerja makan gaji sepenuh masa. Dan aku seperti biasa, terpaksa menyiapkannya sendiri dan sudah tentu terlalu banyaklah cacat celanya. Aku agak para suami yang lain sudah tentu tidak berupaya untuk berdikari jika terus-terusan dimanjakan begini, namun aku tetap jeles dengan rakan sejenis aku ini. Parti perpisahan ini, seperti biasa amat merimaskan aku. Tuan rumah beriya-ia benar memaklumkan bahawa semua masakan tidak mempunyai daging babi kerana menghormati rakan-rakan Islam, khususnya dari Malaysia. Setakat itu sahajalah makanan Islam yang mereka faham barangkali. Entah di mana silapnya dan entah bagaimana untuk membetulkannya aku terpaksa menyerahkannya kepada keadaan sahaja. Lagu demi lagu dinyanyikan, tari demi tari dipersembahkan. Aku mundar-mandir dan begitu rimas, pertama kerana hanya dapat minum dan memakan buah-buahan sahaja dan keduanya takut kalau-kalau 'cabutan tidak bertuah' memaksa naik ke pentas untuk membuat persembahan. Walau bagaimanapun syukur kerana Ajib memang pakar membawa lagu dalam pelbagai bahasa. Akhirnya aku naik juga ke pentas dan mendeklamasikan tiga rangkap haiku mengenai Bangkok kepada khalayak yang aku kira tidak memperdulikan apa yang aku baca, ah peduli apa aku.... SELAMAT MALAM BANGKOK The night in Bangkok The green neon shines brightly As soft as the silk Malam di Bangkok neon hijau bersinar selembut sutra SELAMAT PAGI BANGKOK Good morning Bangkok The tut-tut waits patiently Ready to serve you Pagi di Bangkok tut-tut masih di situ siap sedia SENJA DI BANGKOK The sombre light shines Chao Phraya River Shivers The warm memory Kelam cahaya dingin sungai Chao Phraya hangat di hati Haiku ini telah lama disediakan dan terjemahan Inggerisnya disiapkan oleh seorang sahabat Haijin sehari sebelum berangkat ke Bangkok. Turun dari pentas aku terpandang saudara Saroch, sahabat aku dari Universiti Chulalongkong dan tanpa berlengah, dia mengajak aku merayau ke kota Bangkok menaiki keretapi untuk membeli sedikit cenderahati untuk dibawa pulang pagi esok. Sempat menyambar sehelai sutera Thai dan beberapa kemeja T untuk isteri dan anak-anak. Barangkali esok aku terpaksa menyemburui Ajib lagi kerana anak-isterinya menunggu di KLIA seangkan aku seperti biasa juga akan menaiki ERL ke KL Sentral dan kemudiannya LRT untuk ke rumah. penulis mba KEDEGILAN ALONG --- SIRI 47 Pulang dari mengambil tiket kepal terbang di agensi penerbangan di Jalan Sultan Ismail, aku rasa macam tidak sihat. Kepala mula pening dan aku seperti loya. Habis balm hijau Cap Inaiba yang sememangnya tersedia dalam kereta aku lumur di tengkuk dan dahi. Sampai di rumah aku terus tidur. Kononnya mahu berehat dan beranggapan sakit itu akan hilang. Tapi ia jadi sebaliknya pula. Empat tahun dulu, aku boleh makan apa saja yang aku mahu. Masakan pedas antara menu kegemaran aku. Setiap kali makan aku pastikan ada sambal tumis ikan bilis yang menjadi pembuka selera. Aku meninggalkan rumah sejak di Tingkatan Empat selepas kejayaan besar dalam SRP 1992. Jadi, setiap kali pulang bercuti di rumah Mak sudah sedia maklum tentang makanan yang menjadi kemestian itu. Tetapi itu tidak terjadi selepas aku berhijrah ke Okinawa Jepun. Empat tahun mengaji ilmu itu, aku diasak makanan Jepun yang tiada langsung cili sebagai perencahnya. Bukan tiada jual cili di sana, tetapi mahu cari cili basah bukan ada terjual seperti di Pasar Chow Kit. Apa yang ada cili kering bekalan Mak dari Malaysia. Aku pula jenis malas untuk merendam dulu cili tersebut sebelum dikisar menjadi cili kisar basah. Aku tidak sedar tentang ini. Aku mula perasan perubahan ini selepas pulang bercuti Musim Sejuk ke Malaysia setahun selepas itu. Yalah selepas setahun, baru dapat jumpa sambal tumis ikan bilis tangan sakti Mak. Aku makan berselera sekali. Hampir licin semangkuk sambal tumis itu aku kerjakan. Malam itu benar-benar jadi tragedi. Aku muntah-muntah, perut memulas perit dan cirit-birit hingga aku berguling-guling di lantai. Sedar-sedar aku sudah berpakaian serba putih di wad hospital. Tiub salur air berselirat di tangan. Abah kata aku keracunan makanan. Tahulah aku, perut aku sudah tidak tahan lasak lagi dengan makanan pedas seperti dahulu. Masakan pedas perlu dielakkan dan kalau mahu makan pun perlu diambil dengan kuantiti yang kecil. Aduh! Rasa mahu menangis bila mendengar nasihat dan tegahan Doktor. Begitulah setiap kali pulang bercuti di Malaysia. Sehinggalah aku pulang dengan genggaman ijazah di tangan setahun yang lepas. Mak sering mengingatkan aku dengan nasihat Doktor. Tapi aku tetap degil menjamah makanan pedas mengikut kehendak sendiri. Akibatnya aku jadi pengunjung setia klinik dan hospital. Cucukan jarum drip entah berapa ratus kali aku rasa. Tinggal di wad juga sudah jadi biasa. Dan itulah yang terjadi sebenarnya. Jemputan rumah terbuka sempena Syawal yang masih bersisa, menjadikan aku bernafsu menjamah juadah terhidang di rumah kawan-kawan semalam. Pelbagai makanan dicubit rasa. Bercampur-aduk antara satu rumah dengan rumah yang lain. Akhirnya kerana mengikut nafsu, diri sendiri terjerat. Mulanya mahu bertahan dengan Pil Chi Kit Ad Deen sahaja. Tetapi melihat keadaan tidak juga reda, Mak paksa aku ke klinik juga. Abah pula di luar negara. Kalut juga Mak melayan karenah sakit aku kerana selalunya Abah yang bawa aku berjumpa doktor. Nah! Berjenis ubat terpaksa jadi santapan pagi, petang dan malam. Nasib baik tidak sampai dikejarkan Ambulan ke hospital. Cuma semalam, doktor beri drip aku seperti selalu. Hai! Bila sakit begini baru rasa jeran tak mahu makan pedas lagi. Tapi, bila sudah sembuh semua ketakutan itu hilang kembali! "Degil juga Along ni ya!", sindir Angah. penulis bluehikari SMS ABAH --- SIRI 48 "Boleh ambil Abah kat airport? Arrived 3.00pm. Tunggu di Pintu 3" Begitu SMS Abah yang masuk ke ruang Inbox telefon bimbitku. Tapi, bagaimana aku boleh ambil Abah sedangkan aku masih terbaring lemah? Aku mahu menolak, tetapi tak sampai hati rasanya. Rasa bersalah menginjak-injak dada. Sudahlah aku tidak dapat memenuhi permintaan Abah sebelum dia ke Bangkok tempoh hari. Abah minta bantuan aku menterjemah 3 rangkap haiku yang bakal dibacanya dalam Majlis Jamuan Perpisahan Seminar yang bakal dihadirinya. Kesibukan kerja di pejabat tidak memungkin aku menterjemah haiku tersebut ke bahasa Jepun seperti apa yang diminta. Aku rasa terkilan. Apatah lagi SMS kepada Abah sejurus sebelum dia terbang ke Kota Bangkok langsung tidak dibalasinya. Merajukkah Abah? Aku cuba tanya Mak kalau-kalau dia free petang ini. Boleh ambil Abah di KLIA. Tapi hampa bila Mak kata dia sibuk petang ini dengan kelas masakannya. Aku nekad minta bantuan Hasimah sahabat akrab di pejabat untuk membantu aku. Aku masih lemah untuk memandu. Aku harus berterima kasih kepada Hasimah kerana bersedia mengambil aku di rumah sebelum mengambil Abah di KLIA. Moga-moga Abah tak terkejut nanti, apatahlagi ini pertemuan pertama Abah dengan Hasimah, sahabat akrab yang sudah aku anggap seperti saudara kandung sendiri. "OK. Along tunggu di Pintu 3 jam 3" Aku balas SMS Abah yang aku yakini dia boleh terima di Kota Bangkok. Tidak sia-sia aku langgani talian pelayan antarabangsa syarikat telekomunikasi gergasi negara. penulis bluehikari KENANGAN MANIS HANYA SEKETIKA -- SIRI 49 MUNDAR mandir di lapangan terbang Bangkok dari hujung ke hujung, mencari lounge bagi pemegang Diners Club. Akhirnya penat sahaja yang ditemui dan mengambil keputusan masuk sahaja ke balai berlepas untuk menghabiskan sisa novel di tangan. Sebaik sahaja kaki melangkah masuk (yang tidak memungkinkan untuk keluar lagi), skrin komputer menunjukkan pesawat MH785 ke Kuala Lumpur terlewat hampir 2 jam. Ingatkan dapatlah mengalas perut dalam pesawat nanti, rupa-rupanya terpaksa pula menahan lapar tambahan untuk dua jam lagi... Sudahlah makan pagi seawal jam 5 pagi gara-gara terlalu lapar kerana makan malam hanya bertemankan buah-buahan sahaja, oh nasib badan!. Teringat ketika mula-mula sampai, Kolonel Wattana sudah menunggu di pintu pesawat, terus dibawa ke bilik VIP untuk bertemu dengan Pak Ardi yang sudah menunggu. Pak Ardi masih juga seperti dulu dengan segelas wain di tangan. Selepas memperkenalkan Pak Ardi, Kolonel meminta diri untuk menguruskan paspot aku dan menanti ketibaan Attorney Martines dari Filipina yang akan turut menyertai kami. Dalam hati berbisik, persidangan kali ini rupa-rupanya adalah sambungan dari persidangan terdahulu yang telah diadakan di Manila, ini tentu memudahkan segala bicara. Akhirnya setelah semuanya tiba kami dibawa ke hotel persidangan dengan iringan polis trafik sebagai tetamu negara yang dihormati meredah kesesakan lalulintas kota Bangkok. Begitu hormat mereka menyambut tetamu yang tidak mungkin dapat ku rasai di tanah air sendiri. Penghormatan begini barangkali memang kena pada tempatnya kerana mereka sebagai penganjur persidangan memerlukan aku sebagai pembentang kertas kerja. Namun apabila di rumah, barangkali aku sudah tidak diperlukan lagi, lantas jangankan penghormatan yang selayaknya sebagai seorang lelaki bernama suami, malahan segalagalanya adalah hambar dan dingin belaka. Sesekali terfikir, elok saja jika aku bersara awal dan pulang ke kampung untuk hidup bersama alam, kembali kepada fitrah dan mengerjakan tanah pusaka sambil menikmati damai di sana. Bolehlah juga aku mengawasi gerak langkah adik ku Roslan yang kekadang hanyut dalam dunia ubat batuk dan daun ketungnya. Lamunan ku terhenti setelah diganggu oleh pramugari yang datang menegakkan tempat sandarku kerana kapalterbang akan mendarat sebentar lagi. Sengaja tidak aku memaklumkan kepada sesiapa tentang kelewatan ini . Setelah selamat mendarat, aku tidak bergegas ke Aerotrain, sebaliknya ke surau. Usai jama' qasar Zuhor dan Asar, aku bermalas-malas menuju ke beberapa kedai cenderamata untuk membeli coklat buat anak-anak di rumah. Di balai ketibaan, tanpa menoleh kiri-kanan, aku bergegas ke arah ERL untuk ke KL Sentral, namun langkah ku terhenti setelah melihat Along menunggu di situ. "Apa khabar abah?" sambil tangannya menggenggam tanganku penuh hormat. "baik, tetapi sedikit letih, mak mana?". "Mak tak dapat datang, ada urusan penting dengan kelas masakannya. Oh ya ini teman sepejabat Along, Hasimah" Along memperkenalkan seorang gadis yang semenjak tadi berada di sisinya. "Ayuhlah kita pulang, sebelum ke rumah kita singgah di restoran Senja Bistro, abah kelaparan. emak engkau apabila sibuk dengan kelas masakannya sudah tentu lupa untuk memasak untuk abah, lagipun restoran Senja tu adalah favourite abah". Dalam kereta, aku tidak mempunyai mood untuk bersembang dan hanya tidur sepanjang perjalanan. Biarlah mereka berdua bersembang seadanya. penulis mba HUJAN DI TENGAHARI - SIRI 50 HARI pertama kerja setelah beberapa hari bercuti agak merimaskan. Pertamanya terlalu banyak dokumen yang perlu diteliti, diluluskan dan datandatangani di atas meja. Keduanya mood untuk terus bekerja dengan tekun sudah mula berkurangan di penghujung tahun begini. Selebihnya terasa kesian kepada anak-anak yang bercuti dari segala aktiviti rutin dan hanya lepak sahaja di rumah. Saban tahun apabila cuti sekolah sahaja, maka meraka akan lepaklah di rumah. Biasanya sebelah petang baru bangun dari tidurnya. Makan pagi, tengahari dan petang biasanya dijamak sekali sahaja. Si angah ni walaupun dah muda remaja, nak goreng telur pun tak boleh diharap. Nak minum, sanggup dia ke kedai. Nak makan dia akan menelefon piza, berbanding dengan ke dapur sekadar untuk memanaskan lauk-pauk yang masih berbaki. Jika tidak, tunggulah abah balik dengan membawa goreng pisang atau mee jawa untuk mereka. Alahai budak-budak sekarang. Seperti biasa singgah sebentar di gerai Kak Piah untuk membeli beberapa jenis kuih untuk minum petang. "Lama Encik tak singgah, dengar kata ke luar negeri. Mengapa tak bawak budak-budak sekali pergi melancong?". "Saya pergi pun macvam kecemasan saja Kak, mereka suruh bentangkan kertas kerja, last minutes, tak sempat nak rancang". "oo gitu... ingatkan saja tak mau anak-anak ikut. Cik Puan apa khabar?" "Baik-baik saja" "Kesian kat budak-budak kat rumah tu kalau encik tak ada" "Eh mengapa pula kak?. emaknya kan ada." "Akak ni serba salah sebenarnya. Nak beritahu salah, nak diamkan pula salah" "Apa dia kak, beritahu sajalah, saya dengan akak bukan baru kenal, anak-anak sayapun besar dengan lauk-pauk akak juga". "Begini encik.... anak akak ada beritahu yang dia jumpa dengan Cik Puan bersama kawannya dekat Genting itu hari. Entahlah saya kata silap orang kot, tapi entahlah... kalau bohong budak tu, bohonglah saya ni". "Oh begitu... tak apalah kak, saya balik dulu. terimakasih ya". Genting?. Bila ni?. Berita terkini ke baru ke surat khabar lama ni?. Mengapalah dia ni selalu sangat ke Genting dengan bukan mahram?. Kalau ya pun kawan sekerja, mengapa berduaduaan?. Adakah hanya mereka berdua sahaja yang ada dalam pejabat itu?. Orang lain tak boleh buat kerja ke?. Cemburu ke aku ni atau memang hak aku untuk berbuat begitu. Bila aku ke luar negeri sekali-sekala, dia pula yang ambil kesempatan begini. Tetapi mengapa aku tidak pula menggunakan segala kesempatan yang ada semasa di sana?. Maksudnya membalas dendam? Oh.... itu bukan cara ku, tiada dendam dalam kamus hidupku. Namun, apa yang diceritakan oleh Kak Piah ni betul ke atau hanya rekaan semata-mata?. Inilah yang cukup sukar untuk dilerai, lebih sukar dari menarik rambut dalam tepung. penulis mba MESTIKAH KITA SELALU BERSAMA? - SIRI 51 TATKALA menerima arahan daripada pejabat pentadbiran bahawa cuti untuk tahun 2003 hanya boleh dibawa 5 hari sahaja ke tahun 2004, aku termenung panjang. Aku menelefon ke pejabat pentadbiran dan bertanyakan berapa hari lagikah cuti tahunku masih berbaki. "Okey Wani... ada berapa hari lagi?" Eksekutif pentadbiran itu diam seketika dan menjawab, "Amboi akak... cuti akak ada 10 hari lagi. Kita cuba benarkan bawa 5 hari sahaja untuk ke tahun 2004. Akak kena habiskan yang 5 hari itu..." "Okey Wani, thanks." Aku meletak telefon sambil ligat berfikir... harap-harap cuti Krismas ini bolehlah kuhabiskan baki 5 hari itu. Selebihnya untuk persediaan anak-anak ke sekolah. Sekurangnya hari pertama persekolahan aku mesti bercuti untuk membereskan hal yuran di sekolah kebangsaan dan di sekolah agama. Suami ada apa-apa rancangan tak? Ingatan itu terpadam apabila panggilan telefon berdering-dering di sudut meja. "Puan, petang nanti jangan lupa. Meeting on. Esok pagi ada lawatan dari Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Bos tak dapat tunggu. Dia suruh puan bagi taklimat. Petangnya kita kena ke Petaling Jaya, ingat tak pasal pertandingan slogan tu?" Suara pegawai kanan terngiang-ngiang di telinga. "Iyalah, saya ingat... thanks." "Lagi satu... tengahari nanti, pasal tiga orang student dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya tu. Mereka tak mahu resume, mereka nak temubual tu dilakukan jugak sebab pensyarah nak bukti tape rekorder mereka." "Ok. OK..." Aku dah tak larat nak berfikir. Pagi tadi, tatkala Irwan balik dari airport selepas menghantar MD ke Singapura dia ada singgah ke bilik. Mukanya yang selalu tenang, kulihat agak gelisah. Dia kelihatan muram, lama dia terdiam, membelek-belek majalah di atas meja sebelum mula berkata-kata... "Entahlah, saya tak suka dengan situasi sekarang. Mereka tuduh kita ada affair... Mereka mula pandang serong. Apakah kerana saya duda jadi hubungan saya dengan mana-mana wanita dianggap skandal?" Katanya perlahan. Aku diam, membiarkan dia berkata-kata. "Masa saya bawa you memberi ceramah di Genting, mereka persoalkan. Semasa kita ke Seremban kerana penyerahan cek, pun mereka persoalkan. Begitu juga bila saya kena bawa you ke Alor Gajah tempohari..." "Iyalah Wan, silapnya kita ada ramai pemandu tetapi kenapa you saja yang dapat giliran bersama saya... tu yang jadi buah mulut." "Tapi saya selesa dengan you. Dengan pegawai lain, payah." "Apa selesanya? Apa payahnya dengan orang lain?" Aku cuba mengorek... "You jenis tak kisah, selamba, tak cerewet, faham perasaan saya. Yang lain tu cerewet, cuka mengarah itu ini, suka mengumpat, macam mem besar, macamlah kereta syarikat kereta mereka... suruh ke pasar, ke sekolah anak!" Aku sengih saja dengan rungutan Irwan. "Wan... saya jenis macam tu, saya tak pandai berlakon." "Yes. Sebab itulah saya boleh pergi ke mana saja you suruh. Saya selesa," katanya. Banyak kali kutafsir kembali kata-kata `selesa' yang Irwan maksudkan itu. Jika aku ini selalu `menyelesakan' orang keliling, kenapakah suami sendiri kadang-kadang seperti rasa tak selesa apabila denganku? Aku tahu, dia selalu mempertikai caraku mengurus rumah tangga dan caraku mendidik anakanak... dia memang sudah tahu aku jenis yang `tak suka memberi muka'. Aku lebih suka pada prinsip `everybody doing everything' kita kena fleksibel, mesti all rounder ... termasuklah suami dan anak-anak. Oklah, mungkin azam 2004, aku akan cuba tolerate. Aku akan jadi isteri yang romantik. Aku akan jadi isteri yang `take care' bukan `take advantage'. Aku akan jadi isteri yang jarang kata `no' tapi selalu kata `yes' bila dia ajak bermalas-malas dalam bilik. Dalam mengelamun itu sedar-sedar Irwan sudah pun keluar dari bilikku. Ada mesej SMS yang kuterima. "Saya tunggu di kafe." Tulis Irwan. Aku termangu. Mahu jawab `yes' ataupun `no'? penulis sri AKU BENCI REALITI INI - SIRI 52 * Bab ini dihasilkan oleh Eyes dan telah diedit oleh Sri Diah. Aku menyusur dari satu kedai ke kedai yang lain di sekitar White Rose, sebuah pusat beli belah yang terbesar di utara London. Apa yang mahu dibeli untuk dibawa sebagai cenderahati? Takkan nak ke Malaysia dengan tangan yang kosong. Akhirnya aku memilih sehelai skarf berwarna maroon dari jenama tie-rack. Nampak sungguh cantik. Boleh dipakai sebagai tudung kepala atau diikat sahaja di leher. Rasanya ia sesuai untuk seorang penulis wanita yang karyanya amat kuminati. Aku akan meminta lelaki itu menemukan aku dengannya ketika aku di Kuala Lumpur nanti. Jika selama ini aku hanya membaca karyanya, kini aku ingin sangat bertemu dengan orangnya. Koleksi novelnovelnya sudah banyak kusimpan. Untuk dia? Ya... untuk lelaki itu sudah pasti kubeli sesuatu yang istimewa. Sesuatu yang akan menyatakan isihatiku tanpa aku perlu berkata-kata.... sesuatu yang membuktikan bahawa antara aku dengan dia bukan hanya hubungan sebagai abang angkat... ia lebih daripada itu! Aku terkenang isi kandungan email yang dikirim oleh lelaki itu. Menurutnya ada yang menyamar menjadi Souraya dari sebuah cybercafe di Malaysia. Siapa lagi yang mengenali aku di sana selain daripada mereka sekeluarga? Jika ada pun mungkin seorang dua teman lama yang aku kenali semasa mereka menuntut di sini dahulu.Tapi rasa-rasanya tiada diantara mereka yang mengetahui hubungan aku dengan keluarga itu. Ah, aku tak mahu memeningkan kepala dengan masalah ini. Perlahan-lahan kucuba lupakan isu ini. Banyak perkara yang perlu aku uruskan di sana nanti. Tak sabar lagi rasanya untuk bertemu dengan lelaki itu sedikit hari lagi. Kalau boleh saat ini juga aku ingin terbang dan menterjemahkan rindu ini dengan memeluknya. Aku mahu mendakapnya sepuas hati dan tak mahu berpisah jauh dengannya lagi! Aku jemu berteman cebisan jigsaw puzzle untuk mengubat hati yang rindu. Jemu juga dengan hanya omelan di internet. Kalau boleh, aku mahu mengadap wajahnya setiap hari, bukan sekadar ikon-ikon smiley yang dipaparkan di kotak chatting. Moga-moga semua urusanku akan berjalan lancar dan lebih daripada itu, aku mengharapkan agar lelaki itu tidak akan mengecewakan aku. Tapi dalam diam, sebenarnya aku memendam rasa. Aku seperti tidak dapat menerima hakikat bahawa lelaki itu adalah milik isteri dan anak-anaknya. Inilah hakikat yang selama ini amat menghantuiku. Aku cemburu melihat kemesraan dia dan isteri semasa di Leeds dulu. Aku cemburu apabila melihat dia melayan isterinya dengan baik dan tidak langsung mengendahkan aku... penulis sri KEDAI KOPI --- SIRI 53 Nahoko ajak keluar. Mungkin ini kali terakhir aku keluar dengannya. Kami bersetuju untuk ke kisaten (kedai kopi) yang selalu kami pergi. Kedai ini hanya boleh memuatkan enam orang pelanggan sahaja pada satu-satu masa. Amat istimewa dan hanya mereka yang mendaftar menjadi ahli kelab kedai kopi itu sahaja yang boleh menikmati aroma kopi yang cukup membangkitkan selera itu. Aku masih ingat tarikh keramat itu. Tarikh dimana kami menyambut ulangtahun pertemuan yang ketiga. Tarikh keramat yang bakal memisahkan kami. Kami berbual tentang masa depan. Masing-masing keliru dengan perasaan yang bersarang di dada. Sambil berbual, peniaga kedai yang memasuki usia 70an tetapi masih sihat itu menyampuk perbualan kami. Pakcik Tamaki yang sudah mesra dengan kami memberi banyak nasihat tentang cinta! Ya, kami berada dalam dilema yang besar, terutamanya selepas Mak menentang perhubungan kami. Aku keliru dan buntu. Masa terlalu singkat untuk membuat keputusan. Aku perlu pulang ke tanahair kerana pengajianku sudah tamat. Akhirnya aku nekad memutuskan hubungan kasih yang sekian lama terbina itu. Dia menerima dengan hati terbuka. Tiada jodoh katanya. Tapi dia pinta aku terus kekal sebagai sahabat. Aku angguk meski berat untuk melepaskannya. Aku akur kehendak Mak. Perhubungan kami menuntut pengorbanan besar kedua-dua belah pihak. Aku pernah terbaca dalam sebuah artikel, cinta tidak semestinya berakhir di jinjang pelamin. Aku tahu dan faham itu. Aku beritahu Pakcik Tamaki, mungkin ini kali terakhir kami mengunjungi kedainya. Aku akan pulang ke tanahair tiga hari lagi. Nahoko pula akan pulang ke kampung halamannya di Fukushima dan memulakan kerjayanya di sana. Kami bakal meninggalkan Bandar Naha. Wilayah Okinawa yang telah mempertemukan cinta kami. Sayangnya cinta itu tak kesampaian. Sebelum keluar dari kedainya, Pakcik Tamaki yang pernah menjadi Tentera Merah Jepun di Tanah Melayu itu berkata, "Mungkin sekarang cinta kamu menemui kesukaran. Tapi percayalah, satu hari nanti kamu berdua akan bahagia juga" "Masa itu pasti kamu akan kata, 'bertuahnya dapat hidup'!", ujar Pakcik Tamaki dengan dialek Naha yang pekat. Kami telan kata-kata Pakcik Tamaki biarpun ia pahit. Senyum kami kelat. Aku hadiahkan Pakcik Tamaki wang kertas satu ringgit Malaysia yang siap aku tandatangan sebagai tanda kenangan. Aku berpelukan dengan Pakcik Tamaki sambil mengucapkan terima kasih. Aku sebak memandangkan itulah pertemuan kami yang terakhir. Banyak nasihat berguna yang kami terima sepanjang menjadi pelanggan setia kedai kopinya. Nahoko hadiahkan aku sebuah buku bertajuk Nari Agari (How to be big) karya Eikichi Yazawa. Dia mahu kami kuat mengharungi detik sukar itu. Katanya, buku itu menyuntik semangatnya untuk meneruskan hidup. Ada titis airmata di kelopak mata Nahoko yang ayu semasa menyerahkan buku itu ke tangan aku. Aku pula hadiahkan Nahoko sebuah Al-Quran terjemahan yang aku beli di Masjid Yoyogi, Tokyo. Al-Quran terjemahan dalam bahasa Jepun itu aku sertakan sekali dengan sebuah buku mengenai Islam. Moga-moga dia menerima hidayah Allah suatu hari nanti. Tidak melalui aku, melalui orang lain pun tidak mengapa. ??Tuan, Sila tegakkan tempat duduk. Kita akan mendarat sekarang??, Suara Pramugari berpakaian seksi itu menghentikan lamunanku. Lama juga aku mengelamun. MH088 akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo sebentar lagi. Sudah lebih setahun aku tak bersua muka dengan Nahoko. Bagaimana agaknya dia sekarang ini? Masih ayukah seperti dulu? Argh! Aku tak sepatutnya membangkitkan soal itu. Lebih-lebih lagi, aku akan menghadiri majlis bersejarahnya esok pagi. "anata ni awanakereba, Ima no boku wa nai" penulis bluehikari ANTARA GOSIP DAN RASA SIMPATI - SIRI 54 "If you treat a man as he is, he will stay as he is, but if you treat him as if he were what he ought to be, and could be, he will become that bigger and better..." - Penyair Gothe. BERULANG-KALI aku memikirkan mungkinkah kerana situasi kerja di pejabat ini yang semuanya mahu pantas, cekap dan perfect, aku telah menjadi insan yang berfikiran tangkas dan bersikap bagai robot? Aku benci menangguh-nangguh kerja. Jika seseorang pegawai bercuti, pegawai lain mesti ambil alih tugas; jangan tunggu pegawai berkenaan datang baru tugas itu berjalan semula. Jika ada masalah yang timbul mesti diselesaikan hari itu juga; maknanya kerja hari itu untuk hari itu. Esok lusa, banyak lagi tugas lain menanti. Tetapi di pejabat lain, di rumah lain. Aku tak boleh bersikap bos di rumah. Suami tetap bos nombor satu. Aku akur dengan segala arahannya. Jika dia kata `no' maknanya 'no'. Jika `yes' maknanya `yes'. Pernah sesekali ingin memberontak, tetapi cepat-cepat aku mengucap panjang... Memanglah di pejabat lain, di rumah lain... di rumah suasana agak perlahan, itulah yang aku tak tahan. "You kena hormat dia, dia suami." Kata Irwan di kafe hari itu. Aku diam sahaja, akur. Gelas minuman kugenggam perlahan. "Jika berlaku sesuatu yang buruk, payah untuk you gilap semula maruah," tokoknya lagi. "Suami pantang dicabar...." Tokoknya lagi. "Tapi Wan, isteri pun pantang dicabar. I tak suka kalau ada terlalu banyak rahsia. Tindak tanduknya selalu sahaja menimbulkan curiga. You ingat lagikah pasal kes yang I suruh you intip dia tu?" Soalku. Irwan mengangkat muka dan mata kami bertentangan. "Dia masih lagi begitu. I tanya terus terang, siapa Souraya? Tetapi soalan itu tidak menemukan jawapan. Seingat I Souraya anak uncle Sim. Dia adik angkat kami, tapi itu dulu. I rasa hubungan tu dah lebih kepada hubungan sepasang kekasih!" Irwan masih lagi memerhati ke wajahku. Aku melihat bola matanya, ada ketenteraman di situ. Ada pandangan yang jujur dan ikhlas. Seberapa boleh aku cuba tidak mahu emosi. Aku tidak mahu kalah di hadapan lelaki yang bukan mahramku. "Selagi dia tak berterus-terang, selagi itu hati I tak tenang!" Irwan menarik nafas dan dilepaskan perlahan. Kulihat jiwanya juga bagai tertekan, seperti ada sesuatu yang masih lagi berbuku dalam dadanya. Apakah dalam diam dia menyimpan kemelut gosip yang sedang dilemparkan oleh rakan-rakan pejabat? Irwan tidak bersalah, dia tidak patut terheret sama dalam dilemaku. Tetapi faktor sekeliling turut menyumbang kepada kesahihan gosip-gosip itu. Kami saling berhubungan rapat, dialah juga yang akan membawaku ke mana-mana dengan kenderaan pejabat. Masaku lebih banyak bersama Irwan berbanding dengan pemandu pejabat yang lain... Kasihan Irwan, tak semena-mena status dudanya jadi tiang masalah. Dan rasa simpatiku terhadap Irwan memuncak menggunung tinggi. Kerana aku dia difitnah. Percaturan ini bukan calang-calang, aku takut Irwan goyah dan dia betul-betul ingin menjadikan gosip itu satu realiti. Kafe lengang hari itu. Aku pun tidak berhasrat untuk berlama-lama di situ, bimbang pandangan serong staf bawahan. "Okeylah Wan, ini cerita antara kita, jangan pula you hebohkan pada orang lain. Keep this as secret, okay... janji ya!" Irwan angguk dan bangkit membayar harga minuman. Sementara itu aku menghabiskan teh tarik yang masih bersisa. penulis sri HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG - SIRI 55 PELBAGAI keributan berlaku di hujung tahun begini. Sasaran Kerja Tahunan (SKT) belum tercapai. Azam tahun baru sudah lebur. Suasana di pejabat sudah mula sunyi kerana ramainya staf yang masih bercuti dan di rumah pula agak sunyi bila Along ke Jepun. Aku bertekad untuk mendapat kepastian dari tuah haji Salim mengenai kedudukan Souraya. Tekad aku barangkali tidaklah senekad Souraya untuk datang ke Malaysia di musim cuti ini. "Assalamualaikum aji. Masih dalam kereta lagi ke?. Boleh cakap ke ni?" "Waalaikum salam, biasalah... ni tersangkut kat MRR2, apa hal yang boleh aku tolong pagi-pagi begini?" "Itulah soal yang dulu tu.... semua dokumen dah diberi, ada apa-apa berita ke?. tak kiralah positif atau negatif. Sebagai pegawai kerajaan, aku tahu hang bukan boleh buat sewenangwenangnya dan akupun tidak bermaksud begitu, cuma nak tahu kedudukannya saja". "Entahlah.... aku rasa agak rumit sikitlah kes ini, tapi tak mustahil nak dapat keputusan. Walau bagaimanapun it takes time lah, tak boleh esok lusa terus dapat. kau tahulah aku bukan KSU... alah kalau KSU pun ini, kes ni kena rujuk ke Bukit Aman dulu tau, kalau menteri tu senanglah sikit. ha ha.." "Alahai kau tak masuk bertanding, macamana nak jadi menteri, tapi aku yakin kalau kau bertanding mestu hilang wang pertaruhan punya ... " "Ok ginilah, secara ringkasnya apa yang aku faham begini ya, betulkan aku jika silap.. si budak ni memang warga UK dan nak berhijrah ke US. Kerajaan US pula nak surat pelepasan bebas jenayah dari Malaysia sebab dia pernah kerja di Malaysia, dan merupakan tempat kerja terakhir dia. begitu kan?". "ya begitulah adanya" "Ikut prosedur, kena hantar passpot, visa, surat pengesahan majikan, surat tawaran bekerja dari Malaysia juga memadai dan surat sokongan majikan dia. Lepas tu rekod-rekod beliau akan dikenalpasti dan satu temuduga atau pertemuan perlu diatur. Itu saja, tidak kompleks sangat, prosedur biasa" "so bagaimana sekarang, jawapannya?" "oh.... banyak agensi yang terlibat, iaiatu KDN sendiri, imigresen, polis dan mungkin juga kastam dan LHDN. Jadinya ia akan mengambil masa". "Apa agaknya jawapan yang harus aku berikan kepadanya nanti". "Dalam proses... tapi jangan beri harapan yang tinggi sangat.. oopps.. aku dah dekat nak sampai ni, nanti kita sambunglah lepas aku sampai di ofis nanti. bye". Susah juga untuk melayani kehendak Souraya ni dalam situasi sekarang dan dalam masa terdekat ini. Mengapalah ia beriaya-iya sangat nak datang ke Malaysia sebelum waktunya ini? Bila tiba nanti di mana dia akan bermalam?. Di rumah aku atau di hotel? Di rumah bolehlah dia menemani Angah agaknya semasa cuti begini. penulis mba LANGIT BERSINAR, HUJAN DI BUMI - SIRI 56 KUALA LUMPUR 22 Disember: Pihak berkuasa ugama telah menahan sepasang kekasih yang didapati berdua-duan di dalam sebuah bilik hotel di sebuah lokasi pelancongan terkenal di negara ini. Kejadian pada jam 1:30 pagi tersebut membabitkan seorang pengurus wanita dan seorang seorang duda yang dikatakan pemandu peribadinya. Adalah difahamkan pengurus tersebut adalah isteri seorang pegawai tinggi kerajaan. Ketika serbuan dibuat, mereka berdua kelihatan berpakaian kemas, namun hanya mereka berdua sahaja berada di bilik tersebut. Selepas soal siasat dan pernyataan mereka diambil, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan diri dan mereka akan didakwa kerana kesalahan berkhalwat. Berita kecil dari akhbar hari ini benar-benar merungsingkan aku. Terlalu banyak kes khalwat berlaku di negara ini. Ya Allah, selamatkanlah aku dan keluarga ku daripada terjerumus ke arah itu. Fikiran berputar-putar sama seperti putaran roda keretaku untuk cepat-cepat sampai ke rumah. SRI MAHLIGAI: 6:30pm "Yang, cepat balik hari ni, biasanya maghrib baru sampai". "Alah abang ni, cepat susah, lambat curiga... serba salah dibuatnya" "Aik... itupun nak melenting?. YAng dah baca akhbar hari ni?" "Baca gitu-gitu ajalah, apasal?" "Nah... cuba tengok kisah khalwat ni" "Sejak bila pulak abang berminat dengan cerita-cerita macam ni?. Ini kan cerita biasa aja". "Berita tu memang biasa, tetapi yang kena tangkap tu pengurus wanita dan drebarnya, sebiji macam awak... jadi hati-hatilah lain kali. Kawan konon.... kalau drebar, cakaplah drebar, sejak bila pulak berkawan dengan drebar ni?. Abangpun nak jadi drebar jugaklah kalau macam ni.." "Abang..... mengapa marah-marah ni?. Ayang tak memilih kawan, drebar ke, buruh ke, tak kisah, yang penting hati. Abang pun berkawan dengan Wak Don kan?. Dia tu pemandu superscale, bukan drebar jugak?" "Ayang.... Wak Don tu lelaki, Abang ni lelaki, Kalau Ayang berkawan dengan drebar perempuan, abang tak kisah". "Maksud abang?". "Maksud abang ialah, pandai-pandailah pilih kawan, jangan cerita masuk berita pulak nanti. Hadkan pergaulan tu. Harap ayang faham dan abang nak mandi dan ke surau ni. Ada majlis bacaan Yassin di malam Jumaat ni". Aku meninggalkan isteriku dengan akhbar tersebut dengan segala senang hari bila terbuku di hati telah dicurahkan. Biarlah hujan pada malam ini, biarlah banjir Sri Mahligai ini. penulis mba ALONG, ABAH, & MAK - SIRI 57 * (sepertimana yang diceritakan oleh ANGAH (Azra) kepada Ibnu Ariff) Mungkin aku terlalu banyak masa terluang sekarang, maklumlah lepas SPM oleh itu mudah sangat masalah Along, Abah dan Mak menerjah masuk dalam mindaku ini. Sebenarnya aku tidak begitu mengenali hati budi Along, apa minatnya, dan siapa pula yang istimewa di hatinya. Mana tidaknya, Along meninggalkan rumah sejak aku mula menduduki bangku sekolah, waktu aku masih belum pandai menilai seseorang. Belum mumaiyiz pun lagi. Sejak Along memasuki SBP di Tingkatan Empat dan seterusnya menyambung pelajaran ke Jepun, kami jarang bersua muka. Along balik sekali-sekala sahaja dan ada masanya semasa dia balik sebentar aku pula tiada di rumah. Maklumlah, pelajar teraktif di sekolah katakan dan aku diberikan penghargaan sewajarnya. Jarak umur antara aku dengan Along yang terlalu jauh membuatkan kami agak kekok untuk berbual mesra. Ada kawan-kawan aku yang bertanya, "Itu abang kau ke pakcik kau?". Aku tak salahkan kawan-kawanku, Pak Usu pun tua setahun dua sahaja dari Along. Namun begitu aku bertuah sebab Along seorang yang baik hati dan amat memahami serta mengambil berat. Biar pun kami nampak jauh tapi dekat di hati sebenarnya. Pernah sekali aku kecewa dalam dunia cinta monyet, Along juga yang mengubat hatiku dan buat aku bangkit semula. Ketika itu Abah & Mak menunaikan haji, tanpa Along mungkin sasau aku jadinya dan tak mungkin aku bersemangat menempuh SPM. Kini aku tiada teman istimewa, Abah pun tak berapa suka aku bercinta. Cuma ada seorang yang lebih dekat di hatiku berbanding lelaki yang lain. Aku tak pernah meminta Along membeli itu ini di negara matahari terbit itu, tetapi dia membelikan aku cd muzik Glay, barang-barang dari Studio Gibli, hasil kraftangan dan komik manga. Aku menerima barang-barang itu melalui pos, kadang-kadang sanggup dia menghantar mahal-mahal melalui FedEx agar hadiah sampai di hari jadiku. Agaknya dia tahu adiknya ini sangat berminat dengan apa-apa yang datang daripada Jepun melihatkan koleksi komik Manga aku dan juga lukisan ala Manga yang kulukis sendiri. Aku juga mempunyai banyak koleksi setem dari sana, sumbangan Along dan juga Kak Nahoko. Sebut pasal Kak Nahoko, aku risau tentang Along sebenarnya. Mereka memang padan, Kak Nahoko juga memang baik dan aku memang suka kalau dia menjadi kakak ipar aku. Ah, ironinya aku begitu suka seorang wanita bangsa penjajah yang pernah menghambat nenek moyangku menjadi ahli keluargaku! Tapi Along patuh kata-kata ibu, aku ingat lagi kejadian beberapa tahun dahulu semasa Kak Nahoko bertandang ke rumah. Ketika Along perkenalkan dia dengan Mak, Mak terus tarik Along ke dapur. Mak kata dia tak suka kalau Along berniat untuk menjadikan Wanita Asing itu sebagai menantunya! Sejak peristiwa itu, kulihat Along dalam keresahan. Akhirnya ku dapat tahu juga dia memutuskan hubungan kasihnya dengan Kak Nahoko apabila Kak Nahoko menghantar email padaku bertanya adakah Along ada sebarang masalah atau dia sudah ada yang lain. Aku jawab aku tak tahu, takut tersalah susun kata nanti buruk padahnya! Along patuh pada Mak dan Abah tapi dia degil juga sebenarnya. Makan juga dia makanan pedas banyak-banyak walaupun ditegah keras oleh doktor, mak pun geleng kepala dibuatnya. Teringat dulu-dulu, Along acapkali sengaja menghabiskan simpanan gula-gula kegemaranku di dalam peti walaupun sudah berulang kali diberi amaran oleh Mak.Yang paling aku geram sekali, dia suka menutup lampu bilik air ketika aku berada dalam bilik air. Bila keadaan tiba-tiba menjadi gelap, aku pun menjerit-jerit la. Kemudian disebabkan pasal itu la, aku kena didenda sekali oleh Abah. Kini Along di Jepun, menghadiri perkahwinan Nahoko. Banyak juga duit si Along ni, agaknya dia suka menyimpan. Duduk bersama keluarga tentu sekali tak banyak belanja. Harapnya Along mampu mengubat luka di hatinya, Abah kata semasa Along menjemputnya di KLIA ada seorang wanita ikut bersama, Hasimah namanya. Tapi masalah Along tidak membimbangkan aku sangat, Abah dan Mak yang aku risaukan sangat! Akhir-akhir ini, Abah dan Mak nampak tidak semesra dulu. Abah pulang awal terus menghadap PC sehingga larut malam. Berhentinya hanya untuk solat dan makan. Aku tahu Abah online sehingga larut malam, rakan blogku Firdaus katanya selalu berborak dengan Abahku tengah-tengah malam. Mungkin sebab itu Mak naik bosan, sehingga dia stress. Masa raya pun mak terbaring pening di bilik bujang Abah dahulu. Aku kasihan dengan Mak, dia penat dengan kesibukan kerjanya tapi Abah buat macam tak reti nak tolong. Mungkin aku harus mula belajar memasak, sekurangkurangnya ringan sikit tugas Mak. Bagus juga, nanti tiadalah Abah membebel lagi anak daranya ini tak reti masak! penulis Ibnu Ariff CEMBURU MENGHANTUI - SIRI 58 MEMULAKAN kerja dalam keadaan pejabat agak lengang membuatkan suasana amat sunyi. Tidak ada riuh suara pegawai. Bunyi telefon sahaja yang memekik di sana sini memecah keheningan. Suasana berjalan agak lembab. Aku pula amat membenci kesunyian. Kesunyian bagiku bagai membunuh daya kreativitiku. Maklumlah hujung tahun begini, ramai yang mengambil cuti panjang. Termasuklah bosku. Khabarnya dia ke Tokyo membawa keluarga makan angin. Bersendiri di bilik ini aku menjadi sekerdil-kerdil bos. Pegawai kananku bercuti hampir 20 orang daripada 28 semuanya. Malah pegawai penyelidik, pegawai hrd, pegawai pemasaran hinggakan pemandu... kebanyakannya bercuti. Dalam ketenangan ini aku membelek diri - apakah aku ketua yang baik atau aku ketua yang tidak pandai mengagih tugas... rasanya yang pertama itu adalah peribadiku yang sebenar. Kubenarkan mereka bercuti untuk bersama keluarga. Biar mereka memupuk kemesraan, mengeratkan silaturahim. Ini bermakna daripada rohani pegawai yang luhurlah akan kumiliki jiwa pegawai yang berinovasi. Sedang aku? Kemesraan itu sudah lama kering tanpa disirami air kasih. Keintiman itu bak kelopak yang mulai layu menanti masa untuk kering... kebahagiaan itu, kian pudar dan menanti masa untuk terus malap. Apakah cahaya itu akan padam? Oh tidak! Aku tak akan biarkan ia sirna. Apalagi dalam meniti usia tua, terutama di saat anak-anak kian dewasa. Alasanku; walau aku tidak fikirkan perasaan dan diri sendiri, sekurangnya kufikirkan masa depan anak-anak. "Abang, kita kena selalu begini. Duduk bersama, makan bersama, berdua-dua." Kataku perlahan apabila aku akhirnya berjaya mengajaknya mengambil cuti kecemasan setengah hari pada hari itu. Kami berduaan di ruang bawah kompleks Beli Belah Sogo, sambil menghirup mi sup dan berkongsi jus tembikai. "Ya, macam dulu-dulu. Tapi Ayang selalu sibuk." "Lepas ni saya nak abang pegang tangan saya bila berjalan. Saya juga nak abang selalu call atau sms ataupun kita online bila saya di pejabat. Barulah saya rasa disayangi, barulah saya rasa yang saya dihargai..." kataku, jujur. Habis lepas segala yang terbuku di hati kuhuraikan bersamanya. Detik itu bak pertemuan sepasang kekasih yang terpisah lama dan tak ingin berpisah lagi... berakad untuk saling menghormati, menghargai dan berjanji hanya mati yang akan memisahkan kami. "Abang cemburu Ayang dengan Irwan." Kata suamiku datar. Aku terkejut. "Abang, kami rakan sekerja. Tak ada affair." "Ayang macam utamakan dia daripada abang." "Bohong. Itu fitnah!" Aku hampir menjerit. "Kalau saya utamakan dia, saya tak ada di sisi abang sekarang. Kalau tuduhan abang tu betul, mungkin saya juga jarang lekat di rumah. Tapi..." Aku cuba membela diri. "Eh, abang bukan tuduh!" Terdengar suaranya akan tinggi. "Oh, abang prejudis terhadap saya.... MasyaALLAH!" Mi sup yang kutelan terasa pahit tiba-tiba. Jus tembikai yang kuhirup juga terasa tawar tiba-tiba! penulis sri CEMBURU TANDA SAYANG - SIRI 59 LINANGAN air mata dan esakan Nori melembutkan hatiku untuk terus bersimpati dengan staf wanita yang aku hormati ini. "Saya sudah nekad untuk meminta cerai encik", ujarnya menahan sebak. "Saya cukup kecewa bila nasi yang saya masak tida disentuhnya, air yang saya bancuh tidak teguk dan seolah-olah saya tidak wujud saja di rumah. Inilah saya datang untuk meminta nasihat encik, kerana saya tahu encik memang kenal dengan suami saya. Mungkin encik dapat membantu". "Beginilah Nori, awak seorang yang bertuah dalam banyak perkara, mempunyai keluarga yanb bahagia. Saya anggap segala permasalahan adalah bersifat sementara sahaja. Ubat yang paling mujarab ialah bersabar. Jangan terlintas langsung pasal cerai. Ia adalah seburuk-buruk perkara halal di sisi Allah. Lagipun talak adalah di tangan suami, jangan meminta. Jangan cabar ego suami. Buatlah seperti biasa sahaja. Saya kenal benar dengan suami awak, dia tidak mempunyai apa-apa masalah, dia tidak ada wanita lain, cuma dia sedikit tertekan sekarang. Sebagai seorang guru, dia hanya di sekolah di sebelah pagi, sedangkan awak seharian di pejabat. Dia sudah jadi serba salah sebenarnya, samada dia patut memasak dan menguruskan rumah atau menjadi bos sahaja sekembalinya dari sekolah. Saya yakin ia hanya bersifat sementara dan akan pulih nanti. Atau mungkin juga elok bagi dia untuk bertukar tempat kerja, di kementerian misalnya". Tiba-tiba Nori yang sebelumnya membahasakan diri ku dengan encik, telah memanggil ku dengan abang. "Lepas ni saya nak abang pegang tangan saya bila berjalan. Saya juga nak abang selalu call atau sms ataupun kita online bila saya di pejabat. Barulah saya rasa disayangi, barulah saya rasa yang saya dihargai...." "Nori !... " "Abang, siapa Nori?, siapa bang!?" Sergahan ini benar-benar memeranjatkan dan menyedarkan aku dari lamunan, apatah lagi bila memandang isteri di sisi. Oh aku di Sogo rupa-rupanya, bertemankan mi sup dan air tembikai yang berkongsi. Demi untuk mengembalikan keyakinan diri, aku lantas teringat akan Irwan sebagai senjata untuk berselindung "Abang cemburu Ayang dengan Irwan". Selepas itu antara dengar dengan tidak sahaja dialog-dialog yang dilontarkan hinggalah kami meninggalkan kompleks Sogo dengan perasaan masing-masing. penulis mba WAJAH DUA WANITA - SIRI 60 Siri ini hasil nukilan Ibnu Ariff dan telah diedit oleh Sri Diah ALONG masih lagi belum balik dari Jepun. Aku tidak mendapat sebarang petunjuk kenapa dia begitu lama berpergian. Achik pula duduk bersama Tok Ki dan Tok Wan di kampung bersama sepupu-sepupuku yang lain. Bosan bersendirian di rumah aku mengambil keputusan mengikut abah yang kebetulan dihantar berkursus di Kuantan. Di masa yang sama emak pula ditugaskan mengendalikan satu bengkel anjuran tempatnya bekerja di Kemaman, Terengganu. Oleh itu kami bertiga berkereta ke pantai timur. Selepas daftar masuk di hotel, emak meneruskan perjalanan ke Kemaman. Aku pula mengambil kesempatan itu untuk bersantai sahaja di bilik hotel. Tanpa disangka, petaka itu datang tiba-tiba. Suara perempuan yang menerobos ke telingaku terdengar asing sekali. Siapa? Dia memperkenalkan dirinya sebagai Cik Siti Noor Eyes, kawan satu kursus dengan abah. Katanya abah diserang migrain yang teruk ketika di bilik persidangan dan ketika itu abah terlantar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. MasyaALLAH! Aku mahu segera berada di sisi abah... tetapi Cik Siti Noor Eyes pula tidak boleh mengambilku di hotel. Katanya dia harus menguruskan hal abah dulu. Malangnya bandar Kuantan asing bagiku dan sukar untukku mencari jalan ke hospital. Kucapai telefon dan meminta bantuan rakan blogku yang memang tahu aku berada di Kuantan ketika itu. "Assalamualaikum Firdaus, aku perlu ke HTAA. Abah aku masuk wad, macam mana aku nak ke sana?" Terus sahaja aku menyatakan kesulitan yang sedang membelengu diri. Wajah abah yang berpeluh-peluh terbayang-bayang di mata. "Waalakumussalam. Bertenang dulu, hang jangan dok kalut. Kau di hotel mana ni?" "Aku di Vistana, Jalan Teluk Sisek." "Macam ni, aku telefonkan teksi Hj. Ngah. Dia kawan baik ayah aku. Tunggu sahaja di lobi hotel." "Terima kasih banyak, aku tak tahu apa nak buat kalau kau tak tolong." "Hal kecil je ni. Oh, aku memang ada di hospital. Kita jumpa sekejap lagi. Wassalam." Talian dimatikan, aku bergegas turun ke lobi. Sempat juga aku menyambar charger Treo 600 abah, manalah tahu diperlukan nanti. Tak sampai 10 minit teksi yang dimaksudkan sampai. Pemandunya agak berumur, melebihi setengah abad tetapi dia nampaknya boleh dipercayai, tidak seperti sesetengah pemandu teksi yang liar sahaja matanya. Tapi aku masih sangsi, betulkah ini orangnya "Anak ni kawan Firdaus?" Aku sekadar mengangguk mengiyakan. "Kalau gitu cepat naik teksi pokcik. Gi hospital kan?" "Ha'ah. Abah masuk wad." Aku mengikut sahaja dia ke teksinya. Kuperhati sekilas platnya - CAW 8088, sama dengan nombor plat yang dihantar Firdaus melalui SMS. Jadi aku tak perlu risau lagi. Hj. Ngah bertanya aku macam-macam sepanjang perjalanan ke hospital. Tapi satu pun aku tak jawab. Manakan tidak, aku langsung tak faham loghat Terengganu yang digunakannya. Sampai sahaja di hospital, aku membuka dompet untuk membayar tambang tetapi dia menolak. Dia mahu aku segera melawat abah. Sampai sahaja di lobi lif, aku terkejut melihat betapa ramai orang membanjiri lobi lif itu. Aku lihat jam di tangan, 4:30 petang. Patutlah sesak, waktu melawat baru bermula. Dalam kekalutan itu kuterima SMS dari Cik Siti Noor Eyes, katanya wad Abah di tingkat 8, Wad Orkid. Segera aku forwardkan SMS itu pada Firdaus. Kemudian tiba-tiba kurasa namaku dipanggil. Kutoleh, Firdaus rupanya, dia berdiri di hadapan pintu Jabatan Pengimejaan Diagnostik (X-Ray). "Ikut sini, shortcut ke wad." Aku yang cemas mengikut sahaja dia memasuki pintu tadi. Notis 'Kakitangan Sahaja' terpampang di luar pintu. Ah, peduli apa aku. Buka sahaja pintu itu, angin sejuk segera membaluti tubuhku. Kulihat termometer di dinding, 18 darjah celsius! Katanya, air-cond dipasang sekuat mungkin untuk memastikan mesin-mesin pengimejaan berfungsi dengan baik. Patutlah dia memakai jaket. Tentu sekali dia dah sedia maklum, bukankah emaknya ketua jabatan itu. Kami cepat-cepat sahaja melalui jabatan itu dan keluar melalui pintu belakang. Rupa-rupanya ada lif kakitangan di belakang. Kami masuk dalam lif bersama-sama beberapa atendan dan jururawat. Mereka hairan melihatkan kami, tapi tidak pula mereka bertanya apa-apa. Aku terus sahaja menekan aras lapan. Atendan dan jururawat itu pula keluar di aras empat dan lima. Keluar sahaja dari lif, selamba sahaja dia membawa aku melalui koridor Wad di-Raja terus sahaja ke lobi lif. Kemudian terus ke wad abah ditempatkan. Aku menjenguk-jenguk mencari di mana katil abah. Puas mencari, akhirnya ketemu juga. Tapi aku tergamam melihat seorang wanita tengah sibuk menyuapkan abah minum petang. Siapakah wanita itu? Masa abah migrain di rumah, mak nak tolong bagi ubat pun dia tak mahu. Dengan wanita lain boleh pula! Hatiku berbunga curiga. Akhirnya kuketahui dialah Cik Siti Nor Eyes. Dia kelihatan ramah tetapi aku melayannya agak dingin. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi tapak kaki; bunyi tapak kaki yang biasa kudengar. Kupasti siapa gerangannya tapi kuharap sangkaanku salah. Aku berdoa itu bukan orangnya. Jantungku berdegup kencang. Aku tak mahu konflik meletus. Aku terpempan! Memang mak yang datang! Segera kupergi ke sisi mak yang berdiri mencekak pinggang. Dan aku dapat melihat api amarah dalam mata mak. Muka mak berona merah. Abah tergaman. Cik Siti Noor Eyes terkesima hingga terlepas sudu dari jari-jemarinya. Firdaus pula terpinga-pinga, tak tahu apa dah berlaku. Dalam tergamam itu aku ternampak si dia di sudut sana, dia yang pernah mengecewakan hatiku. Juga melawat abahnya. Kenapa dia juga harus berada di sini? Oh Tuhan, teguhkan hati hambaMu ini! penulis Ibnu Ariff TRAGEDI - SIRI 61 Penerbangan balik selama 7 jam itu bagai neraka buatku. Cuaca agak tidak mengizinkan. Aku berada di ruang udara Taiwan pada ketika ini. Air Pocket buat aku kecut perut. Inilah satusatunya perkara yang paling aku tidak suka bila menaiki pesawat udara. Sudah ada kedengaran suara kanak-kanak menangis ketakutan. Sang Pramugari sibuk mententeramkan penumpang yang mula cemas. Aku menekapkan bantal di dada. Gerun pun ada. Tawakkal sajalah, bisikku menyedapkan hati. Lampu merah supaya penumpang mengenakan tali pinggang kaledar menyala sejak tadi. Selang sepuluh minit juruterbang memberitahu supaya bersabar. Tiada apa-apa katanya. Hanya gegaran-gegaran biasa kerana awan tebal yang dilalui burung gergasi. Masa itu makan tengahari baru sahaja dihidangkan. Anak-anak kapal sedang sibuk melayan penumpang menghadap hidangan. Aku hilang selera. Ingatan terhadap Nahoko menebal. Dia sudah menjadi milik orang. Sudah sah bergelar isteri kepada seorang jurutera Malaysia yang bekerja di kampung halamannya! Aku terkesima bila diperkenalkan dengan suaminya. Ir. Azlan Shah itulah namanya. Aku tidak kisah kalau suaminya berbangsa Jepun seperti dia. Tetapi....! Aku baru sahaja diberitahu yang Nahoko sudah memeluk Islam tidak lama selepas aku pulang ke tanahair. Cintanya kepada Islam menemukannya dengan Azlan di Pusat Islam Sendai, kira-kira satu jam dari kampung halamannya di Fukushima. Mereka bertemu dalam satu majlis menyambut hari raya bagi komuniti Islam di sana. Azlan asalnya seorang bekas pelajar di Tohoku University yang terletak di Sendai City. Kemudiannya bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Pelabuhan Sendai, pelabuhan terbesar di Utara Jepun. Kisah cinta pertemuan mereka buat aku cemburu. Dalam diam hatiku menangis. Ya, aku kecewa kerana tidak dapat memenangi hatinya! Tiba-tiba aku terdengar suara jeritan nyaring. Seorang pramugari tercampak ke bumbung pesawat. Dia jatuh tertiarap bersama sehidang makanan yang sedang dibawa. Pengsan. Pesawat bergegar dan terhuyung-hayang tanpa haluan. Suara jeritan bergema menusuk gegendang telinga. Aku jadi panik. Juruterbang mengarahkan semua anak-anak kapal dan penumpang duduk di tempat masing-masing. Ketua Pramugara meminta semua penumpang memakai jaket keselamatan. Serentak dengan itu, masker oksigen berjatuhan automatik dari kotak di atas kepala. Cemas. Lampu dalam pesawat terpadam. Aku rasa kapal terbang sudah mula menjunam. Sudah ada barang-barang terkeluar dari tempat penyimpanan barang di atas kepala penumpang. Aku segera mengenakan jaket keselamatan. Sambil menarik masker oksigen ke mulut dan hidung. Penumpang di sebelahku sudah tidak bergerak. Dahinya berlumuran darah. Pengsan atau sudah mati aku tidak pasti. Aku mengucap dan selawat banyak kali. Tak terhitung jumlahnya bersama ketakutan yang mencengkam dada. Ya Allah! Permudahkan kematianku. Lailllaha illah! BUM! Pesawat menghentam sesuatu. Aku sudah tidak ingat apa-apa lagi selepas itu. penulis bluehikari ADA DURI DALAM DADAKU - SIRI 62 PERJALANAN balik dari Kuantan ke Kuala Lumpur terasa amat jauh sekali. Ia bagai suatu perjalanan yang penuh dengan onak dan duri. Di Paya Bungor aku hampir melanggar seorang penunggang motosikal. Mujur aku berjaya mengelaknya. Ketika di Bentong pula, kereta yang kupandu hampir-hampir terbabas, mujur tidak melanggar pembahagi jalan. Dan tatkala menghampiri Karak, aku memang berhenti rapat betul-betul di belakang sebuah Perdana V6. Angah di tempat duduk sebelah berkali-kali mengucap di sepanjang 5 jam perjalanan itu. Dia tak putus-putus bercakap apa sahaja yang termampu olehnya. Dia menasihatiku mengikut fikiran usia 17 tahunnya. Dia membelaku kerana katanya aku emaknya. Dia kecil hati dengan sikap abahnya kerana 'menyimpan' Cik Siti Nor Eyes dalam diam. Dia kata dia tidak berkomplot dengan abahnya. Dia bersumpah berkali-kali. Oh anakku... mak sudah tidak ada air mata untuk menangis, anakku. Agaknya mak terlalu baik sampai abah kamu bersikap main belakang dengan dua tiga orang perempuan... Agaknya mak kamu ini terlalu bodoh melayan suami hinggakan abah kamu mencurahkan api kasih dan rindunya kepada Cik Siti Nor Eyes, dengan Souraya... dengan Nori dan entah mana-mana perempuan lagi! Apabila difikirkan semula, maka adalah wajar aku terus tinggalkan dia dengan perempuan itu di katil Wad Orkid di Hospital Tengku Ampuan Afzan itu. Apabila perempuan itu mahu menghulurkan tangannya mahu berjabat denganku, aku tenung mata angah. Angah mengerutkan dahi. Tanpa berkata apa-apa kami terus melangkah meninggalkan wad yang bagaikan neraka itu, Kami balik ke hotel dan berkemas. Tidak sampai 15 minit kami sudahpun keluar dari bandar Kuantan. "Habis abah macamana?" Angah menyoal sewaktu kami berhenti mengisi minyak kereta. "Kalau kita balik dulu, nanti abah nak balik dengan siapa? Siapa yang nak ...." "Siapa nak jaga abah? Begitu maksud angah? Biarlah angah..abah bukan tak biasa diserang migraine hingga masuk wad. Biar perempuan tu yang jaga hal ehwal abah. Pandailah dia menjaga abah setelah abah tak pandai menjaga hati kita." Kataku sambil menjeling sekilas ke muka anak daraku itu. "Tapi mak..." Angah masih lagi tidak puas hati. "Angah... kita balik dulu. Nanti abah balik dengan perempuan tu!" Kataku tegas. Angah menggumam. Sesekali terdengar dia menarik nafas panjang, tersekat-sekat dan melepaskannya perlahan-lahan. Dan akhir sekali kudengar ada bunyi esakan yang panjang dan perlahan... Angah menangis! Tetapi aku sendiri sudah tidak punya air mata untuk menangis! Kami sampai di rumah hampir pukul 12 tengah malam. Itupun setelah lebih enam kali aku berhenti di tepi jalan kerana hati sebak dan fikiran yang berkecamuk, tidak tenteram. Sampai sahaja, angah terus masuk ke bilik. Berdentum bunyi pintu bilik dihempasnya. Aku bimbang jiwa remaja angah terdera... aku tak mahu anak daraku tersentuh hati dengan insiden yang berlaku di hadapan matanya tadi... tetapi apalah dayaku. Dan rasanya hati angah memang pun sudah tercalar. Dua hingga tiga jam selepas itu aku masih lagi termenung di atas katil. Hatiku masih lagi bengkak, hampir menanah. Suamiku baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya, dia bukan muda lagi. Tetapi kenapa lagaknya bagai orang berumur 40-an, yang memang galak mencari pucuk muda? Tepat pukul empat pagi, telefon menjerit-jerit di sudut katil. Aku tak mahu mengangkatnya. Jika dia tenat pun di katil hospital, biarlah perempuan muda itu yang membantunya! Tetapi deringan telefon yang berdering buat kali ketiganya itu terdengar begitu aneh. Getarannya lain daripada biasa. Dalam terpisat-pisat aku bingkas mencampakkan gebar dan menyambut ganggang berwarna krim itu. Ya ALLAH... Along... Along anak mak...! Lidahku kelu. Dadaku terasa perit mencucuk-cucuk. penulis sri WAJAH-WAJAH YANG SAMAR - SIRI 63 SELEPAS bersama semasa di Sogo, aku terlalu sibuk membereskan kerja akhir tahun, menyiapkan SKT tahun baru dan menyelia pelajar diploma IT. Persembahan projek akhir pelajar IT di INTAN secara maraton mengambil masa selaqma empat belas jam sungguh memenatkan. Oleh kerana jadual makan yang tidak menentu, urat-urat halus di kepala mula membesar petanda migren akan menyerang. Untuk mententeramkan diri, dua biji ponston 500mg menjadi teman bersama makan pagi. Selesai acara maraton tersebut, kami sekeluarga berkereta ke pantai timur kerana terdapat satu lagi atucara akhir tahun. Aku akan menghabiskan masa di hujung tahun dengan menghadiri bengkel produktiviti di kuantan. Isteri ku pula akan ke Kemaman untuk mengendalikan bengkel penulisannya. Isteriku meneruskan perjalanannya ke Kemaman bersendirian sementara aku mendaftar di hotel ditemani Angah. Selesai pendaftaran aku mengambil peluang meninjau ke bilik bengkel untuk mempastikan upacara perasmian akan berjalan lancar. Apabila melihatkan bilik belum terurus sempurna, susunatur masih berterabur dan paling penting dokumen bengkel masih belum tiba, kepala yang dah sekian lama menahan perit kian kencang denyutannya. Lama rasanya aku di bilik air ini, mata berpinar-pinar, kepala semakin berdenyut walaupun segala isi perut telah habis keluar dimuntahkan. Sudah tiga kali aku mengalami migrain yang terus sehingga muntahmuntah pada bulan ini sahaja. Aku harap ianya sekadar migrain sahaja dan tidak lebih dari itu. Aku pernah menjalani diagnosis dengan doktor pakar di universiti hospital St. James di Leeds dan juga Hospital Kuala Lumpur. Mengikut doktor pada masa tersebut, tidak ada apa-apa yang dapat dikesan dan ia Cuma migrain biasa sahaja. Oh sungguh penderitaan ini… Sayup-sayup kedengaran suara orang bercakap-cakap yang kurang dapat difahami buah butirnya. Samar-samar kelihatan gadis seperti Nahoko berada di sebelah ku. Ya Allah, di mana aku kini?. Adakah aku sudah mati?. Encik di hospital dan semuanya selamat. Sapa seorang yang aku agak adalah jururawat. Encik pengsan tadi dan rakan-rakan encik membawa encik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan ni. Aku cuba tersenyum mendengar penjelasan panjang lebar itu dan bersyukur yang aku masih lagi hidup, ya hidup di dunia ini, di katil hospital. Apabila ku buka mata kembali, hari sudah malam agaknya. Seorang doktor perempuan barangkali, berwajah bujur sirih iras-iras Nahoko, menghampiri dan menyuapkan aku sesuatu ke mulut ku. Oh Angah juga ada tidak jauh dari sini. Belum sempat lagi suapan yang aku agak ubat penahan muntah itu ku telan, wajah isteri ku tetiba muncul dan sepantas kilat pula hilang dari pandangan. Entah dia entahkan siapa. Kemudian angahpun hilang dari pandangan juga. Akhirnya semua keadaan menjadi gelap gelita... penulis mba MENEMUI ABAH, MAK DAN ANGAH - SIRI 64 Aku menziarahi Abah yang terbaring di katil hospital. Nampak Abah terbaring lemah. Di sisinya seorang wanita yang aku tidak kenali. Mungkin Abah dihinggapi migrain lagi. Bukan aku tidak tahu sifat workaholic Abah kalau sudah menghadap kerjanya. Makan dan minum boleh dilupa sewenang-wenangnya. Nah! Inilah bahananya, terlantar di hospital. Aku pegang tangan Abah. Aku genggam erat-erat. Hangat. Abah seperti tidak melayan kehadiran aku. Mengapa ya? "Abah, Along datang tengok abah ni", bisik aku ke telinganya Abah diam. Dia rancak berbual dengan wanita muda disebelahnya. Aku jengkel. Mengapa Abah seperti tidak memperdulikan aku. Akukan anaknya! Aku tinggalkan Abah dengan gelak tawa yang dibuat-buat oleh wanita muda itu. Meluat. Ketika menuju ke pintu aku bagai melihat kelibat Mak dan Angah menuju ke pintu keluar bangunan putih itu. Aku bergegas mengejar mereka. Panggilan aku tak bersahut. Aku tidak pasti sama ada Mak dan Angah baru sahaja menziarahi Abah. Ada segugus mendung di wajah Mak, seperti baru lepas menangis. Takkan Abah melukakan hati Mak lagi? Mak dan Angah tidak sempat aku jumpa. Mereka memecut laju meninggalkan perkarangan hospital. Hujan renyai-renyai yang turun sejak tadi semakin lebat. Aku berdiri basah. Mengapa mereka seperti tidak memperdulikan aku. Aku bukan berbisik, tetapi menjerit nyaring nama mereka. Angin bertiup kencang. Aku bagai melayah terbang. Aku ternampak Nahoko sedang ketawa riang bersama suami yang baru dikahwininya. Azlan Shah! Khabarnya, mereka berdua sedang berbulan madu di Malaysia. Aku cemburu. Mengapa aku tak ditakdirkan untuk bersamanya. Mengapa? Apa kurangnya aku? Aku menderita mengejar bayang-bayangnya. "Dia bukan jodoh untukmu. Mungkin kau anggap ia terbaik untuk dirimu. Sedangkan Allah lebih berhak mengetahui mana yang lebih baik untuk dirimu", terngiang-ngiang suara yang entah dari mana datangnya. Aku pekupkan telinga. Airmata tak terbendung. Kecewakah aku? "Along ni lemaula. Mana ada lelaki nangis?", Suara Angah menusuk gegendang telinga. Tidak adikku. Aku tidak menangis kalau sebegini tebal rasa sedihku. penulis bluehikari DI KALA DEGUP JANTUNGNYA DAPAT KURASA- SIRI 65 Karya ini nukilan Ibnu Ariff dan diedit oleh Sri Diah "ALONG!" Tiba-tiba sahaja terpacul nama itu dari mulutku. Gemanya bertebaran di seluruh bilik yang pengap itu. Aku terus terjaga dari lena, bangkit terpisat-pisat dan terus sahaja duduk menjuntai kaki di tubir katil. Kuurut dada yang berdebar kencang. Along... seperti sesuatu yang buruk telah terjadi pada Along. Kupejamkan kembali mataku. Bagai terngiang-ngiang dengup jantung Along di telingaku. Tapi kurasa ritmanya perlahan. Walau perlahan tapi sekata seperti mana pertama kali kudengar dengus nafas Along semasa dia terlantar di hospital beberapa tahun lalu. Ketika Along lena, sengaja kutekup telingaku ke dadanya. Tiba-tiba terasa ada cahaya menerjah masuk menerangi kegelapan bilik bujang Abah ini. Tok Ki rupanya, tentu sekali dia terdengar jeritanku tadi. Aku rasa bersalah pula membuatkan Tok Ki terjaga, tapi aku bukan sengaja. "Kenapa Achik?" "Tiada apa Tok Ki, mimpi biasa sahaja." "Mimpi biasa? Kenapa habis berpeluh muka ni?" soal Tok Ki sambil menyentuh mukaku, sentuhan yang amat menenangkan, sentuhan kasih sayang. Namun hatiku masih tidak tenang lagi, jantungku berdebar-debar. "Achik bimbang, sesuatu terjadi pada Along. Achik tak tahu Along pergi mana, dia tak pesan apa-apa pun." "Jangan bimbang, InsyaAllah tiada apa-apa terjadi pada Along. Tok Ki sentiasa doakan dia dan kita semua selamat, Achik pun kena begitu juga. Tidurlah, esok kan nak balik KL semula?" Aku sekadar mengangguk, mengiyakan. Tok Ki menutup kembali selimut ke tubuhku dan dia menuju semula ke biliknya. Kemudian sayup-sayup kudengar suaranya membaca Al-Quran. Aku cuba melelapkan mata tetapi sukar rasanya. Ku tak tahu Along di mana sekarang. Dalam beberapa jam ini kurasakan Along makin jauh dan jauh daripadaku. Selama aku duduk di kampung langsung tak teringat aku hendak bertanya khabarnya. Selalunya Along sendiri yang menelefon. Kemudian aku teringatkan mak, dia tentu tahu ke mana Along pergi. Tak pernah Along berpergian tanpa memberitahu Mak. Kudapat dengar lagi degupan jantung Along di benakku, masih perlahan, sekata. Sedangkan ketika itu jantungku berdebar-debar, bukan kerana akan memasuki sekolah menengah tetapi kerana Along. Along yang sungguh istimewa bagiku. Hatinya sendiri pun sedang tercalar, mana mungkin dia mahu mendengar masalahku yang remeh-temeh ini! Aku hampir terlelap apabila telefon antik Tok Ki tiba-tiba sahaja berdering. Kakiku bagai ditariktarik untuk menjawabnya, segera aku bergegas mengangkat gagang. Panggilan itu dari Mak, dan panggilan itu menjawab segala resah gelisahku tadi... penulis Ibnu Ariff OKINAWA MENGUSIK JIWA - SIRI 66 BEREHAT dalam suasana gelap, dingin dan sunyi begini selepas menelan pil penahan sakit adalah terapi biasa untuk menghilangkan sementara penyakit migrain ini. Pada ketika begini, seluruh ahli keluarga telah maklum yang aku tidak mahu diganggu sehinggalah aku pulih sepenuhnya. Ya pulih sepenuhnya sebelum serangan berikutnya datang semula. Sememangnya kini aku bersendirian walaupun mungkin tidak keseorangan. Wajah-wajah semalam sudah tiada lagi di sini. Eyes yang kusangka Nahoko itu sedang berbengkel barangkali. Isteriku dan Angah belum datang kerana belum masa melawat barangkali, harap-harapnya begitulah. Along masih tanpa khabar berita semenjak ke Okinawa menghadiri perkahwinan bekas koibitonya. Okinawa ...... sebuah pulau kecil yang indah di selatan Jepun. Along belajar di salah sebuah dari lima universiti di siti, iaitu universiti Ryukyu. Sengaja aku syorkan dia memilih untuk belajar di Jepun dan seterusnya di Okinawa. Bukan untuk menyahut program Pandang Ke Timur sahaja, malahan lebih dari itu. Sebenarnya suasana di Okinawa ini tidak jauh bezanya dengan Malaysia. Tidak banyak ciri-ciri Jepun di tanah besar yang boleh dipelajari di sini. Namun Okinawa tetap menjadi pilihanku untuk Along. Ketika ini aku terkenangkan bandar Naha, kota Koza, kem foster, perkampungan nelayan Ittoman dan tidak lupa bukit Urasoe di daerah Maeda di mana terletaknya Okinawa International Center (OIC). Lebih dua puluh tahun yang lalu, aku adalah peserta kursus bahasa Jepun di OIC. Kursus setahun di bawah biayaan monbusho ini adalah lebih berbentuk pertukaran pelajar sebenarnya. Kenangan sebagai pelajar antarabangsa sungguh indah. Maklumlah inilah peluang pertama terbang dan menginap sendirian di luar negara. Di sebuah negara yang terlalu asing serba serbinya. Nostalgia kembali kepada Higasan di shukudo yang begitu perihatin terhadap makanan halal kami. Staf Front-A dan Front-B yang terlalu mengambil berat tentang hal ehwal setiap peserta kursus dan Pakcik Tomo dari Ittoman yang tiap hujung minggu datang berkunjung dengan pelbagai masakan ikan gorengnya. Selama beberapa bulan aku berulang alik setiap hari dari OIC yang menjadi tempat penginapan ke universiti Ryukyu yang menjadi tempat belajar utama. Kemudian berpindah ke rumah keluarga angkat di Ishimine Shuri. Perpindahan ini adalah sebahagian dari proses pembelajaran untuk memantapkan lagi Nihongo yang kupelajari. Di sinilah bermula segala-galanya yang menjadi sejarah dalam hidupku. Sempat aku mengarang beberapa rangkap haiku mengenai Okinawa ini: KOMPILASI OKINAWA Okinawa ku Pulau kecil yang indah Cantik menawan Cuaca nyaman Libur di Naha, Koza Okinawa-ken Angin menderu Taufan yang menggerunkan Oh Okinawa Laut berombak Di kampung nelayan Pekan itoman Bazar penjual Tawaran paling murah Kokusai dori Jalan sendiri Satu pagi di Naha Tiada bimbang Kaktus gergasi Di taman Himeyuri Tiada lagi Bayu yang tenang Okinawa nan satu Seribu pulau Pulau yang kecil Okinawa yang damai Seribu rasa Gadis petani Ladang tebu tebentang Manis senyuman Okinawa ku Sedasawarsa waktu Masih begitu Rupa-rupanya nostalgia Okinawa ini akan menjadi kenyataan setelah aku tersedar rupa-rupanya di Treo600 ku terdapat pesanan SMS dari isteriku mengenai perkara tersebut. Aku jadi kaget, serba salah namun terpaksa juga menerima kenyataan demi Along demi semua. Aku terpaksa terus pulang ke Kuala Lumpur untuk ke Okinawa. Alhamdulillah, kesihatanpun nampaknya sudah pulih dan insyaallah dapat discharge petang nanti. penulis mba DIA ADA DI SAAT KUPERLUKANNYA - SIRI 67 DI SUBUH yang hening ini, aku bersendiri di sejadah. Dadaku berdebar tak sudah-sudah. Berita yang kuterima sebentar tadi membuatkan nafasku turun naik tidak menentu. Sebentar tadi di sisiku Angah, yang sama-sama menadah tangan memohon iradatNya agar Along selamat. Kemudian dia yang masih tersedu sedan kusuruh segera bersiap, berkemas pakaian kami. Mana tahu kalau-kalau ada wakil kedutaan atau wakil Wisma Putra yang akan tiba memberi laporan terkini tentang Along. Atau kami mungkin akan dibawa ke tempat tragedi... Oh Tuhan, di saat ini aku amat memerlukan kehadiran seorang suami di sisi. Di pagi nan hening ini, kuperlukan kekuatan daripada seorang lelaki, seorang lelaki yang selama berpuluh tahun berada di sisiku. Namun kini dalam peta hidup yang rencam, dia berada nun jauh di sisi seorang wanita lain... dalam degup nafas wanita muda yang langsung tak kukenali. Perjudian ini baru bermula... tapi ia bermula di saat aku sudah kelelahan diburu usia. Di ketika aku terlalu letih memburu setia. Kiriman smsku berjawab akhirnya. Dia terkejut. Dia tak sangka. Dia kata Along tak patut dirampas dengan cara tiba-tiba begitu daripada keluarga kami. Dia kata Along masih lagi diperlukan keluarga. Katanya lagi proses mencari Along yang hilang di perairan Taiwan apabila pesawat yang dinaikinya meletup pasti akan menemui Along dalam keadaan selamat. Tetapi itu hanyalah harapan. Takdir Tuhan siapa tahu? Tangisanku tak berhenti-henti sejak malam tadi. Mataku sudah perit, pedih dan bengkak. Katanya dia akan segera balik dalam penerbangan awal pagi dari Kuantan. Dia meminta supaya aku jangan ke mana-mana, tunggu sahaja panggilan daripada pihak-pihak yang berwajib sambil dia menelefon kawan-kawan lain sama ada di Malaysia atau di Jepun, memohon bantuan. Apa yang kubuat serba tak kena. Kutelefon saudara mara kami. Aku juga menelefon balai polis terdekat. Aku turut menelefon hospital terdekat. Aku juga menelefon rakan-rakan pejabat memberitahu bencana yang menimpa keluarga kami. Along, mak tetap sayangkan Along dan tak mahu kehilangan Along. Di saat ini mak ingin sangat memeluk tubuh Along walau bagaimana sekalipun keadaan Along. Sebentar lagi Acik dan Tok Ki akan sampai dari kampung. Dan sebentar lagi di rumah kita ini, akan berhimpun ramai saudara mara yang jauh dan dekat yang sama-sama mendoakan kesejahteraan Along. Ah... terasa lambatnya detik berlalu. Aku tak sabar menanti kepulangan dia. Aku tak sabar ingin menangis di dadanya, dalam pelukan seorang suami. Biarlah. Biarlah buat seketika ini kulupakan segala sengketa demi Along. Biar kubalut erat-erat segala dendam dan curiga demi kesejahteraan Along. Telefon yang berdering-dering di sudut ruang tamu kuangkat penuh curiga. Apakah ada berita terkini tentang Along? Apakah panggilan ini berupa panggilan duka dan membawa berita yang akan menghancurkan jiwaku? Sekali lagi jantung berdegup kencang membuatkan dadaku sakit. "Oh my GOD... are you okay my dear?" Kata suara itu, membawa semangat yang aneh ke dalam diriku. "I baru dapat tahu daripada Marlia. Sabarlah my dear, sekejap lagi I sampai!" Ya Tuhanku, dia selalu hadir di saat dia kuperlukan! penulis sri NAHOKO WAJAH NAHOKO Nantikan Along dengan Kisah seterusnya...... penulis bluehikari PERGERAKAN AKU DIINTIP -- SIRI 68 SETELAH dibenarkan keluar dari hospital, Wak Don, pemandu jabatan telah sedia menunggu untuk membawa ku ke lapanganterbang Kuantan. Menurut Wak, urusan check-out dari hotel telah diuruskan oleh Eyes dan beg yang dibawa dari rumah dibawa pulang semula tanpa berusik. Setelah mengucapkan terima kasih kepada Wak Don, aku minta beliau meninggalkan aku bersendirian di balai berlepas, kerana beliau masih banyak urusan yang perlu dibereskan sebelum pulang ke Kuala Lumpur Lapangan terbang Kuantan ini kecil sahaja dan kapalterbang paling besar boleh mendarat di sini hanyalah Boeing 737 sahaja. Jika hendak diukur, lapangan terbang Naha di Okinawa adalah lebih besar walaupun hanyalah sebuah pulau sahaja. Ia samalah seperti lapangan terbang Changi, yang tidak mempunyai penerbangan domestik. Memerhatikan gelagat pekerja dari seberang yang sedikit kurang santunnya terhadap pengunjung lapangan terbang, aku sedikit geram. Pertamanya mungkin rakyat Malaysia sudah kaya raya belaka hinggakan tidak ada lagi yang sanggup untuk bekerja di tempat begini. Kedua mungkin juga upah yang diberikan adalah terlalu murah yang tidak menarik minat pekerja tempatan. Hasilnya ialah kita dapati lapanganterbang kita tidak mesra pengguna, kurang bersih dan keselamatannya juga turut dipersoalkan, khususnya terhadap keselamatan bagasi. Jika dibandingkan dengan lapanganterbang Naha, sudah tentu ia bagaikan langit dengan bumi. Di sana para pekerjanya terlalu tekun melakukan tugas seolah-olah robot lagaknya yang sentiasa patuh kepada tugas tanpa sebarang rungutan dan bantahan. Mereka tidak akan duduk-duk lepak sambil bertukartukar gosip melainkan di waktu off duty. Sungguh terpesona aku dengan sikap pekerja Jepun yang begitu bersungguh bekerja tetapi tetap menghormati tetamu. Jika yang kerjanya membersihkan kawasan, bukan setakat menyapu dan mob secara melepas batuk di tangga sahaja, malahan dilakukan dengan begitu bersungguh-sungguh bagaikan membersih harta sendiri. Tiap-tiap kepingan lantai lapangan terbang dilap sesempurna mungkin hinggakan tidak ada satu segipun yang berdaki. Di manakah di dunia ini ada pekerja yang membersih dan mengelap daun-daun pokok hiasan sehelai demi sehelai jika bukan di Jepun?. Di Lapangan Terbang Naha, Okinawa Walau seindah mana pun budaya Jepun, apa yang berlaku kepada Along sebenarnya masih menjadi tandatanya. Entah apa yang telah terjadi kepadanya di saat ini hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sebenarnya sebelum berpergian dia telah menunjukkan beberapa kelakuan yang aneh. Beberapa keping gambar keluarga kami dicetak dan tidak kurang juga yang disync ke PDA. Agak aneh kerana Along tidak begitu biasanya. Satu lagi dia nampaknya terlalu cemburukan Angah. Ia seolah-olah ingin mengawal segala tingkah laku Angah. Semua panggilan kepada Angah mesti ditapis terlebih dahulu. Kedatangan pramugari dengan segelas oren kegemaranku benar-benar mengganggu hayalanku, namun ia membawa semula kepada realiti yang aku kini telah berada di angkasa dan penerbangan 45 minit ini akan mendarat di KLIA tidak berapa lama lagi. Perjalanan singkat ini aku rasakan terlalu lama bila terpandangkan Irwan berada di tempat duduk belakang. Kedatangan dia seolah-olah ingin mengintip segala gerak geri aku. Adakah dia diupah?. Siapa pula yang mengupahnya?. Penulis mba GEMPAR !!! Paparazi telah memaklumkan bahawa Mak dan Siti Nor Eyes kelihatan makan di sebuah restoran makanan laut di ibu kota. Kelihatannya mereka berdua begitu mesra sekali.... Mungkin kerana Along, mungkin kerana Abah, kedua-dua wanita berseteru ini akhirnya begitu intim sekali. Tunggukan pengakuan dari mereka...... [terima kasih paparazi ....] penulis mba PERTEMBUNGAN DUA ADAT - SIRI 69 Musim Luruh antara dua musim, selain Musim Bunga yang menjadi pilihan pasangan muda mudi Jepun melangsungkan perkahwinan. Entah mengapa Nahoko memilih Musim Luruh sebagai hari bersejarahnya. Luruh menjadi begitu nostalgik bagi seorang aku. Luruhan dedaunan maple menjadi saksi cinta aku dan Nahoko pernah termetri. Aku masih ingat, Shurijo Castle Park yang terletak tidak jauh dari Bandaraya Naha menjadi saksi cinta kami. Sangat manis. Apatahlagi jingga daun maple menjadi saksi pertemuan itu. Pernikahan Nahoko dan Azlan Shah dibuat di Masjid Yoyogi, Tokyo sehari sebelum majlis perkahwinan mereka dibuat mengikut adat Shinto. Aku tidak sanggup melihat tangan Azlan menggegar tangan Imam Besar yang berbangsa Arab itu, melafazkan akad. Tapi, aku kuatkan semangat memenuhi undangan ke majlis resepsi perkahwinan mereka di sebuah hotel di tengah-tengah kesibukan bandar kelahiran Nahoko, Fukushima. Ah! Kami berpisah secara baik. Malah masih bersahabat. Cuma aku sahaja yang perlu mengawal semua perasaan yang bertandang. Majlis perkahwinan mengikut adat Shinto dimulakan dengan perarakan masuk Nahoko dan Azlan ke dalam dewan bersama keluarga mereka. Nahoko sungguh ayu mengenakan shiromuku, kimono berwarna putih. Manakala Azlan pula segak dengan hakama hitam putih yang labuh. Kemudian, mereka berdua berhenti dan berdiri di belakang sebuah meja kecil di tengah-tengah dewan. Keluarga Nahoko dan Azlan pula berdiri setentang menghadap pengantin di kiri dan kanan dewan. Apa yang menarik, keluarga Azlan yang diwakili ayah dan ibunya segak berbaju melayu hitam lengkap dan kebaya merah dengan selendang putih. Ayah dan ibu Nahoko pula mengenakan suit dan kimono berwarna hitam. Pertembungan budaya dapat dilihat jelas. Alangkah indahnya jika Abah dan Mak yang berpakaian itu! Menunganku tergugah apabila pengacara majlis memulakan pengumuman upacara perkahwinan. Seorang tokoh adat Shinto yang berdiri di hadapan pengantin mengambil sehelai kertas yang berlipat seperti kipas dari dalam lengan hakama-nya yang sangat besar dan labuh. Beliau memakai seakan-akan songkok tinggi di kepala tetapi mempunyai tali yang dikat di bawah dagu. Kemudian, beliau membuka lipatan kertas itu sambil membaca mentera perkahwinan yang tercatat dalam kertas tersebut. Sebutannya nyaring dan berlagu. Aku tahan ketawa kerana melodinya sungguh asing dan bahasa Jepun yang digunakan adalah bahasa persuratan Jepun kuno. Sesekali dia melipat kertas tersebut dan menyimpannya semula di dalam lengan hakama-nya. Kemudian dia bertepuk tangan sebanyak tiga kali. Begitulah, ia diulang beberapa kali hinggalah pembacaannya selesai. Aku sempat berbisik kepada sahabatku Kenichi yang turut hadir tentang maksud mentera itu. Kenichi menjelaskan ianya seperti doa agar perkahwinan mereka kekal hingga ke akhir hayat. Kemudian, Nahoko dan Azlan membaca beberapa perenggan ayat dari sebuah kertas yang diterima daripada tokoh adat Shinto tersebut. Ia adalah pernyataan tentang kesetiaan dan janji mereka yang akan hidup sepanjang hayat bersama sebagai suami isteri. Aku lihat Nahoko menitiskan air mata setelah selesai membaca ayat-ayat tersebut. Majlis diteruskan dengan adat minum selamat. Kebiasaannya, mereka akan dihidangkan dengan 'sake' (arak Jepun yang manis). Tetapi, majlis tersebut telah menghidangkan teh sebagai ganti dan menghormati Islam sebagai agama yang dianuti oleh Azlan, Nahoko dan keluarga Azlan yang turut serta. Pembantu majlis seterusnya menuangkan air teh ke piring leper yang dipanggil 'cawan'. Acara ini dimulakan dengan Azlan. Dia memusingkan piring berisi teh sebanyak tiga kali sebelum meminumnya. Ini diikuti Nahoko dan keluarga kedua-dua belah pihak. Malah, aku terkejut kerana Ayah dan Ibu Azlan tidak kekok melakukan upacara itu. Aku agak mereka telah membuat latihan sebelum majlis dijalankan. Majlis perkahwinan adat itu diakhiri dengan upacara menyarungkan cincin. Aku lihat kegembiraan terbayang di wajah mereka. Aku jadi tidak tentu arah tatkala melihat Azlan menyarungkan cincin perkahwinan ke jari manis Nahoko. Cemburu aku meluap-luap. Alangkah manisnya jika aku menjadi Azlan ketika ini. Majlis perkahwinan besar-besaran itu diteruskan dengan majlis resepsi dan jamuan doa selamat di dewan bersebelahan. Nahoko dan Azlan berarak masuk dengan gaun putih dan tuxedo serba hitam. Majlis resepsi itu mengikut tradisi barat dipenuhi dengan majlis ucap selamat dan memotong kek perkahwinan. Sudah menjadi trend muda mudi Jepun untuk mengadakan majlis perkahwinan ala barat dalam perkahwinan mereka. Bagi aku ia tidak salah kalau tidak dimasukkan dengan unsur-unsur yang boleh menggugat Akidah Islam. Sehabis majlis aku segera bertemu Nahoko dan Azlan. Aku jabat tangan Azlan dan Nahoko. "Tahniah, Azlan, Nahoko!", ujarku menutup rasa cemburu. "Oh! Terima kasih! Kau bila lagi?", tanya Azlan. Soalan yang hampir menyentap jantungku. Azlan tidak tahu kisah tragis kami berdua. Dia tidak boleh dipersalahkan dengan soalannya itu. Aku lihat Nahoko tertunduk bungkam. Tidak menduga soalan itu lancar keluar dari mulut Azlan. Ah! Persetankan. Aku datang dengan niat ihlas memenuhi jemptan seorang sahabat. Untuk apa aku cemburu sedangkan Nahoko sudah sah dimiliki Azlan. penulis bluehikari SUAMIMU SUAMIMU JUA -- SIRI 70 SEBAGAI eksekutif ICT yang bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan teknikal kepada jabatan, aku mengenali semua staff di sini. Namun aku agak kurang bergaul dan tidak berminat untuk mengenali mereka lebih dari tugas rasmi di pejabat. Dalam usia 30-an ini aku lebih suka untuk memberikan tumpuan kepada komputer dan kerjaya yang nampaknya lebih memerlu dan memahamiku berbanding penggunanya. Gadis seusia aku ini sudah tentu mendapat pelbagai gelaran di pejabat, seperti andartu atau andalusia dan macam-macam lagi. Biarlah mereka terjun dengan labu-labunya dan bagi aku jika ada jodoh berkahwinlah aku, jika tidak ada redhalah aku. Biarlah labu yang terjun ke sungai, masakan sungai mencari labu. Pertama kali aku bercakap dengan dia semasa dalam kenderaan pejabat yang dipandu oleh WakDon untuk perjalanan ke Putrajaya. Ketua Pengarah memberikan taklimat kjepada PM. Aku ditugaskan untuk menguruskan pemasangan projektor dan mempastikan aspek teknikal persembahan berjalan lancar sementara dia mengiringi KP. Semasa itu sahajalah kami berbualbual, macam-macam topik yang dicakapkannya dan aku menjadi pendengar setia. Aku rasa dia cuba untuk mententeram dan menghilangkan rasa gelabah aku yang pertama kali diberi peluang untuk menguruskan sendiri perkara ini. Biasanya si Budin juruteknik kami yang melakukannya sekiranya ada persembahan yang begini, namun kerana beliau ada kecemasan makan aku pulalah yang menjadi kian cemas. Bos berusia lima puluh tahun ini bagi pandangan mataku adalah lebih muda dari usianya. Badannya dan raut wajahnya kelihatan macam awal empat puluhan. Mungkin kerana sejemput janggut dan rambut yang sudah mula memutih yang boleh menambahkan sedikit usianya. Untung rasanya jika dia menjadi bos aku, walaupun tidaklah hensem mana namun tinggi ilmunya dan baik hatinya. Sebelum perkenalan itu, aku sangka beliau ialah seorang bos yang garang dan pendiam, namun segala-galanya meleset pada pertemuan pertama tersebut. Peristiwa yang berlaku di Kuantan benar-benar telah mengubah segala perspeksi aku terhadap dia. Apabila mendapat tahu dia pitam di bilik air hotel, dengan segera aku minta WakDon membawanya ke hospital Tengku Ampuan Afzan. Diikuti dengan menelefon Angah, anaknya yang kukenali semasa di hotel hinggalah kepada peristiwa di mana isterinya datang melawat dan secara tergesa-gesa sahaja meninggalkannya begitu sahaja di hospital. Memang aku menyuapkan sepotong kuih kepadanya di wad hospital tersebut, hanya sekadar untuk mengalas perutnya yang kosong semenjak pagi. Bukan berniat untuk menyuap simpati atau kasih sayang, jauh sekali untuk ubat guna-guna. Namun peristiwa isterinya dan Angah meninggalkan katil hospital dengan cara sedemikian sudah tentulah melukakan hatiku. Semenjak peristiwa tersebut, aku tidak lagi dapat menumpukan perhatian terhadap worksyop yang dihadiri. Tidak lagi dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja. Suatu perasaan aneh sudah mulai berbunga. Entah di mana silapnya, entah apa sebenarnya masih tidak kufahami. Perasaan simpati, kasihan dan entah apa-apa perasaan datang silih berganti. Adakah ini yang dinamakan cinta?. Sesungguhnya aku tidak pasti, moga-moga aku tidak akan mabuk dalam perasaan begini, moga-moga aku akan segerta sembuh dari penyakit ini. Aku bertekad untuk menemui isterinya apabila tiba masanya nanti. penulis puteri DITELAN MATI EMAK DILUAH MATI ANAK - SIRI 71 SEBAIK sahaja handphone dibuka setelah menjejakkan kali di KLIA, satu pesanan suara dari mak telah menunggu. "esok ialah hari perbicaraan Roslan, mak tidak ada sapa-sapa nak bergantung, harap balik". Ringkas dan padat pesanan dari mak, macam telegram sahaja layaknya. Along dalam kecemasan entah bagaimana nasibnya. Emak pula tiada sesiapa nak menemaninya ke mahkamah untuk perbicaraan adikku Roslan. Lebih-lebih lagi jika kena denda beribu-ribu ringgit, siapa yang nak bayar denda?. Sebusuk-busuk daging dicecah-cecah dimasak, dimakan juga. Masakan ingin membiarkan adik sendiri merengkok dalam penjara. Ah anak sendiri yang sedang menyabung nyawa bagaimana pula?. Inilah yang dikatakan ditelan mati emak, diluah mati anak, dikemam sendiri yang mati. Aku nekad untuk pulang semula ke kampung menemui emak. Aku akan memandu sendiri bagi perjalanan sembilan jam ini untuk ke kampung. "Kalau abang nak balik, abang baliklah seorang, saya tak mahu ikut. Jika abang dah ada buah hati di kampung tu, pergilah, jumpalah intan payung abang tu, anak sendiri biarlah nasibnya. Untung sabut timbul, untung bantu tenggelam". bentak isteri ku. "Sayang.... abang terpaksa balik, emak dah tak larat nak pergi ke mahkamah sorang-sorang, nanti dia jatuh pitam pulak. Kalau sayang tak mahu ikut tak apa, jangan marahmarah begini. Yang dulu kita dulukanlah. Nasib Along belum tentu lagi, apa-apapun tunggulah sebarang perkhabaran dari Wisma Putra. Abang akan pulang walaupun terpaksa memandu sendiri". "Abang..... taraf dan usia abang tu bukan lagi sesuai memandu jauh-jauh, kapalterbang kan ada. Janganlah kedekut sangat, naik flight saja....". "Memandu lebih selesa, nanti senang untuk ke sana-sini. Abang terpaksa ke mahkamah, balai polis dan mungkin Jabatan Kimia juga". Dalam perjalanan ke kampung aku singgah ke Rantau Petronas berjumpa kawan lama, Nik Rahimah yang sudah tujuh tahun bertugas di situ. Sudah acap kali dia mengajak ke tempatnya, namun tiada kesempatan kerana biasanya kami pulang sekeluarga dan mengambil jalan pintas Jerangau-Jabor. Tidak susah mencari tempat yang dijanjikan walaupun pertama kali sampai di tempat itu. Dari pejabatnya kami ke sebuah restoran di tepi jalan. Nik menjamuku dengan pelbagai soalan, berita, gosip dan entah apa-apa lagi. Hinggakan menu utama satar yang dihidang, makanan santai kegemaran di daerah Kemaman ini tidak ku sentuh. Dari kisah semasa kami sama-sama di KL hinggalah kepada cerita anak-anak dan suaminya yang sibuk 24 jam. Aku menghantar Nik pulang pejabat setelah waktu pejabat hampir ke penghujungnya. Kemudian aku bergegas pulang menuju destinasi. Sedang berkira-kira untuk melalui jalan pantai atau kembali ke jalan Jerangau-Jabor, aku terus sahaja membelok ke kiri setelah membaca papan tanda Bandar Seri Bandi. Jika ikut jalan pantai sudah tentu terpaksa menambah dua jam lagi kepada tempoh perjalanan untuk tiba ke rumah. Lagipun dah berpuluh tahun tidak memandu menyusuri jalan pantai ini. Disangkakan dari Bandar Seri Bandi itu akan lebih cepat tibanya. Namun apabila sudah jauh ke pendalaman dan bertemu persimpangan Ijok dan Kuala Kubu aku dah naik buntu, ke mana arah hendak dituju. Pada masa inilah teringatkan Doc. Azmi dengan kelengkapan GPS pada Palmnya. Jangankan GPS, peta kertaspun aku tidak bawa, kompaspun tidak pernah ada. Oh aku sudah tersesat di tengah-tengah belantara KETENGAH ini rupanya ...... Tiba di rumah emak, hari sudah remang senja. Emak memberitahu yang dia tidak boleh ke mahkamah esok kerana ingin ke balai raya untuk menerima Wang Ehsan. "Kalau tak pergi esok, memang tak dapat dah, walaupun RM300 saja itu pitih jugak, kerajaan nak bagi". Aku terkedu bila mak cakap begitu, selalunya aku agak culas juga untuk menyumbang kepada mak, yang mengharapkan pencen terbitan dari arwah ayah saja selama ini. Akhirnya aku terlelap dalam keletihan sembilan jam memandu bersendirian. Dalam tidurku Along melambai-lambai mesra, entah dari mana. "Lan bicara pukul berapa?". "lapan setengah" "pukul berapa nak bertolak?" "lapan suku sempat lagi" Alamak budak ni, perjalanan 30Km dalam masa 15 minit sahaja? Bentak hatiku. Ah tak mengapalah, bukan aku yang nak dibicarakan. "Apa Lan nak cakap pada tuan hakim nanti?" "Nak cakap apa, nak mengaku salah sajalah" "Kata barang tu bukan Lan punya, tapi taukeh punya, mengapa nak mengaku pulak?". "Ah kalau tak mengakupun, polis tak percaya, tak ada siapapun percaya. Lebih baik mengaku saja, kalau kena denda, taukeh bayarkan" "Abis tu kalau kena penjara macamana?, ataupun kena buang daerah?" "Kesalahan kali pertama kena denda saja, kalau buat lagi baru buang daerah" "Oh pandainya baca undang-undang sekarang ya?. Siapa taukeh tu sebenarnya?. Boleh abang jumpa dia?". "Taukeh tu orang besar, tinggal di KL. Kaki dia ramai di sini. Polis pun semua kenal dia" "Maksud Lan polispun terlibat sama?" "Tak tahulah, kalau silap-silap cakap kan, kena tangkap pulak. Serik dah masuk lokap ni. Lebih baik ikut saja apa dia orang suruh. Lagipun taukeh tu kenal abang, dia juga kenal kakak dan anak-anak abang semuanya. Kalau abang nak kenal, yang bawa kereta BMW hitamtu nanti itulah dia, abang mesti kenal". Tepat jam 8:30 pagi kami sampai di perkarangan mahkamah. Entah bagaimana aku memecut kereta selaju itu akupun tak tahu. Roslan tersengih. Agaknya baru dia tahu yang aku juga cekap memandu laju. Sementara menunggu kehadiran tuan hakim, mataku melilau mencari wajahwajah yang mungkin kukenali. Di celah-celah peguam, pegawai mahkamah, penguakuasa JPJ, anggota polis, warder penjara, orang kena tuduh, saksi-saksi dan pelbagai jenis manusia di persekitaran mahkamah ini tidak seorangpun kukenali. Walhal ini ialah daerah kelahiranku setengah abad yang lalu. Roslan dijatuhkan hukuman denda RM300 atau enam hari penjara kerana menjual dan memiliki bahan letupan dipercayai bunga api dan mercun. Lega rasa di hati. Namun bagi kesalahan kedua, perbicaraan ditangguhkan kerana pihak pendakwa masih belum menerima laporan dari jabatan Kimia. Setelah membayar denda, aku berkira-kira untuk ke jabatan Kimia menemui Hj. Zawawi yang bertugas di situ semenjak dua puluh tahun yang lalu. Dia adalah rakan karibku semasa di universiti dulu. Mudah-mudahan aku boleh mendapat sedikit klu daripadanya, seorang chemist. Setelah berkira-kira untuk meninggalkan kawasan mahkamah, aku dapati sebuah BMW hitam dan bersandar seseorang yang amat kukenali. Aku menunjuknya dengan bibir mulut dan Roslan mengangguk. Cis celaka engkau Irwan. Isteri aku engkau goda, adik aku engkau racuni dengan ubat batuk dan daun ketung. Entah-entah anak aku juga kau apa-apakan. Memang celaka engkau..... ya aku memang berdendam, memang ada dendam. Aku mendendamimu Irwan ..... penulis mba ANAKKU MALANG, SUAMIKU HILANG...! - SIRI 72 SUDAH lima kali aku menelefon tetapi kelima-lima panggilan gagal menghubungkan aku dengan suami. Kukirim sms, pun tidak ada jawapan. Talian putus terus. Tiada langsung signal yang membolehkan aku menghubungi dia. Di hutan banat mana dia sekarang? Mengikut rancangan yang sama-sama dipersetujui malam tadi, setelah selesai kes mahkamah tentang Roslan semalam, pagi ini dari Kuala Terengganu dia jangan balik ke rumah. Tetapi dia mestilah teruskan perjalanan ke KLIA kerana aku menantinya di sini. Dari KLIA ini aku sudah uruskan dua orang saudara kami untuk membawa balik kereta-kereta kami. Aku sudahpun mendaftarkan bagasi. Dua beg pakaian kami sudahpun masuk ke kargo. Di dalam dua beg pakaian itu, semua keperluan selama di Jepun sudah kusediakan. Beberapa persalinan pakaiannya juga sudah kusediakan. Di dalam genggamanku kini pasportnya dan pasport aku serta dua tiket penerbangan. Paling tidak kulupa ubat-ubatannya, semuanya sudah dimasukkan dalam satu beg jinjit yang khas. Migraine? Aku harap dia tidak migraine dalam situasi kalut begini. Dia hanya perlu membawa dirinya sahaja. Penerbangan malam nanti menggunakan Japan Airlines akan membawa kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa NAHA. Dari situ kami akan mendapat tahu status Along. Oh... mengenang Along, aku tiba-tiba menangis hiba. Macamana keadaan Along sekarang? Setakat ini tiada langsung perkembangan terkini dari Wisma Putera. Hilang di laut? Hidup? Atau Along sudah tiada? Tak tahu! Kami hanya diarah ke Jepun, semua perbelanjaan seperti tiket, tempat tinggal, urusan makan minum, ditanggung oleh pihak kedutaan. Sepuluh minit tadi kuhubungi mak mentua di kampung dan dia memberitahu suamiku sudah bertolak sejak lepas subuh. Maknanya sudah lebih 10 jam perjalanan, seharusnya dia sudahpun sampai di KLIA ini. Dia sudah semestinya berada di sisiku untuk urusan check-in. Tak mungkin Treo 600 nya tidak berfungsi. Alat komunikasi canggih itu baru saja dibeli. Atau tertinggal di kampung dan kehabisan bateri? Tak mungkin... alat itu sentiasa dikeleknya hingga sengetsenget belikat! Manusia mundar mandir membinggitkan. Aku rimas dan sungguh tak selesa dengan kesibukan KLIA. Di tempat solat tadi pun penuh dengan manusia, macam-macam perangai. Bosan, sakit hati, ralat dan keliru membuatkan aku stres. Tiba-tiba bahuku disentuh. "Assalamualaikum kak... saya Siti Nor Eyes," kata satu suara. Aku menoleh sepontan. Ya! Dialah perempuan yang menyuap suamiku makan ketika di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Dialah perempuan yang menyudukan suamiku minuman. Kenapa dia berada di KLIA ini sekarang? Ke mana suamiku? Perempuan itu menghulurkan tangan. Aku tak sanggup. Aku tak mahu menyentuh tangan itu. Tangan itulah yang sedang bercadang menarik suamiku dari sisiku. Tangan itulah yang nanti akan merangkul suamiku ke dalam pelukannya! Tangan itulah...! Cik Siti Nor Eyes diam. Matanya kutatap dalam-dalam. Dendamku kesumat dalam dada. Dan tatkala pengumuman meminta penumpang ke Jepun masuk ke bilik berlepas diumumkan, kutinggalkan perempuan itu terpinga-pinga! penulis sri KALAU DAH JODOH, TAK KE MANA ...... SIRI 73 SELEPAS meninggalkan perkarangan mahkamah, aku menghantar Roslan pulang sebab mungkin masih sempat lagi baginya untuk ke balai raya bagi menuntut wang ehsan. Kurangkurangnya RM300 yang dah terbang tadi dapat kembali. Kemudian aku memecut ke Jabatan Kimia di Jalan Cerun Lanjut untuk menemui Hj. Zawawi. Hasrat utama ialah untuk mengembalikan pita video yang dipinjam dari Tuan Mail semasa di Tokyo setahun yang lalu. Sesudah lebih dua puluh tahun tidak bersua, pertemuan kami agak hambar sahaja. Ah orang lelaki, biasalah... kalau bertanyapun "kau berapa sekarang?". Jangan tersalah tafsir, bukan bilangan anak, tetapi bilangan isteri yang dikira. Wah.... tercabar aku kalau macam ni! Hj. Zawawi memulakan syarahannya "Ubat batuk ni, berat juga kesnya. Ini Kodein saja, tapi lebih ringanlah dari Heroin. Ada kes kat Kota Bharu dulu, mahkamah hukum penjara, tak boleh bayar denda kes Kodein ni" "Alamak penjara ... berat tu, tak boleh tolong ke?" ujarku. Setelah lama membatu, kesimpulan yang aku ambil ialah, biarlah terjadi apa yang akan terjadi dan usahlah masuk campur dalam urusan kerajaan. Aku juga kakitangan kerajaan sepertinya, bukan orang politik, bukan orang besar yang boleh mempengaruhi segala keputusan. Pagi-pagi lagi sesudah mencium tangan emak, aku terus meninggalkan rumah untuk pulang ke KL. Malam ini aku dan isteri telah dijadualkan untuk ke Okinawa atas biaya Wisma Putra untuk "menemui" Along. Singgah di Kuantan untuk bertemu sekali lagi dengan Firdaus, iatu kawan rapat Angah. Kami minum-minum di Alif Cafe di Kuantan. Bincang serba sedikit pasal masa depan dia orang, tunjukkan Treo 600 dengan kamera, MP3 dan videonya hinggakan bateri hampir kering dibuatnya. Tiba di rumah hari dah petang dan Angah memaklumkan yang emaknya sudah ke KLIA untuk ke Okinawa. "Barang-barang abah, paspot, tiket semuanya ada dengan mak". Tanpa berlengah lagi, aku terus mengambil teksi untuk ke KL Sentral untuk menaiki ERL ke KLIA. Moga-moga semuanya selamat, sempat dan jika dah jodoh akan bertemu jua... penulis mba HOKKAIDO DALAM INGATAN - SIRI 74 Aku lihat ada bahagia terlukis di wajah seorang wanita dan anak kecilnya yang iras aku di situ. Gelak tawa ketika menuruni bukit salji dengan alat luncur cukup mengasyikkan. Di bawah bukit seorang lelaki yang kukira Abah menunggu luncuran mereka berdua. Aku tahu itu Abah kerana wajah ketika zaman mudanya tidak jauh beza dengan sekarang meskipun umurnya sudah menginjak lima puluhan. Luncuran tak terkawal itu merempuh Abah hingga mereka tergolek jatuh. Mereka saling mentertawakan diri masing-masing. Wajah mereka dilitupi salji yang memutih. Ketawa mereka bertiga memecah hening Pusat Ski yang dipenuhi manusia yang leka bermain ski dan snow board. Aku tidak pasti siapakah orang-orang yang muncul dalam lenaku. Lena yang aku rasa sangat panjang. Dalam. Berulang-ulang hingga rimas dibuatnya. Siapakah wanita itu, yang mesra disamping Abah dan seorang anak kecil yang iras diriku? Aku tidak pasti sama ada anak kecil itu aku. Kalaupun anak kecil itu aku, mengapa wanita itu bukan Mak seperti yang aku harapkan? Aku sendiri bingung memikirkan di mana peristiwa itu berlaku. Seingat aku ia seakan-akan Pusat Ski Kiroro Snow World >yang terletak kira-kira 23 kilometer dari Bandar Otaru. Aku masih ingat kenangan bermain snow board dengan Nahoko dan Kenichi ketika kami menghabiskan cuti Musim Sejuk semasa aku berada dalam tahun dua pengajian di Okinawa. Tiada istilah main snow board di Okinawa. Okinawa panas dan lembap sepanjang tahun. Okinawa tidak jauh bezanya dengan Malaysia. Bunga raya yang menjadi bunga kebangsaan Malaysia sudah sinonim dengan Okinawa. Kami menaiki Nissan Skyline kepunyaan Nahoko ke Pelabuhan Niigata yang terletak menghadap ke Laut Jepun. Dari situ kami menaiki feri dengan membawa sama kenderaan ke dalam feri selama 18 jam ke Pelabuhan Otaru, Hokkaido. Kemudahan pengangkutan feri yang boleh membawa sama kenderaan sendiri amat memudahkan. Aku teringat zaman-zaman Jambatan Pulau Pinang masih belum terbina. Feri menjadi nadi utama pengangkutan yang menghubungkan Tanah Besar Semenanjung ke Pulau Mutiara itu. Meski tiada jambatan penghubung, kegiatan ekonomi masyarakat Pulau Pinang tetap rancak. Dari Otaru kami memandu terus ke Pusat Ski Kiroro Snow World yang terletak kira-kira 30 minit dari Bandar Otaru. Pusat Ski Kiroro Snow World memang terkenal dan menjadi tumpuan warganya setiap kali musim dingin menjelang. penulis bluehikari AKU YANG KELIRU ATAU TERTIPU ? SIRI 75 AKU belum pernah ke Jepun. Bumi Sakura itu terlalu asing bagiku. Bagaimanapun melalui pembacaan aku tahu serba sedikit tentang negara matahari terbit itu terutama tentang sikap golongan lelakinya yang rajin bekerja dan suka minum sake. Aku juga tahu serba sedikit tentang budaya masyarakat di sana yang masih lagi utuh terpelihara. Bagaimanapun aku tahu banyak tentang nabe (mi), tempura, tepanyaki, sup belut dan pelbagai jenis makanannya yang senang diperolehi di restoran-restoran Jepun di Kuala Lumpur. Restoran paling popular dan kerap kukunjungi ialah Restoran Kampachi di Hotel Equatorial. Tapi detailnya pengetahuanku tentang makanan Jepun tak sama dengan ceteknya pengetahuanku tentang Gunung Fujiyama, Tokyo, Niigata dan lain-lain bandarnya. Penerbangan yang bakal kutempuhi nanti akan membawa aku yang tak tahu apa-apa tentang Lapangan terbang Naha dan bandar di hujung kepulauan itu. Sememangnya di saat ini kuharapkan pengalaman suamiku kerana dia lebih mahir tentang bandar kecil itu kerana sudah beberapa kali dia ke sana. Namun kini kelibatnya pun aku tak nampak. Di balai berlepas itu aku masih lagi menggenggam dua boarding pass. Aku memang nekad, kalau suamiku tidak muncul juga aku tetap akan melangkah masuk ke perut kapalterbang dan bergabung dengan penumpang lain untuk ke negara Sakura itu. Aku akui memang aku rapat dengan Along. Sekarang, bila keadaan keselamatan Along masih lagi samar-samar, aku jadi lebih tidak menentu. Sekarang, perlahan-lahan kucuba campakkan egoku terhadap Along. Rasa prejudisku terhadap wanita Jepun yang menjadi pilihan Along dulupun cuba kuhapuskan. Tetapi tak boleh. Aku tetap tak suka dengan wanita Jepun. Aku tahu puncanya mengapa. Malah suamiku lebih tahu mengapa aku tak restui Along bercinta dengan wanita dari keturunan bermata sepet itu. Tiba-tiba terdengar namaku dipanggil. Kutoleh ke kanan. Ya, suamiku sedang berlari-lari anak ke arahku. Dia kelihatan amat kalut. Rambut dan pakaiannya tidak terurus, membuatkan dia kelihatan lebih tua daripada usianya yang sebenar. "Sorry, abang lewat. Tersilap info. Lagipun banyak perkara datang tanpa dirancang," katanya. Aku diam, memerhati gelagatnya. Dia serba salah. Dia gelisah tidak menentu apabila pandangan mataku masih lagi tajam menikam kelibat wanita di sebelahnya. "Sayang... janganlah pandang macam tu," katanya lagi. "Yang memandang ni ialah mata saya. Hak saya. Apa pula hak wanita di sebelah abang? Teman wanita siapa? Dia pun nak ke Naha jugakah?" Soalku bertalu-talu. "Dia... dia... Cik Siti Nor Eyes." Kutekup telingaku. Aku tak mahu mendengar nama itu. Kututup mataku rapat-rapat. Aku tak mahu melihat wajahnya! penulis sri DARI HEATHROW KE KLIA MEMBURU RINDU --- SIRI 76 Termanggu-manggu aku sendirian di bilik hotel tingkat lapan belas ini. Terasa bosan. Sekali lagi aku cuba mendail nombor telefon yang dibekalkan itu. Aku tidak mahu mengalah. Aku pasti dia juga pasti menunggu kehadiranku. Dia pasti tidak sabar untuk bertemu, dan meleraikan segala permasalahan yang melanda semenjak sekian waktu. Nada dering talian disambungkan bergema di cuping teling. Lama tak berjawab. Akhirnya nada itu berbunyi panjang tanda tiada sambutan di sebelah sana. Aku melepaskan keluhan. Ke mana dia pergi? Sayang sekali dia tidak meninggalkan nombor telefon bimbitnya, atau akukah yang culas, tidak ingat untuk meminta darinya? Terasa sedikit kesal menyelubungi diri. Aku tidak mahu mengalah, aku nekad akan terus mencarinya hingga ketemu. Kalau tidak, sia-sia segala usaha yang aku lakukan ini. Jalan terakhir yang aku ada ialah dengan pergi ke rumah atau pejabatnya. Ya, aku ada alamat tempat kediamannya. Tetapi aku rasa tidak manis untuk menyerbu begitu. Biarlah dahulu, sabarlah hati. Aku akan berusaha lagi menghubunginya nanti. Andai tidak ada perkembangan yang baik, barulah aku menjejaknya hingga ke sana. Penat dalam 12 jam penerbangan dari Heathrow ke KLIA bertambah parah bila hajat di hati tidak kesampaian. Entah mengapa aku memilih Heathrow yang mengambil masa 5 jam perjalanan dengan National Express berbanding dengan lapangan terbang Manchester yang Cuma sejam lebih sedikit sahaja jaraknya dari kota Leeds. Sudahlah begitu, sepatutnya aku menggunakan perkhidmatan perkhidmatan UK Railway Network sahaja dari stesen Leeds ke Heathrow yang lebih selesa. Oh pelbagai kesilapan dalam pemilihanku rupanya. Mungkin kedatangan aku ke Malaysia ini juga suatu kesilapan. Papa memang semenjak dari dulu tidak begitu setuju dengan hasrat ini. Aku cukup hairan dengan sikap papa yang langsung tidak mahu menjejakkan kakinya ke negara tempat dia membesar dan menghabiskan zaman kanak-kanak dan remajanya. Tentu ada sesuatu yang ingin disembunyikannya dari pengetahuan aku. Memandangkan ini bukanlah perjalanan pertamaku ke Malaysia, maka aku tidak begitu risau untuk datang bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Sejak ketibaanku dua hari yang lepas, dan sejak aku menjejakkan kakiku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 9.50pagi hari Selasa yang lalu aku sudah cuba menghubunginya. Panggilan pertama tidak bersambut. Mungkin dia dan semua isi rumahnya keluar menjalankan aktiviti harian. Aku membuat pilihan untuk mencari tempat penginapan. Aku pilih hotel CitiTel yang terletak dibangunan kompleks membeli belah MidValley. Senang untuk aku bergerak mencari makan dan minum sendirian disitu. Mudah. Semuanya ada bawah satu bumbung. Sekiranya dalam sehari dua ini aku masih gagal menemuinya, akan kuusahakan sendiri ke Bukit Aman dan seterusnya ke Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya untuk mengetahui status permohonanku yang telah tersadai sekian lama. Kenapa dia tidak dapat aku hubungi di saat-saat keberangkatan ku ke sini? Kemana dia menghilang, begitu lama tanpa ada khabar dan berita. Penat aku jejakinya namun tidak berhasil. Dalam rasa kecewa yang menyelubungi malam, aku akhirnya terlena. * oleh Souraya dan diedit oleh mba penulis mba SUAMIMU KEKASIH ORANG --- SIRI 77 Berbekalkan maklumat dari SMS dari seseorang yang amat kukenali "PLS SBT SOURAYA D KLIA MH003, I HV 2 GO OKI ALONG URGENCY" aku bergegas ke KLIA. Aku memang mengetahui yang Souraya akan ke KL menemuinya kerana ada urusan penting di KDN. Jadi serba sedikit fahamlah aku apa maksud SMS tersebut. Nama Souraya Sim tidaklah begitu asing buatku kerana dia pernah menceritakan kepada aku dan Wak Don. Niat ke KLIA memang ikhlas untuk membantu seorang rakan yang dalam kesempitan. Namun MH003 agak mengelirukan, memang penerbangan itu ialah hari ini dan mengikut laman web MAS, ia sepatutnya telah tiba pada awal pagi tadi. Mungkinkah penerbangan terlewat atau sebenarnya pada pagi besok. Ah pedulikanlah, sekurang-kurangnya dapat aku menemui mereka sekeluarga sebelum mereka ke Jepun nanti. Melihatkan isterinya yang mundar mandir bersendirian, aku terus mendapatkannya dan menghulurkan salam. "Assalamualaikum kak... saya Siti Nor Eyes," kataku tanpa ragu. Dia menoleh sepontan. Salamku tidak dijawab, tanganku tidak disambut. Bola matanya bagaikan ingin menelan diriku dan terus meninggalkan aku dalam seribu kekeliruan. Adakah dia memang perempuan yang sombong? Atau adakah aku yang berdosa?. Malang rasanya dia beristerikan wanita yang begitu sombong dan tidak ingin tahu menghormati orang lain. Dengar ceritanya, beliau memang seorang wanita besi yang begitu gigih dan digeruni di pejabat. Semua staf menikus bila berdepan dengannya. Agaknya perangai ini dibawa ke mana-mana sahaja, di rumah, di kampung dan di KLIA ini juga?. Aku doakan moga-moga dia berubah apabila tiba di Jepun nanti. Aku ditinggalkan dengan seribu persoalan dan perasangka sehinggalah aku dikejutkan dengan salam seseorang yang amat kukenali. "eyes, ada nampak isteri saya?. Saya dah terlewat ni, tiket dan semuanya ada ditangannya". "Oh Encik ... cik puan menuju ke balai berlepas bersendirian, ayuhlah kita ke sana". Dalam kekabutan di luar balai berlepas ini, kami berjumpa lagi dan penuh romantik dia menegur isterinya. Cemburunya aku tatkala itu. Bilakah agaknya giliranku pula? "Sorry, abang lewat. Tersilap info. Lagipun banyak perkara datang tanpa dirancang," "Sayang... janganlah pandang macam tu," Dan dialog-dialog seterusnya sungguh menyakitkan hatiku. Sebelum bom ini meledak lebih baiklah aku mengundur diri. Ya aku perlu mengundur diri setapak ke belakang untuk maju dua tapak ke depan. Hari ini ambillah dia, kau menang dan selagi wisel penamat belum berbunyi akan kurebut kemenangi ini walau dengan apapun yang perlu ku bayar. penulis puteri DIA TIDAK BERTEPUK SEBELAH TANGAN - SIRI 78 TIADA apa yang menarik di luar sana. Kepulan awan memutih, bergumpal-gumpal. Hanya sesekali jarum cahaya mentari memecah kepulan awan. Sesekali ia datang dan kemudian ia hilang dan datang lagi. Kepulan komulus pula tanpa jemu-jemu berlumba-lumba menampar pandangan. Situasi itu amat membosankan. Perlahan-lahan kututup cermin kecil di sebelah kananku itu. Aku menoleh ke sisi, ternyata suamiku sedang tidur setelah sebentar tadi kami puas berbicara soal hati dan perasaan. Aku yang tak lena... Fikiranku tidak tenteram. Aku cemburu dengan dengkurannya, aku cemburu dengan ketenangan yang dimilikinya kala itu. Aku berperang dengan ketidaktenteraman jiwaku. "Sayang jangan pesimis okey... tolong sematkan dalam fikiran yang abang bukan segila yang sayang sangka. Abang masih waras. Abang sayang pada keluarga kita. Abang sayangkan anakanak," katanya bersungguh-sungguh. Aku sukar hendak percaya dengan apa yang kudengar itu. "Tapi itu hanya di bibir. Apa yang saya lihat. Apa yang saya dengar, tak sama dengan apa yang abang cakapkan itu. Abang jangan berselindung. Berpuluh tahun berkahwin, sekilas sahaja abang berubah saya dapat rasa," kataku, jujur. Matanya kurenung dalam, mentafsir peribadinya. Mentafsir erti cinta dalam dadanya. Ternyata dia tak berani bertentang mata, sekejapan sahaja dia terus melarikan anak matanya ke arah penumpang di sebelah kami. "Siang di tempat kerja, abang bukan hak saya lagi. Dan apabila di rumah abang sepatutnya menjadi hak kami anak beranak.... tapi sebaliknya tidak. Abang tak dapat kami miliki. Abang sibuk dengan kepuasan abang di hadapan pc... perempuan cantik itukah yang lebih penting daripada kami?" Dia diam. Perlahan-lahan nafas ditarik dan dilepaskan. "Tapi sekurangnya abang ada depan mata anak-anak... abang tak keluar hingga balik jauh malam." "Ya, abang ada depan mata kami. Tapi hati abang bukan milik kami. Hati itu abang hantar jauh ke dunia lain, dengan orang lain, bersama insan yang hanya abang saja yang tahu..." "Sayang cemburu?" "Yes. Saya cemburu!" "Sayang curiga?" "Yes. Malah lebih daripada itu, Mungkin juga sakit hati... ralat, terkilan dan tak tahu apa lagi istilah yang serupa..." "Sayang jangan cakap macam tu..." Katanya memujuk. "Abang... Hati saya dah kosong. Hidup ni rasa dah tak ada makna bila Along jadi macam ni. Saya sayang Along. Along jantung hati saya...." Aku mula menangis dan sedih. "Tapi saya tengok abang biasa sahaja. Abang sedikit pun tak rasa sedih dan kecewa..." Kataku, protes. "Abang tak mahu tunjuk abang sedih. Abang tak nak sayang down." Tangannya cepat-cepat mencapai tanganku. Tangan itu dibawa ke mulutnya dan dikucup perlahan... Apakah itu ucapan dan perlakuan sebuah kejujuran? Sedangkan aku tahu di hatinya ada dua tiga orang wanita bersilih ganti. Antara wanita-wanita itu, di mana dia letakkan diriku? "Abang yakin Along okey. Dia selamat. Telepati abang memberi petunjuk dia selamat, percayalah." "Tak boleh percaya seratus peratus dengan telepati tu..." "Tapi ia tak pernah mengecewakan abang. Abang dah selalu test six sense abang tu... ia tak pernah mengecewakan. Oh my God... aku syukur kalau tekaan tu tepat, tapi kalau naluri tu tak betul, apakah nasib Along sekarang? Agaknya kerana percaya dengan naluri itulah yang membuatkan dia mudah sahaja terlena sedangkan aku terkelip-kelip melayan mata... Dengan harapan suamiku tidak terjaga, perlahan-lahan kucapai sampul di dalam poket jaketnya. Sampul itu diserahkan oleh Siti Nor Eyes di dewan berlepas tadi, sebelum masing-masing berpisah. Dan apa yang kujangka tepat. Nota ringkas itu sarat dengan perasaan. Aku tahu ini bukan sandiwara. Suamiku tidak bertepuk sebelah tangan! Kalau umur Along panjang... Along tolonglah mama! penulis sri ANGAH .... Foto ini aku ambil di depan rumah keluarga ini, 45 Eastern Avenue, Yorkshire semasa mereka masih di Leeds. Angah masih belajar di Oakwood Elementary School. Pada masa itu dia macam tomboy saja.... Acik pula rasanya cuma beberapa hari sahaja ke nursery, kemudian dia asyik menangis yang membuatkan keluarga ini menghantarnya ke sebuah keluarga Melayu di Beaston semasa mereka ke kampus atau keluar bekerja. Di sebelah Acik ialah anak Mahbub, tuan punya rumah sewa di kawasan harehill ini. Ini sahajalah gambar Angah yang ada padaku. Kini sudah tentu ia sudah dara jelita. Semoga kita dapat berjumpa semula. -- Souraya. Penulis puteri PERCATURAN SEBUAH CINTA - SIRI 79 * Siri ini ditulis oleh Ibnu Ariff dan telah diedit oleh Sri Diah. AKU sendirian di rumah hari ini. Takut? Ya... ada juga sedikit rasa takut memandangkan aku anak gadis belasan tahun... Achik telahpun pergi ke sekolah kerana ada latihan pasukan beruniform di sekolahnya. Kalau ikutkan hati aku mahu menghantarnya tadi menggunakan kereta Mercedes abah... tapi memandangkan aku tak ada lesen memandu, aku tak mahu tanggung risiko. Lebih baiklah Acik pergi naik teksi Pakcik Bakar yang memang selalu kami gunakan khidmatnya jika timbul perkara-perkara urgent sebegini. Air mata Acik tumpah juga setitik dua apabila terpaksa pergi naik teksi, sebab selalunya abah atau mak yang menghantarnya. Kupujuk Acik berkali-kali. Kukatakan, "sabarlah Acik, ini semua dugaan tuhan untuk menguji ketabahan keluarga kita... semoga ini semua ada hikmahnya. Selagi tidak terjumpa sekujur tubuh Along, kita masih ada sinar harapan. Tidak kira walau sekelam mana sekali pun." Acik diam dan angguk perlahan. Dalam kesendirian ini aku dikejutkan dengan bunyi besi pagar digoncang. Dua orang wanita tercegat di pintu pagar. Fikiranku terus sahaja tertancap pada pepatah; di mana ada gula di situ ada semut. Ya... mereka adalah wartawan daripada TV3 berdasarkan kenderaan yang berlabuh di luar pagar. Memang sejak dua tiga hari ini teratak Seri Mahligai milik kami menjadi tumpuan pihak akhbar dan televisyen dan orang perseorangan. "Assalamualikum dik... mak dengan abah ada?" Soal mereka. Aku menggeleng sambil melangkah ke pintu pagar. "Saya Kak Aliza dan sebelah ni Kak Siti. Kami kawan pada mak adik. Boleh kami berjumpa dengan mak adik?" "Maaf kak, mak dengan abah tak ada di rumah. Mereka sudah bertolak ke Jepun." "Bila mereka bertolak? Ada apa-apa khabar terbaru dari Jepun? Apa pula kata Wisma Putra?" Soal mereka bertalu-talu. Aku mula lemas dengan soalan wartawan. Sudahlah semalam aku dihujani aneka soalan daripada pihak akhbar, hari ini pula aku disoal oleh pihak televisyen. "Boleh tak kalau kami pinjam beberapa keping gambar abang kamu yang hilang di Jepun tu?" Soal Kak Aliza pula. Hatiku berkata-kata… bolehkah kuberikan gambar-gambar Along? Fikiranku ligat berfikir antara akal logika dan rasa prasangka. "Err maaf kak. Mak dan abah tak benarkan. Saya tak boleh beri." Kataku tegas walaupun dirayu berkali-kali. Akhirnya mereka pergi dan aku berjanji akan memberi kerjasama sekiranya mendapat keizinan daripada mak dan abah. Mereka minta nombor telefon rumah, ya… aku beri dengan rela hati. Sebaik sahaja mereka pergi, muncul seorang wanita yang amat kukenal rupa parasnya. Kami pernah terserempak di Hospital Tengku Ampuan Afzan dulu. Cik Siti Nor Eyes! Apa yang dia mahu hingga sanggup datang ke rumah pula? Dialah yang telah menghancurkan hati Mak, mencalarkan hatiku dan menjadikan perjalanan pulang kami dari Kuantan bagai satu mimpi ngeri yang panjang. Oleh itu kehadirannya di Sri Mahligai ini memang tidak dialu-alukan! Cik Siti Nor Eyes patut faham akan perkara itu! Dia menghampiriku dan memberikan salam. "Janganlah marah, abah kamu yang suruh akak datang jenguk-jengukkan Angah dengan Acik di rumah. Maklum kamu berdua anak dara..." Kuanggukkan kepala begitu sahaja, tak berkata apa. Sudah kujangka itu semua. Adakah abah mahu aku berbaik-baik dengannya selama abah dan mak ke Okinawa? Tidak sama sekali! Dia adalah musuh aku dan mak, dan musuh harus diusir! Kubiarkan sahaja dia resah menunggu aku menjemputnya masuk "Akak minta maaf banyak-banyak atas apa yang berlaku di Kuantan kelmarin. Akak tak terniat nak..." "Tak terniat nak apa? Merampas abah daripada mak?" Jerkahku memotong katanya. Aku risau, di saat nasib Along tak menentu, masa inilah masalah dia dengan abah muncul. "Jangan haraplah awak dapat kahwin dengan abah saya!" Jeritku dan menoleh membelakangkan Cik Siti Nor Eyes. Tatkala aku berpaling, rupanya selain Cik Siti Nor Eyes, ada seorang lagi wanita di sisinya! Siapakah wanita bermata sepet itu? Soalku dalam hati. "Apa? Awak nak kahwin dengan abah budak ni? Eh, awak siapa?" Soal wanita bermata sepet itu pada Cik Siti Nor Eyes. Muka putihnya tiba-tiba menjadi merah dek kemarahan dan rasa kecewa. Air jernih mula bergenang di matanya. Beg pakaian yang dibawanya dilepaskan. Dia berlari terburu-buru ke arah jalan. Siti Nor Eyes terjerit-jerit memanggil-manggil nama wanita itu. "Souraya! Souraya Sim!" Namun wanita itu langsung tidak menoleh ke belakang, terus sahaja meluru ke tengah jalan raya dan pada masa yang sama sebuah motosikal menuju tepat ke arahnya! Tika itu, masa bagai terhenti seketika. Kunampak jelas motorsikal itu begitu hampir mengenai dirnya. Kemudian tiba-tiba muncul sahaja seorang lelaki menyentapnya ke tepi, ke tempat yang selamat. Nor Eyes terus sahaja berlari ke arah wanita itu yang masih terkejut. Souraya, Souraya Sim... Wajah yang pernah kulihat bersilih ganti dalam benakku namun tiada orang lain yang kukenali bernama sedemikian melainkan jiran kami semasa di Easternly Avenue, Yorkshire dahulu. "Saya Irwan... cik tak apa-apa?" Soal lelaki itu sambil membuka cermin mata hitamnya. Ah, lelaki ini! Bukankah dia yang kami jumpa Ramadan yang lalu di 7-Eleven? Lelaki ini juga musuh kebahagiaan kami sekeluarga. "Saya ke sini kerana mak budak-budak ini menyuruh saya melihat mereka selama ketiadaannya di Malaysia," kata Irwan. Aku terpinga. Dadaku berdesup dengan rasa marah. Akhirnya kutinggalkan mereka bertiga masih di pintu pagar Sri Mahligai. Aku melangkah longlai masuk ke rumah. penulis sri IKHLASKAH PENGAKUANNYA ITU? - SIRI 80 AKU lemas dalam perut JAL ini. Lapangan Terbang Naha, di Okinawa masih jauh lagi. Kutelek jam ditangan, baru saja dua jam setengah perjalanan ini tetapi kebosanan sudah jadi raja dalam dadaku. Sakit hati dan curiga saling tindan menindan, menyesakkan hati. Suamiku masih lagi lena di sebelah. Kubayangkan mimpi manisnya... aku menekup mata! Aku tak sanggup melihat suamiku dalam keriangan bersama wanita lain. Kupekup telingaku! Aku tak sanggup mendengar gelak ketawa suamiku bersama wanita lain! Akhirnya kukejutkan dia dari lena. "Abang! Bangunlah... saya bosan ni!" Kataku, menolak-nolak bahunya supaya dia bangkit dari lena. Suamiku terkejut, menenyeh matanya yang kelat. "Sabarlah sayang, sekejap lagi kita sampai." "Tapi mimpi abang telah membawa abang entah ke mana-mana, entah sampai ke hujung dunia mana... entah tengah bergelak ketawa dengan sesiapa!" Jerkahku, memuncungkan bibir. Dia tersenyum. "Mimpi? Eh, pandai sayang teka. Memang abang tengah bermimpi tadi...." "Betulkan? Tengah mimpi dengan perempuan tadilah tu... tengah happy!" Kali ini dia tersengih pula. Sahlah dia sedang bercengkerama dengan Cik Siti Nor Eyes tadi... sahlah mereka sedang bergembira. "Bukanlah sayang... abang tengah mimpikan Along!" "Along? Macamana dia?" Aku terpinga, tak sabar ingin tahu. "Along selamat. Along sihat," katanya. Bersungguh. "Abang, itu hanya mimpi. Saya tak percaya." "Oklah, itu hanya mimpi, so sayang pun janganlah percayakan mimpi abang dengan perempuan lain... itu hanya mimpi." Katanya semula, memulangkan paku buah keras. "Ni, baca surat ni." Kataku, menghulurkan cebisan kertas dalam genggaman tanganku. "Dah hancur, macamana abang nak baca?" "Saya marah ni, saya sakit hati!" Kataku jujur, hiba. Cebisan kertas itu kumasukkan ke dalam poketnya semula. "Sayang berhak, sayangkan isteri abang?" "Habis tu kenapa abang layan perempuan lain?" "Siapa kata abang layan, mereka yang datang pada abang..." Katanya perlahan. Aku terpana dengan kata-kata itu... tetapi daripada gerak laku suamiku, sah mereka saling membalas. Bukan perempuan itu sahaja terhegeh-hegeh mencari suamiku. Suamiku menarik tanganku dan meletakkan ke pahanya. Aku pasrah. Hatiku sudah tercarik dan dia berhak untuk memujukku semula. Aku menarik nafas panjang dengan harapan pengakuan itu suatu yang benar. Tiba-tiba ingatan pada Along mulai datang. Penerbangan ini alangkah lambatnya... aku dah tak sabar hendak mengetahui keadaan Along. Entah apa yang terjadi padanya hanya ALLAH sahaja yang tahu. Aku terkenang kembali gelagat Along sehari sebelum dia bertolak untuk menghadiri majlis perkahwinan Nahoko. Semua gambar kami dicetak dan ada yang discan ke PDA. Dan Along pun kerap bergaduh dengan Angah. Dia cemburu sangat pada Angah. Mereka benar-benar tak serasi! penulis sri MADU ITU MANIS --- Siri 81 DI SAAT ini barangkali Souraya sudah tiba di Malaysia. Mudah-mudahan Eyes dapat membantunya sepertimana yang diminta. Eksekutif IT ini nampaknya boleh diharap, dan sememangnya aku mengharapkannya untuk melaksanakan misi kali ini. Moga-moga Eyes akan dapat menemukan Souraya dengan Haji Salim di Putrajaya. Semoga segala penantian Souraya selama ini akan mendapat jawapannya. Kesian Souraya, kedatangannya ke Malaysia tidak dapat ku sambut, tidak dapat ku layan. Kesian Eyes, terpaksa membuat kerja tambahan, melayan Souraya, membantu Souraya. Kesian Roslan, kena tindakan mahkamah gara-gara ingin menyelamatkan bos yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Kesian Angah, terpaksa tinggal berdua dengan Acik di rumah. Jika kami lama di Okinawa, mungkin Angah terpaksa memohon ke IPTA sendiri setelah keputusan SPM keluar nanti. Kesian Angah. Kesian Along, entah apa sebenarnya yang terjadi. Aku pasrah dan telah bersedia menerima apa sahaja suratan takdir. Kesian kepada isteri ku, tidak pasal-pasal terpaksa terheret dalam kancah ini, kemelut begini. Wajah ayu yang terlentuk di sisiku ini nampaknya tidak tenang tidurnya. Mungkin terkenangkan seseorang agaknya. Kesiannya dia. Dalam berkira-kira untuk menambah darjah kesian kepada insan-insan lain, tetiba aku disedarkan oleh tangan halus pramugari yang sedang membetulkan tempat dudukku kerana pesawat akan mendarat. Di sebelah, dia masih lagi terlentuk sayu. "Sayang... cukuplah tu, kapalterbang akan mendarat sebentar lagi" "Kita dah sampai ke destinasinya?" "Belum sayang. Kita mendarat untuk transit di Taipei. Mana ada penerbangan terus KUL ke OKA" "Oh ya ka?. Nampaknya abang dah hafal semua kod lapangan terbang?" "Hampir semua kod lapangan terbang di dunia abang dah hafal. Inilah satu daripada ToT yang abang dapat selama setahun dipinjamkan bekerja dengan XYBASE, company bumiputera yang menerajui aplikasi lapangan terbang secanggih company antarabangsa". Semoga dengan mengubah topik perbincangan, dia akan melupakan sebentar apa yang terbuku di hati dan terkumpul di minda. Namun harapanku musnah, doaku tidak termakbul. Kami hanya dapat mesra seketika. Di lapangan terbang Chiang Kai-Shek ini kami tidak sekata lagi. Garagara sekeping nota yang sudah lusuh lunyai, kononnya ditulis oleh Eyes. Jika ingin diungkitkan tentang ketidapuashatian, rasanya aku dapat mengarang sebuah novel seribu muka mengenai rasa hatiku, mengenai perasaan dukaku, mengenai harapan tidak tercapaiku mengenai isteri yang seorang ini. Namun sebagai suami isteri, untuk apa perkaraperkara sedemikian diungkit?. Untuk apa ia diceritakan?. Apa faedahnya menyimpan sangsi, apa gunanya ada dendam antara suami isteri?. Inilah yang benar-benar aku kesalkan, benarbenar aku tidak faham dengan sikap seorang perempuan bernama isteri. Bisikan-bisikan selalu sahaja datang ketelinga dan ke mindaku supaya berkahwin lagi satu. Barulah dapat diketahui apa erti sebenar sebuah kehidupan. Benar sebagaimana ditulis oleh Awang Selamat, bahawa poligami itu bukan hanya untuk orang berada, bukan Cuma untuk orang kaya. Poligami juga bukanlah suatu yang dirancang, bukan merupakan cita-cita lelaki dan andainya orang lelaki tidak berusaha menolak desakan supaya berkahwin lagi, nescaya bilangan poligami di Malaysia ini telah bertambah tiga kali ganda. Namun melihatkan wajah mencuka yang tidak tentu pasal ini, mungkin satu-satunya cara aku mendamai jiwa ialah dengan menghadiahkanya dengan madu. Memang benar, madu adalah sebaik-baik ubat. penulis mba ALLAH LEBIH MENYAYANGI MU ALONG --- Siri 82 SEBAIK menjejakkan kaki di balai ketibaan, nama kami telah terpampang diperagakan oleh gadis Jepun yang menunggu kami. Pasti benar, tidak ada seorangpun wajah-wajah yang kukenali di balai ketibaan ini. Tiada seorangpun wakil dari kerajaan Malaysiab di sini ruparupanya. Setelah memperkenalkan diri, kami mengikuti gadis ini ke sebuah kereta yang sedia menunggu. Sengaja aku memberanikan diri bertanya dalam bahasa Jepun ku yang sudah berkarat. ?dochirai?? dia tersenyum dan menjawab sepatah ?byoin? Fahamlah aku yang kami akan dibawa ke hospital. Urusan gadis itu selesai dan tugas berikutnya diambil alih oleh pemandu limosin. Seorang lelaki Jepun hampir sebaya dengan aku. Terasa seolah-olah aku pernah berjumpa dengannya, tetapi entah di mana. Entah di alam mimpi atau di alam nyata. Ah! Ini Okinawa, bisik hatiku, semua lelakinya kelihatan sama sahaja. ?Silakan? katanya. Kami berpandangan, terkejut kerana Jepun ini bertutur bahasa Melayu. Nasib baik kami tidak bercakap apa-apa mengenainya sebelum ini. ?Awak boleh bercakap Melayu?? ?Oh ya, nama saya Kasahara. Isteri saya orang Melayu dari Malaysia, kerja dengan US Army di kem Foster, di Okinawa ini? Cerita mengenai wanita Melayu dari Malaysia yang berjawatan komander dalam US Army di Okinawa ini pernah aku dengar lama dulu. Ramai peserta kursus dari Malaysia di Okinawa International Centre (OIC) atau universiti Ryukyus yang boleh melawat masuk ke kem-kem US ini dengan pertolongan beliau. Namun aku tidak pernah berpeluang untuk bertemu dengan dia semasa aku beberapa kali berkursus di sini. Perjalanan sejauh kira-kira 40km ke hospital Universiti Ryudai terlalu jauh rasanya. Okinawa tidak banyak berubah setelah lebih suku abad aku meninggalkannya. Bangunanbangunannya masih seperti dulu, tidak banyak yang tinggi. Cuma jika dulu tiada keretapi di pulau ini, sekarang sudah ada kemudahan monorel. Tiba di bangunan hospital setinggi sepuluh tingkat ini, hatiku mula berdebar-debar. Apakah yang terjadi kepada Along?. Adakah dia selamat?. Setelah mendapatkan pas khas, kami dibawa oleh pengawal hospital ke tingkat 8 hospital universiti Ryukyus ini kelihatan hening sekali. Tiada pelawat di sini kerana memang belum tiba masanya. Kaki terasa longlai penulis mba HUJAN EMAS DI NEGERI SENDIRI --- Siri 83 MENTARI sudah mula muncul dan bersinar semula setelah beberapa bulan mungkir di bumi Leeds ini. Perubahan musim yang kerap kali tidak menentu ini tetap juga datang dan pergi seperti tahun-tahun sebelumnya. rumput-rumput renek di depan laman ini pastinya akan tumbuh segar dan menguntum bunga kembali. Indahnya perubahan musim di negara sendiri, di laman rumah sendiri. Damainya hati setelah seminggu berada di Malaysia. Mungkin itulah kali terakhir aku perlu ke Malaysia. Keindahan dan kemegahan Putrajaya tidaklah sehebat mungkin dapat memujuk aku untuk ke sana lagi. Ia tidaklah sehebat Downing Street barangkali. Apatah lagi setelah diperlakukan begitu oleh seseorang yang memang ku kenal hati budinya. Nasib baik ada seorang insan yang bersimpati, yang mengambil berat dan prihatin. Pertemuan tanpa diduga atau lebih tepat lagi kemalangan dengan Irwan pada hari itu memang ada rahmatnya. Dengan pertolongan Irwan, aku sampai juga ke Putrajaya. Aku tiba jua di Kementerian Dalam Negeri di Parcel D. Tercapai juga hasrat di hati untuk memiliki apa yang sememangnya menjadi hak aku. Kini setelah kembali semula ke negara tumpah darah, tiada lagi kenangan indah yang kutinggalkan di Malaysia. Kesemuanya telah kuangkut ke sini. Jika adapun saki baki kenangan indah, mungkin semasa seketika bersama dengan Irwan. Kami makan di dalam bot di tasik Putrajaya, berhampiran dengan Perdana Putra dan masjid Putra. Indah dan romantik sekali suasana di tasik buatan ini. Itu sahajalah sedikit kenangan yang kutinggalkan di Malaysia. penulis puteri TANDA LAHIR ITU TAK ADA! - SIRI 84 AKU tak percaya dengan apa yang terpandang depan mata! Benarkah di hadapanku ini Along? Benarkah sekujur tubuh yang kaku berselimut kain putih ini tubuh Along? Naluriku berperang antara realiti depan mata dan naluri seorang ibu. Aku beristighfar beberapa kali sambil tangan suami kugenggam erat. Dapat kurasakan gigilan tubuhnya dan esak nafasnya menahan pilu. Nama yang tercatat di katil itu adalah nama Along. Ejaannya betul. Tetapi sebagai seorang ibu, aku tahu wajah itu bukan wajah Along walaupun bentuk muka itu agak sembab, mungkin kerana lama dalam air atau mungkin kerana ubat-ubatan. Itu bukan. Aku menjerit dan menggeleng. Bukan! Bukan! Ini bukan Along! "Sayang... betulkah?" Suamiku menyoal. Dia seperti mendapat kekuatannya kembali. "Abang saya kenal anak saya, ini bukan Along! Bukan!" Dua orang jururawat yang sama-sama mengelilingi katil itu berpandangan sesama sendiri. Seorang doktor tiba-tiba datang. Suamiku menerangkan apa maksudku. Tetapi doktor itu sukar untuk menerima penjelasan suamiku. Dia asyik membandingkan nama Along di kepala katil dengan salinan laporan kesihatan dalam failnya itu. "Abang... saya tau ini bukan Along! Saya nak cari Along, dia bukan di sini. Dia di tempat lain. " Aku mula nanar. "Sayang sabarlah... biar doktor buat DNA. Kita boleh mintak..." Tiba-tiba aku teringat... "Abang! Saya ingat. Saya tahu Along ada tanda lahir!" "Okey, sekarang sayang gunakan tanda lahir tu untuk kesahihan." Kata suamiku sambil meminta kebenaran doktor. Tak perlu menanti izin doktor, dengan bacaan Bismillah perlahan-lahan kusingkap kain putih yang menyelubungi tubuh itu. Sasaranku ialah di bahagian paha kanan. Aku tahu Along ada tanda lahir sebesar duit lima puluh sen di situ. Tidak ada! Tanda lahir itu tak ada! "Abang! Ini bukan Along!" Aku menjerit sakan sambil merangkul tubuh suami. Aku melolong gembira bagaikan hospital itu milikku. Dua orang jururawat dan doktor berbangsa Jepun itu memandang sesama mereka dengan dahi berkerut. penulis sri OH TUHAN... ALONG BUKAN DARAH DAGINGKU! - SIRI 85 TINGKAT 8 Hospital Universiti Ryukyus itu agak kecoh dengan gelagat kerianganku. Aku gembira kerana tubuh yang keras kejung diselimuti kain putih itu bukan tubuh Along. Suamiku pun turut gembira dengan kesahihanku tentang tanda lahir itu. "Saya yakin, naluri saya betul bang..." "Alhamdulillah..." kata suamiku perlahan. Tetapi doktor yang di bajunya tertulis Dr. Hida itu kelihatan serius. Berkali-kali dia menyakinkan itu adalah Along. Suasana hospital yang kembali hening itu menjerut hatiku. Kakiku terasa longlai semula apabila doktor ingin membuat ujian DNA. "Tapi bang..." "Sayang, biarlah mereka lakukan ujian itu. Untuk kebaikan, tak mengapa." "Tapi tak boleh... saya tak boleh jalani DNA untuk pengesahan Along. Abang saja seorang yang boleh...." Kataku jujur, dengan harapan suami memahami perasaanku ketika itu. "Eh... tapi..." Kata suami teragak-agak. Aku mengeluh panjang dan kesal dengan situasi itu. Akhirnya aku terpaksa berkata perlahan... "Abang, Along bukan darah daging saya... dia bukan anak kandung saya...!" Hibaku semakin panjang. Aku menangis dan merebahkan kepala ke bahu suamiku... penulis sri REALITI INI BAK HEMPEDU - SIRI 86 AGAK payah untuk kupujuk hati. Suami pula masih mendiamkan diri. Barangkali dia juga sukar untuk menerima kenyataan. Tetapi bagiku kenyataan tetap kenyataan. Ia realiti yang tak boleh dinafikan. Seusia hidup Along, aku terima hakikat ini walau ia pahit sekalipun. Ya... Along bukan darah dagingku! Dia bukan anak yang kukendong sembilan bulan sepuluh hari. Dia bukan anak yang kususukan dengan air susuku sendiri. Dia anak wanita lain! Tetapi tanyalah pada adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan yang mengenali keluarga kami bahawa Along tidak pernah kuanggap seperti orang asing. Malah kasih dan sayangku terhadap Along melebihi perhatianku terhadap Angah dan Acik, anak kandungku sendiri! Suami masih lagi berbaring di katil hotel yang disediakan oleh pihak kedutaan. Kami diberi masa untuk berfikir sama ada mahu menjalani ujian DNA berkenaan atau tidak. Yang sahihnya namaku akan dikeluarkan dari senarai ujian berkenaan. Sukar untuk kubayangkan apakah nasib Along sekarang. Apakah dia masih hidup? Atau apakah dia sudah meninggal dunia? Tetapi jika hidup, di manakah dia sekarang? Sihatkah dia? Jangan-jangan dia masih lagi terdampar di gigi pantai... atau barangkali dia sudah diselamatkan tetapi dia masih lagi mamai dan sukar mengingati kembali apa yang berlaku terhadap dirinya. Jika dia selamat dan sihat, dia pasti bijak mengendalikan masalah. Dia mesti memohon pertolongan, menghubungi pejabat polis terdekat meminta bantuan. Apalagi dia fasih berbahasa Jepun. Dia pasti akan mencari jalan pulang... Menanti masa berlalu bagai menanti detik tali gantung mencerut ke leher. Aku tidak ada mood untuk berbual. Suami pun kelihatan sugul dan resah. Dia bangkit dari katil, mundarmandir dan tidak lama kemudian duduk semula di birai katil. Selepas itu dia bangkit, mundar mandir dan duduk semula. Fikiranku tambah berserabut dengan sikapnya itu. "Abang, duduklah. Saya pening tengok abang macam tu!" "Abang gelisah, sayang harus faham..." "Saya pun. Kita sama-sama sayangkan Along. " "Sayang, mari kita sembahyang. Kta mohon pada Tuhan supaya Along selamat." Apabila telefon berdering, kami saling memandang. Tangan suami lebih dulu mencapai gagang itu dan pantas menekupnya ke telinga. Kulihat wajahnya berubah, dahinya berkerut sambil dia menarik nafas panjang... "What?" Sepatah soalan terkeluar dari bibirnya. Penulis sri RINDU BERLAPIS LAPIS SIRI 87 DENGAN izin emak dan abah, aku dan Acik di Kuala Lumpur sekarang. Ada beberapa urusan yang perlu kami bereskan. Sudah semestinya mengenai Along.... Di stesen LRT itu, sambil duduk menanti adik perempuanku itu membelli tiket, air mataku hampir tumpah lagi. Gambar keluarga yang disisipkan Along dalam dompetku benar-benar mengusik jiwa. Kuperhatikan wajah Abah, Mak, Along, Achik dan diriku. Kutatap satu persatu wajah-wajah di dalam gambar - wajah gembira dan penuh kasih sayang. Sudah sekian tahun lamanya kami berlima hidup bahagia, saling menyayangi dan mengambil berat walau jarak dan masa kadangkala memisahkan kami. Aku tak sanggup ia dirampas dari hidupku sekarang. Tak sanggup! Kasih sayang keluarga yang selama ini telah membakar semangat aku mengejar kejayaan, melakukan yang terbaik dalam segalanya. Tiba-tiba kurasakan diriku diperhatikan. Cepat-cepat aku beli dua tiket dari mesin vendor dan naik ke platform, Achik mengikuti sahaja dengan langkah tak bermaya. Achik pun masih tertanya-tanya akan nasib Along. Mak dan Abah telah seminggu ke negara matahari terbit dengan seribu harapan, namun sinar harapan masih kelam, belum nyata. Duduk sahaja dalam tren, fikiranku mula menerawang semula. Along memang berkelakuan aneh sebelum dia berpergian, dia nampaknya terlalu cemburukan aku. Segala tingkah lakuku diawasinya, sekarang pun aku rasa masih diawasi. Semua panggilan kepadaku mesti ditapis terlebih dahulu, nasib baik semua panggilan hanyalah dari kawan-kawan perempuanku sahaja. Along tak puas hati, telefon bimbitku pun diperiksanya, SMS kepadaku dibaca satu-persatu, log panggilan keluar masuk juga ditelitinya. Lamunanku terhenti bila Achik tiba-tiba mengenggam tanganku, mencari kekuatan, mengharap belaianku. Ku tatap wajah adikku itu, masih sugul, tidak bermaya. Aku betulkan tudungnya itu, kuseka bibit-bibit air mata. Sejak berita tragedi itu disampaikan entah berapa kali dia mengigau menyebut-nyebut nama Along, dan setiap kali itu juga dia akan menangis panjang. Namun begitu, dia begitu yakin Along masih hidup walau angka korban nahas itu makin meningkat. Begitu optimis sekali dia! Tren kami tiba di destinasi yang dituju - KLCC. Kami berdua berjalan seiringan, berpimpin tangan, melalui laluan bawah tanah ke Suria KLCC, moga dapat kami lupakan sementara musibah yang melanda kami ini. Sekali lagi aku rasa kami diekori, segera kucepatkan langkah mengambil lif di Ampang Mall terus ke tingkat dua dan menuju ke tempat yang dijanjikan, Picnic Food Court. Kinokuniya,Isetan dan deretan kedai Jepun lainnya mengingatkan aku pada Along lagi. Selalu dia belikan aku hadiah dari cawangan kedai-kedai itu di sana. penulis ibnu ariff DULU... DULU IALAH... - SIRI 88 KUPEJAM mataku rapat-rapat. Terasa pedih. Terasa sakit menyucuk. Otakku berfikir ligat. Terbayang wajah-wajah mereka yang dikasihi, satu persatu melintasi layar ingatan. Tapi aku tidak mengenali wajah yang satu itu... Bujur sirih, putih bersih wajahnya. Aku terpegun. Wajahnya mempersonakan. Persis Nahoko, wanita yang suatu masa dulu pernah menjadi teman hidupku. Dia memelukku erat. Seperti tidak mahu melepaskan. Aku juga mendakapnya rapat. Rasa hangat. Tapi abah datang merentap aku dari dakapannya. Mimik mukanya penuh duka. Ada titis air mata menuruni lembah wajahnya. Terluka. Aku meronta-ronta dalam dukungannya. Meraung mahu kembali kepadanya. Abah pujuk aku. Abah berbisik sesuatu ke telingaku. Antara lain katanya, mulai saat itu kami akan hidup berdua. Tatkala wanita itu kami tinggalkan, dia masih dengan esak tangis yang panjang. Seingatku, kemudian kami masuk ke perut kapal terbang. "Jom kita pulang ke Kuala Lumpur," kata Abah. penulis bluehikari